Saturday, May 28, 2011

Murid-murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani

Sebagai ulama yang terkenal diperingkat antarabangsa, Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani mempunyai ramai murid yang datang berguru dengannya di Makkah yang pada waktu itu merupakan pusat pengajian yang amat terkenal. Mereka datang dari seluruh pelusuk negara. Menurut catatan Wan Mohd Saghir, di antara murid-murid beliau yang terkenal dari kepulaun Melayu ialah seperti berikut :

1. Shaykh Abd al-Halim Kelantan.

2. Hj. Jamaluddin bin Lebau Muhammad Kelantan.

3. Shaykh Ali bin Ishaq al-Fatani.

4. Shaykh Wan Hasan bin Ishaq Besut al-Fatani.

5. Shaykh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani.

6. Shaykh Wan Musa al-Fatani.

7. Hj. Muhammad Salih Khatib al-Fatani.

8. Shaykh Abd al-Samad Pulai Condong Kelantan.

9. Shaykh Abd Al-Malik bin Isa Terengganu.

10. Shaykh Zainuddin Acheh.

11. Shaykh Muhammad bin Ismail Dawudi al-Fatani.

12. Shaykh Abd al-Qadir bin Abd al-Rahman al-Fatani.

13. Shaykh Ahmad Khatib bin Abd al-Ghafar Sambas.

14. Shaykh Muhammad Zainuddin bin Muhammad al-Badawi Sumbawi.

15. Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau.

16. Raja Ali Haji Riau.

17. Raja Haji Abdullah @ Marhum Murshid Riau.

18. Shaykh Ismail bin Abdullah Minangkabau.

19. Shaykh Muhammad Salih bin Murid al-RAwa.

20. Muhammad Salih bin Sunan Maulana Qadi @ Tengku Tembusai.

21. Sultan Muhammad Safiuddin Sambas.

22. Lebai Din bin Long Nik al-Fatani dan lain-lain lagi. [1]

Di kalangan murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dengan pemerintahan negara. Sultan Muhammad Safiyudin Sambas adalah pemerintah Sambas yang menjemput Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani untuk mengajar di istana baginda.[2] Di sana Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani telah mengarang sebuah kitab Diya’ al-Murid fi Kalimat al-Tawhid.[3] Sultan Muhammad Safiyuddin telah membina sebuah masjid untuk tujuan sebagai pusat penyebaran Islam dalam kerajaan beliau.[4] Begitu juga halnya dengan murid-murid beliau yang terdiri daripada kaum kerabat Diraja Riau seperti Raja Ali Haji, Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau dan Raja Haji Abdullah Riau. Shaykh Abdul Halim Kelantan adalah di antara murid beliau terlibat dengan pemerintahan di Kelantan dengan menjadi penasihat dan guru kepada Sultan Muhammad I (1800-1837 M).[5]

Di kalangan murid-murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani, sebahagian daripada mereka adalah dari kalangan kaum kerabatnya yang berasal dari Patani. Anak saudara Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani, Wan Fatimah dan Wan Zainab telah menjadi anak angkatnya mempelajari dan mendalami ilmu agama dan al-Qur’an.[6] Selain daripada itu, Shaykh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman adalah di antara murid yang paling banyak mendapat ilmu daripada Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani. Ini adalah disebabkan faktor dirinya sebagai cucu saudara dan anak angkat Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani selalu berdampingan dan memperolehi ilmu secara langsung daripada beliau.[7] Begitu juga dengan Shaykh Nik Muhammad Bin Ismail Dawud al-Fatani (Shaykh Nik Mat Kecik).[8] Di antara murid-murid yang mempunyai talian persaudaraan dengan beliau ialah Shaykh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani[9] dan Shaykh Zayn al-Abidin bin Muhammad al-Fatani.[10] Mereka kemudiannya bukan sahaja menjadi ulama terkenal di kepulauan Melayu bahkan juga di dunia Islam.

Ramai di kalangan murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani menjadi tokoh penting di dalam penyebaran ilmu dan tasawwuf telah membuka pusat-pusat pengajian ilmu yang lebih dikenali sebagai pondok atau pesantren. Apabila pulang ke tanah air, Shaykh Abdul Kadir dan Shaykh Wan Muhammad Zain membuka pusat pengajian di pondok Bendang Daya Patani. Shaykh Wan Hasan membuka pusat ilmu dan dkawahnya di Besut, Terengganu. Shaykh Abdul Samad Pulai Chondong membuka pondoknya di kampungnya Pulai Chondong, Shaykh Ismail Minangkabau yang mengajar tareqat Naqshabandiyah di Riau, Shaykh Ahmad menyebarkan tareqat Qadiriyah dan Naqshabandiyah di Sambas, Indonesia.[11] Hasil daripada pembinaan pusat-pusat pengajian dan aktiviti-aktiviti keilmuan dan dakwah yang dilakukan mereka menyebabkan lahirnya ramai ulana-ulama hebat dibawah bimbingan mereka seperti Shaykh Ahmad bin Zain bin Mustafa al-Fatani, Shaykh Nawani al-Bantani, Shaykh Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba), Shaykh Zain al-Abidin al-Fatani, Tok Wan Ali Kutan dan lain-lain lagi.

Di kalangan murid-murid beliau telah ada yang telah menghasilkan kitab-kitab yang menjadi rujukan penting khususnya di kepulauan Melayu seperti kitab Fath al-Arifin,[12] Kifayat al-Ghulam,[13] Fath al-Mubin,[14] Hidayat al-Mukhtar dan Ayyuha al-Awlad.[15] Terdapat juga di kalangan rakan-rakan seperguruan beliau pernah menjadi murid kepada beliau seperti Shaykh Abdul Samad Pulai Chondong, Shaykh Ismail Minangkanbau dan Shaykh Ali bin Ishaq al-Fatani. Bahkan ada juga dikalangan mereka yang mengikuti jejak langkah Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani berjihad menentang penjajahan seperti Shaykh Abd al-Samad al-Falembani ,Shaykh Abdul Malik bin Isa (cucu Tok Ku Pulau Manis) dan Muhammad Salih bin Sunan Maulana Qadi (Tengku Tembusai).

Berdasarkan kedudukan dan peranan yang dimainkan oleh murid-murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani menggambarkan bahawa beliau telah memainkan peranan yang amat besar di dalam sumbangan beliau terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan dakwah di Asia Tenggara. Bahkan sumbangannya begitu menyeluruh sekali meliputi politik, social dan akhlak (tasawwuf). Pengaruh pemikiran beliau telah menjalar di segenap lapisan masyarakat di Kepulauan Melayu yang dapat dilihat melalui karya-karya tulisan beliau di dalam pelbagai disiplin ilmu yang telah mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada para ulama dulu dan kini.



[1] Lihat lanjut di dalam Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 42-50.

[2] Selian daripada itu, Shaykh Muhammad Khatib bin Abd al-Ghafar bin Abdullah bin Muhammad al-Sambasi al-JAwi yang lebih dikenali sebagai Shaykh Ahmad Khatib Sambas juga adalah murid kepada Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani yang berasal dari Sambas.

[3] Kitab ini membicarakan tentang perbahasan aqidah dan aspek-aspek berkaitan dengan zikir dan adab-adabnya menurut tareqat Shatariyah. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Diya’ al-Murid, (Patani: MatbaÑah bin Halabi, n.d).

[4] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 47.

[5] Shaykh Abdul Halim Kelantan adalah anak angkat kepada pemerintah Kelantan pada waktu itu iaitu Long Yunus. Long Yunus telah menghantar beliau bersana dengan seorang putera baginda untuk mengaji di Mekah. Di Mekah Shaykh Abdul Halim berguru dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani. Apabila pulang ke Kelantan beliau dilantik menjadi guru dan penasihat Sultan Muhammad I. Beliau telah membuka pondok (madrasah) di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan dan kemudiannya berpindah ke Kampung Sireh Kota Bharu. Beliau telah melahirkan tokoh-tokoh ulama di Kelantan melalui dua orang anaknya yang kemudiannya menjadi ulama iaitu Haji Yusuf dan Haji Ya’qub. See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 42-43.

[6] Ibid., 15-17.

[7] Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani tidak mempunyai zuriat hasil daripada perkahwinannya. Oleh itu beliau mengambil anak atau cucu saudaranya sebagai penerusan kepada ilmunya tersebut. Beliau juga adalah Shaykh ilmu tasawwuf tareqat Shatariyah.

[8] Shaykh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman dan Shaykh Nik Muhammad Bin Ismail Dawud al-Fatani (Shaykh Nik Mat Kecik) adalah cucu saudara Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani daripada saudaranya Wan Idris. Shaykh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman juga adalah Shaykh ilmu tasawwuf tareqat Shatariyah.

[9] Anak beliau Shaykh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, adalah seorang yang amat terkenal di peringkat antarabangsa sehingga mendapat perhatian khusus dan pengiktirafan daripada kerajaan Uthmaniyah di Turki dan ulama-ulama al-Azhar kerana ketinggian ilmunya yang dimiliknya. Shaykh Muhammad Zayn bin Mustafa al-Fatani bertemu silsilah keturunan dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani pada kedudukan moyang mereka iaitu Shaykh Ali Mashhur al-Laqihi. See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, (Kuala Lumpur: Khazanah Fataniyah, 2002), vol.4, 116.

[10] Beliau ialah Zayn al-Abidin bin Muhammad al-Fatani. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Minal. Mendapat pendidikan di Patani dan Mekah. Di antara kitab aqidah karangan beliau yang paling masyhur ialah Aqidah al-Najin. Silsilah keturunan beliau bertemu dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani ialah pada Shaykh Ibrahim al-Hadrami. Dikatakan silsilah keturunan mereka yang mempunyai pertalian dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani adalah berasal daripada keturunan Shaykh Ibrahim al-Hadrami. See Ahmad Fathy al-Fatani, Ulama Besar Dari Patani, 62.

[11] Wan Mohd Shaghir, Wawasan Pemikiran Islam…, vol.4, 16.

[12] Fath al-Arifin adalah karangan Shaykh Ahmad Sambas.

[13] Kifayat al-Ghulam dikarang oleh Shaykh Ismail Minangkabau.

[14] Fath al-Mubin dikarang oleh Shaykh Muhammad Salih bin Murid al-Rawa.

[15] Hidayat al-Mukhtar dan Ayyuha al-Awlad adalah karangan Shaykh Wan Hasan Besut . See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 44-49.

No comments: