Tuesday, May 31, 2011


Sumbangan di Dalam Aqidah

Sumbangan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam aqidah adalah seperti juga di dalam fiqh, di mana beliau telah memainkan peranan yang amat penting di dalam pemahaman aqidah dan pemikiran Islam di kepulauan Melayu. Hal ini terbukti apabila kitab Ward al-Zawahir dikatakan sebagai kitab yang paling komprehensif di dalam ilmu usuluddin di alam Melayu yang menggunakan bahasa Melayu dalam versi tulisan jawi.[1] Manakala kitab al-Durr al-Thamin adalah di antara kitab aqidah yang paling popular digunakan di kepulauan Melayu terutamanya di pondok-pondok di Patani dan Malaysia.[2] Ia juga digunakan dengan meluas sebagai pengajian awam di masjid-masjid dan surau-surau sehingga hari ini.

Pengaruh al-Ghazali di dalam penulisan aqidah Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ begitu ketara sekali. Kitab-kitab karangan beliau seperti Ward al-Zawahir dan al-Durr al-Thamin mempunyai banyak persamaan dengan cara persembahan kitab Ihya’ Ulum al-Din dan Minhaj al-Abidin karangan al-Ghazali. Bahkan beliau kerap sekali memetik kata-kata al-Ghazali di dalam penulisan beliau.[3] Bahkan manhaj aqidah al-Ghazali yang menjadikan ma’rifatullah sebagai matlamat pengajian aqidah dan juga tasawwuf telah diaplikasi oleh Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ seperti di dalam kitab Ward al-Zawahir. Beliau menyatakan:

“Wajib atas mukallaf itu mengetahui barang yang wajib bagi Allah dan yang ja’iz (harus) dan yang mustahil baginya. Dan hakikat maÑrifat itu iaitu jazam (yakin) yang muwafiq (berbetulan) bagi waqiÑ pada nafs amr (perkara tersebut) dengan dalil…”[4]

Menurut beliau, kekuatan aqidah yang dicapai melalui ma’rifatullah hendaklah disertakan dengan dalil-dalil sama ada secara ijmali ataupun tafsili.[5] Bagi beliau, taqlid dalam aqidah adalah tidak dibenarkan kerana dengan taqlid menjadikan seseorang itu tidak dapat mencapai tahap ma’rifat Allah. Dengan itu, persoalan yang berkaitan dengan syirik, khurafat tidak dapat dihapuskan. Hal ini amat penting khususnya untuk masyarakat Islam di kepulauan Melayu kerana mereka masih terdapat pengaruh Hindu dan Budha di dalam kehidupan mereka. Begitu juga dengan penjajahan oleh pihak kuffar terhadap bumi umat Islam di kepulauan Melayu yang menjadi halangan kepada pelaksanaan Islam di dalam pemerintahan mereka. Bagi Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ semua perkara tersebut akan dapat dicapai apabila mempunyai kekuatan aqidah.

Justeru, penulisan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ terutamanya di dalam Ward al-Zawahir dan al-Durr al-Thamin mempunyai visi untuk melakukan agenda perubahan sikap dan pemikiran agar kekuatan umat Islam dapat dipupuk melalui aqidah yang mantap sekaligus dapat mengatasi segala ancaman dan musuh Islam sama ada daripada luar mahupun dalaman sendiri. Dengan itu, penulisan karya aqidah beliau dilihat mempunyai keunikan yang tersendiri dan istimewa khususnya bagi umat Islam di kepulauan Melayu. Di antara kelebihan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam perbincangan aqidah ialah penekanan terhadap pengunaan dalil-dalil wahyu daripada al-Qur’an dan hadith diberi keutamaan di dalam karya-karya beliau terutamanya di dalam kitab Ward al-Zawahir. Beliau cuba memberi ruang yang mencukupi terhadap penggunaan nas (dalil) secara literal mahupun interpretif (penafsirannya memalui akal).



[1] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, (Kuala Lumpur: Khazanah Fataniyah, 2000), vol.1, 15.

[2] Di antara kitab-kitab lain yang masyhur di dalam pengajian aqidah yang digunakan di pondok-pondok ialah Aqidah al-Najin, Siraj al-Huda dan Faridat al-Fara’id.

[3] Contohnya di dalam Ward al-Zawahir, al-Ghazali meletakkan tujuh syarat yang perlu dikehendaki di dalam beramal dengan ayat-ayat Mutashabihatbagi mazhab Salaf. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 66.

[4] Ibid., 15.

[5] Dalil ijmali ialah mengenal Allah walaupun dengan menggunakan dalil umum sahaja seperti menyatakan bahawa dalil Allah wujud ialah dengan wujudnya ala mini atau membawa dalil umum daripada sumber wahyu seperti dalil daripada surah al-Ikhlas tentang Uluhiyat. Namun ia tidak dapat menguraikan shubhat yang ditimbul di dalam aqidah. Manakala dalil tafsili ialah dalil yang dibincangkan secara terperinci yang memerlukan kepada pemerhatian dan penelitian (nazar dan ta’ammul) yang mana ia mampu untuk menguraikan shubhat dan dapat berhujah mengisbatkan (menguatkan) aqidah. Taqlid akan menyebabkan terjadinya ragu-ragu dalam pegangan aqidah seseorang itu. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 15-16.

No comments: