Wednesday, August 18, 2010

Tazkirah Ramadhan



KENALI ALLAH MELALUI RAMADHAN

1. RAMADHAN BULAN AL-QURAN & TAQWA

# Puasa yang sebenarnya adalah bermaksud : Imsak (menahan diri/menjauhi) daripada perkara yang : -

1. Membatalkan puasa (makan-minum-perhubungan jenis(persetubuhan)) sepanjang tempoh berpuasa.

2. Membatalkan pahala puasa(melakukan dosa/maksiat)

· Matlamat Islam – Ma’rifatullah (Mengenal Allah)

o Kenal Allah – tahu status – laksana tugas.

· Matlamat puasa – Taqwa

· Mengenali Allah dengan program taqwa (puasa):

Iaitu dengan membina ruang untuk (mengenali) Allah melalui :-

o Ilmu (al-Quran)

· Ruang utk Hidayah (panduan).

· Ruang utk hidupkan hati (makanan ruhiyyah)

o Amal Soleh (Puasa dan lain-lain).

· Puasa membina ketahanan / perisai nafsu drp menderhakai Allah.

· Amal soleh mendekatkan diri kepada Allah (jauhkan syaitan).





# Penjelasan Puasa Membina Ketahanan: “Hadith Qudsi: “Setiap amalan manusia akan diberikan ganjarannya seperti yang ditetapkan (10 -700 kali ganda atau selebihnya) kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku sendiri akan membalasnya…” HR:Bukhari&Muslim.

i. Puasa membina ketahanan / kemenangan drp ancaman musuh Allah (Syaitan, dsb) al-Ghazali, al-Qurtubi, Ibn Hajar al-Asqalani.

- wasilah syaitan menguasai manusia melalui nafsu syahwat- oleh itu nafsu menjadi kuat (degil dan malas) apabila makan dan minum berlebihan.

- Hadith: “sesungguhnya syaitan mempunyai akses terhadap manusia melalui aliran darah dalam badan, maka sempitkan (halang) perjalanannya dengan berlapar (puasa)…” HR: Bukhari.

- Usaha membina ketahanan drp syaitan adalah usaha kemenangan utk Allah (dengan mujahadah-sabar-ikhlas)- maka Allah membalasnya dengan kurniaan hidayah, rahmat dan kebaikan. Firman Allah: “sekiranya kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu…”. Muhammad: 7

ii. Puasa bina ketahanan / kekuatan diri – memerlukan sabar dan ikhlas. Layak mendapat ganjaran tanpa hisab: “sesungguhnya ganjaran (Allah) kpd org yang bersabar adalah tanpa hisab (had)”. al-Zumar: 10.

2. RASULULAH S.A.W DI BULAN RAMADHAN.

Rasulullah s.a.w contoh terbaik buat umatnya sepanjang masa. Pada bulan Ramadhan amal/akhlak Rasulullah diserahkan /ditingkatkan lagi (tauladan buat umatnya) selari dengan kedudukan Ramadhan yang istimewa :-

i. Bersahur dan berbuka puasa.

ii. Akhlak dan etika berpuasa.

iii. Akhir Ramadhan.

iv. Malam Lailatul Qadar.

i. Bersahur dan Berbuka Puasa.

· Lewatkan bersahur dan keberkatannya.

“Bersahurlah kerana padanya terdapat keberkatan” HR: Bukhari & Muslim.

· Rebut peluang untuk beribadat (qiamulail)

Mintalah bantuan makan sahur untuk puasa di siang hari dan gunalah ruang berehat sebentar disiang hari supaya cergas beribadat di malam hari”. HR: Ibn Majah

· Segerakan berbuka dan solat selepasnya serta berbuka dengan Kurma (rutob/tamar, suatu yg manis) ataupun dengan sedikit makanan yang ada.

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berbuka dahulu sebelum solat (maghrib)”. HR: Abu Dawud

Apabila kamu berbuka, maka hendaklah ia berbuka dengan tamar. Jika tidak mendapatkannya hendaklah ia berbuka dengan air, kerana air itu suci dan mensucikan”. HR: Abu Dawud

· Kelebihan berpuasa dari segi kesihatan dan pemakanan :

i. Mengawal paras garam dan gula dlm badan/darah.

ii. Puasa kurangkan aktiviti pencernaan – proses penghadaman sempurna.

iii.Puasa mengurangkan pengambilan makanan yang berisiko kanser – Carcinogenic – dengan konsep halalan toyyiban.

iv. Melancarkan aktiviti otak – perlu glukosa yg sederhana.

v. Puasa cara paling efektif diet dan kawal obesiti– bakar kalori dan lemak berlaku sepanjang hari berpuasa.

vi. Bersahur membekalkan tenaga utk aktiviti siangnya.

vii. Berbuka dengan kurma membekalkan tenaga langsung.

ii. Akhlak dan Etika Berpuasa

· Al-Quran silibus kehidupan – membaca, tadarus dan memahaminya serta beramal dengannya.

“Tidak boleh berhasad kecuali dalam dua perkara: seseorang yang diberikan al-Quran, lalu ia mendirikannya (melaksanakan) sepanjang siang dan malam dan seseorang yang diberikan harta, lantas ia membelanjakannya (pada jalan Allah) sepanjang malam dan siang”. HR: Bukhari & Muslim.

· Hidupkan siang dan malamnya dengan ibadat dan amal soleh serta dilipatgandakan ibadah dan amal-amal soleh.

“Sesiapa yang mendirikan (hidupkan) Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan nescaya ia akan diampunkan dosanya yang lalu”. HR Muslim.

· Menghulurkan bantuan dan pemurah.

“Sesiapa yg memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, maka ia beroleh pahala seperti orang tersebut tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa itu.” HR: al-Tirmidhi

Hadith Qudsi: Allah berkata: Wahai anak Adam (manusia) infaq lah harta kamu (pada jalan Allah) nescaya akan diberikan (Allah) kurniaanNya untuk kamu”. HR: Muslim.

· Pemaaf, bertaubat dan mohon keampunan.

“…dan orang-orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Allah akan menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan”. Ali ‘Imran: 134.

“ Wahai manusia bertaubatlah kepada Allah dan beristighfar kepadaNya. Sesungguhnya aku (Nabi s.a.w) bertaubat kepada Allah setiap hari sebanyak 100 kali”. HR: Muslim.

· Banyak berdoa, taqarrub dan beriktikaf di masjid.

Hadith Qudsi: “Apabila hambaKu mendekat dirinya kepadaKu sejengkal, nescaya Aku akan mendekatkan diriKu kepadanya sehasta (lebih baik lagi). Sekiranya mendekatkan dirinya kepadaKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya dengan sedepa (lebih baik lagi). Sekiranya ia datang kepadaKu dengan berjalan, nescaya aku akan datang kepadanya dengan berlari (keadaan yang lebih baik)”. HR Bukhari.

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w beriktikaf di masjid pada 10 terakhir Ramadhan”. HR Bukhari & Muslim.

iii. Akhir Ramadhan

· Dipertingkatkan lagi prestasi ibadat dan amal soleh (terutamanya 10 terakhir – lebih-lebih lagi pada malam-malam ganjil).

· Menghidupkan siang dan malamnya dengan lebih giat dan bersungguh-sungguh lagi (seperti amalan-amalan Ramadhan yang terdahulu).

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w berusaha (menghidupkan) Ramadhan lebih daripada hari-hari lain dan baginda s.a.w berusaha dalam 10 hari terakhir Ramadhan lebih daripada hari-hari (Ramadhan) yang lain”. HR: Muslim

· Mengejutkan anggota keluarga- menghidupkan malam dan beriktikaf.

“Nabi s.a.w apabila telah memasuki 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda selalu melakukan solat malam, membangunkan keluarganya dan dengan mengencangkan kainnya (iaitu berusaha bersungguh-sungguh dan menjauhi (menggauli) isterinya”. HR: Bukhari & Muslim.

iv. Malam Lailatul Qadar

· Meneruskan amalan-amalan sebelumnya di samping memperbanyakkan doa dan mohon keampunan.

“Berkata Aisyah r.a: Aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Apakah pandangan Rasulullah sekiranya malam itu adalah malam Lailatul-Qadar apakah yang perlu aku katakan (doa)? Jawab Baginda s.a.w.: Katakanlah: Ya Allah sesunguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka akan keampunan daripada hambaMu, oleh itu ampunkan dosaku”. HR: al-Tirmidhi.

· Hidupkan malamnya dengan ibadat dan al-Quran

“Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan, nescaya akan diampunkan dosanya yang lepas-lepas”. HR: Bukhari.

· Puasa Memupuk Modal Insan (Integriti/Semangat Kemasyarakatan &Ukhuwwah) :

i. Mempunyai ruang Taqarrub dengan Allah (berdoa/munajat/bertaubat/uzlah/muhasabah)

ii. Prihatin terhadap masyarakat yang perlu dibantu.

iii. Memperbaiki komunikasi dengan Allah (hablum min Allah) dan (Hablum min al-Nas spt)keluarga, saudara mara, jiran, rakan-rakan dan masyarakat.

iv. Masjid sebagai pusat sosial (pusat pertemuan dan majlis lmu serta aktiviti-aktiviti sosial & kemanusiaan).

3. ISTIQAMAH DALAM KETAQWAAN

· Istiqamah dalam keimanan.

Daripada Sufian bin Abdullah berkata: Aku bertanya: Wahai Rasulullah ! beritahulah kepadaku perkara yang aku tidak akan bertanya orang lain lagi tentangnya dalam Islam. Baginda s.a.w bersabda: Katakanlah bahawa aku beriman kepada Allah (dengan sepenuhnya) dan istiqamahlah di atasnya”. HR: Muslim.

· Konsisten walaupun sedikit.

“Amalan yang amat disukai Allah ialah sesuatu yang dilakukan secara konsisten (berterusan) meskipun sedikit”. HR: Muslim.

· Semangat Istiqamah daripada Rasulullah s.a.w

“Sesiapa yang berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan, kemudiannya diikuti dengan puasa sunat selama enam hari di bulan Syawal, seolah-seoalah (ganjarannya) seperti berpuasa sepanjang masa”. HR: Muslim.

· Istiqamah perlu diprogramkan untuk meneruskan kelangsungan nilai taqwa yang berterusan. Ia hendaklah :

i. Mengambil tindakan yang betul (jadikan al-Quran sebagai rujukan dan panduan hidup)

ii. Betul-betul melaksanakan tuntutan dan syaratnya (untuk mencapai matlamatnya).

· Mencari ruang selepas Ramadhan (penerusan Program Taqwa -20% sbg standard istiqamah drp amalan Ramadhan tahun ini - berdasarkan hadith Semangat Istiqamah drp Rasulullah s.a.w di atas – 6 hari puasa (Syawal) drp 30 (Ramadhan)=1/5 @ 20 %). Contohnya:-

AL-QURAN & ILMU

AMALAN

Semasa Ramadhan

Selepas Ramadhan

(Istiqamah)

Baca al-Quran

1 juz (20 ms)

4 ms sehari

Baca Buku Agama

5 tajuk seminggu

1 tajuk seminggu

Hadiri Kelas Agama /Ilmu

Setiap hari

Sekurangnya 6 kali sebulan

Ke masjid (solat)

Setiap hari

(150 waktu)

Tdk kurang drp 30 waktu

Puasa sunat

Sebulan

6 hari sebulan

Sedekah

5% drp gaji

1% drp gaji

Qiamulail

Setiap malam

6 kali sebulan

*Lain-lain program pilihan

*Lain-lain amalan pilihan

20 % drp amal Ramadhan

* Pilihlah sekurang-kurangnya satu amalan sepanjang Ramadhan utk dijadikan amalan berterusan sepanjang hidup selepas Ramadhan ini.

4. PENUTUP

Semoga dengan Allah menyediakan ruang untuk mengenaliNya di bulan Ramadhan (membuka pintu RAHMAT –melalui hati yg dihidupkan, kekangan nafsu, dsb), semoga selepas Ramadhan kita sendiri akan mencari ruang untuk Allah (taqarrub) selepas merasai nikmat dan bahagianya sewaktu mengenaliNya dalam ruang yang terbatas (Ramadhan) dengan nilai pengabdian dan istiqamah.

Disediakan oleh : Hasbullah bin Mohamad

Thursday, May 20, 2010

Bahaya Wanita Merokok



Merokok Hobi Gila Wanita Malaysia

oleh HermanSamsudeen

Kita biasa lihat lelaki merokok, tapi kali ini saya nak hanya fokus trend wanita merokok yang kini semakin menjadi-jadi. Jika dahulu mereka hanya merokok ditempat-tempat tertutup, kini kita dapat melihat dimana-mana sahaja wanita merokok. Di dalam bangunan, luar bangunan, dalam kereta, restoran dan macam-macam lagi.

Jumlah wanita muda Malaysia yang merokok juga meningkat dan kini kalangan pelajar sekolah sudah ramai yang berjinak-jinak dengan aktiviti yang tidak sihat ini. Mereka bermula dengan perasaan mencuba atau suka-suka. Akhirnya pengaruh nikotin yang tinggi memerangkap mereka untuk menjadi penagih rokok yang tegar.

Masalah ini sering juga dikaitkan dengan tekanan perasaan, walaubagaimana pun ia sudah menjadi suatu kegemaran yang dianggap sebagai simbol gaya hidup yang mempengaruhi perlakuan serta pergaulan.

Wanita-wanita yang jadi kaki ‘clubbing’ boleh dikatakan penagih rokok yang aktif. Kalangan mereka ramai juga yang terdiri dari eksekutif muda dan menjadikan trend merokok itu sebagai suatu tuntutan hak kewanitaan agar sama taraf dengan lelaki yang kononnya ‘macho’ kalau merokok.


Disebalik kelakuan yang tidak sihat ini, mereka juga tahu bahawa merokok itu punyai kesan yang mendalam kepada orang-orang disekeliling mereka. Disini saya lampirkan satu artikel menarik dari mail Peret berkaitan dengan isu ini;

TAHUKAH ANDA - PUNCA & AKIBAT DARI WANITA MEROKOK

ISU mengenai peningkatan wanita merokok kembali menjadi topik perbualan apabila kajian mendapati bilangan wanita yang merokok di negara ini telah meningkat 100 peratus pada 2003 berbanding pada tahun 1996.

Isu merokok kini merupakan masalah global yang boleh memudaratkan sistem kesihatan seluruh tubuh badan, menjejaskan produktiviti dan ekonomi negara.

Di mana sahaja kita pergi ada sahaja wanita yang tidak segan silu merokok di khalayak ramai dan mereka seolah-olah bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bagi yang Melayu, ke mana hilangnya adat ketimuran mereka kerana langsung tidak ada sedikit segan atau malu apabila perlakuan mereka diperhatikan oleh masyarakat sekeliling.

Mereka yang merokok bukan sahaja terdiri wanita dewasa sahaja, tetapi kini, pelajar sekolah pun sudah berani berjinak-jinak dengan perbuatan tersebut yang mengundang pelbagai risiko dan juga akibat.

Habis waktu sekolah mereka berkumpul di tempat yang agak tersembunyi dan juga sama-sama merokok. Ada juga yang pada mulanya tidak tahu bagaimana melakukan perkara ini, tetapi apabila mereka menjejakkan diri di institusi pengajian tinggi, mereka mula terpengaruh dengan hasutan rakan sekeliling yang lebih berpengalaman.

Pelbagai faktor menjadi punca dan penyebab kepada pertambahan golongan hawa ini merokok. Salah satu faktor kecenderungan tabiat merokok dikalangan golongan tersebut dikenal pasti berpunca daripada empat faktor utama iaitu fisiologi, sosial, psikologi dan juga persekitaran.

Faktor fisiologi yang menjadi penyebab kepada gejala wanita merokok ialah perkara ataupun alasan yang tidak munasabah dikalangan wanita iaitu merokok dapat mengurangkan berat badan dikalangan wanita yang mementingkan penampilan mereka.

Ekoran kepercayaan di kalangan wanita Malaysia bahawa puntung rokok itu dapat membantu mereka mengekalkan bentuk badan dan menghalang mereka daripada menambah berat badan.

Rata-rata wanita Malaysia percaya bahawa merokok boleh mengawal selera, jadi mereka dapat mengawal pengambilan makanan dan mengawal berat badan mereka dan boleh mengekalkan kecantikan dan bentuk badan, tanpa mengetahui bahawa merokok boleh menjejaskan kulit mereka.

Selain itu, faktor psikologi yang dikaitkan dengan merokok ialah perkara berkaitan imej, ketagihan nikotin serta menangani persaan rendah diri dengan cara mengasingkan diri dari orang ramai dan menjadikan rokok sebagai teman di kala diri penuh masalah serta dilema.

Manakala faktor lain pula ialah persekitaran dan sosial atau lebih kepada terpengaruh dengan pengaruh luar dan rakan sebaya yang menyumbang untuk golongan wanita ini merokok.

Ia sudah menjadi trend golongan wanita hari ini mahu memperjuangkan persamaan taraf itu. Ini bermakna mereka mahu meletakkan diri mereka setaraf dengan lelaki. Golongan wanita percaya dengan merokok, taraf mereka sama dengan golongan lelaki. Bagi mereka, jika wanita boleh melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh lelaki, ia merupakan satu kebanggaan.

Merokok dikalangan wanita sebenarnya memberikan kesan yang teramat buruk dikalangan wanita dan kesan jangka panjang. perokok wanita mempunyai kadar lebih tinggi untuk dijangkiti kanser paru-paru, payu dara, servik dan kolon serta kadar kesuburan 30 peratus lebih rendah berbanding wanita yang tidak merokok.

Pelbagai jenis penyakit timbul berpunca daripada asap yang [b]mengandungi 4,000 bahan kimia[/b] berbahaya kepada jantung, terutama nikotin dan karbon monoksida itu. Wanita yang merokok akan menjejaskan kesihatan mereka dan juga penyumbang kepada penyakit kronik seperti barah payudara, barah rahim, dan sebagainya.

Begitupun, gambaran itu masih tidak cukup untuk menakutkan seorang perokok untuk mengurangkan jauh sekali meninggalkan tabiat berbahaya tersebut. Mereka tidak pernah takut dengan ancaman itu, malah langsung tidak menghiraukan sebarang risiko yang akan mereka hadapi untuk jangka masa panjang.

Seorang perokok yang mengambil lebih daripada 20 batang sehari, akan menghadapi 10 hingga 15 kali ganda risiko maut akibat serangan jantung jika dibandingkan dengan mereka yang tidak merokok.

Ukuran sebatang rokok yang dihisap ialah 0.5 cm dah jika 20 batang yang dihisap sehari akan bersamaan panjang satu meter. Jika seorang perokok itu merokok lebih banyak dan terlalu berat, semakin panjang batang rokok yang mereka ambil, maka semakin pendek umur mereka akibat penyakit yang diundang dalam sedar.

Kajian yang ditulis dalam Jurnal Institut Kanser Amerika Syarikat menyatakan bahawa wanita yang merokok mempunyai risiko terlalu tinggi mengidap penyakit kanser payu dara berbanding mereka yang tidak atau telah berhenti merokok.

Penemuan terbaru melalui kajian yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik diketuai oleh Peggy Reynolds dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan California itu mendapati, wanita yang mengakui mereka mempunyai tabiat merokok menghadapi risiko 30 peratus lebih tinggi dijangkiti penyakit tersebut berbanding mereka yang tidak merokok.

Manakala bagi wanita yang mengamalkan tabiat buruk itu sebelum berusia 20 tahun atau mula merokok sekurang-kurangnya lima tahun sebelum hamil, juga mempunyai risiko yang tinggi. Tetapi, bagi wanita yang pernah merokok dan kemudian berhenti tidak pula menghadapi risiko menghidap kanser payu dara.

Penyakit ini terjadi dikalangan wanita kerana kajian mendapati elemen-elemen asap rokok telah ditemui dalam bendalir payu dara di kalangan wanita yang merokok dan asap rokok sememangnya diketahui mengandungi bahan carcinogens yang berbahaya kepada sel manusia.

Selain nikotin dan karbon monoksida, antara bahan beracun lain yang terkandung dalam asap rokok ialah tar, acetone (penanggal kilat kuku), arsenic (racun anai-anai), ammonia, dioksin dan furan.

Kajian lain turut mendapati selain barah payudara, sekurang-kurangnya 40 penyakit dikaitkan dengan asap rokok, antaranya mati pucuk, jantung, ulser perut, strok, tekanan darah tinggi, keguguran janin, jangkitan saluran pernafasan dan osteoporosis.

Ketika mengandung, berat bayi bagi wanita merokok kemungkinannya tiga kali lebih rendah daripada bayi normal dan lebih tinggi risiko mendapat penyakit serta kematian pada tahun pertama kehidupan. Kualiti susu badan juga berkurangan jika bakal-bakal ibu ini mula merokok semasa bayi dalam kandungan.

Oleh itu, wanita sekarang perlu tahu dan mula buka mata menyedari mengenai bahaya merokok yang mengundang pelbagai bahaya dan risiko. Sebaiknya wanita tidak perlu merokok kerana ia tidak langsung memberikan kesan baik kepada sesiapa sahaja. Wanita Malaysia perlu memelihara adat ketimuran dengan tidak sesekali merokok seperti kaum lelaki.


ROKOK ANCAM JANIN

Kepentingan gaya hidup ibu-ibu yang hamil (seperti merokok) tidak boleh dipandang remeh. Wanita hamil yang merokok lebih banyak melahirkan bayi yang mati bila dibandingkan dengan wanita hamil yang bukan perokok.

Seandainya bayi itu lahir normal, maka bayi wanita perokok lebih sering meninggal pada bulan-bulan pertama kehidupannya.

Dalam daun tembakau umumnya terdapat 1-3 peratus dadah nikotin. Nikotin sememangnya bahan racun dan digunakan sebagai agen pembasmi makhluk perosak.

Bayangkanlah apa yang mampu dilakukan oleh nikotin terhadap janin. Asap dari setiap batang rokok mengandungi tar asap yang apabila termeluap mengandungi pelbagai bahan kimia, termasuk sesetengah yang menyebabkan barah, nikotin akan menyebabkan ketagihan, dan karbon monoksida sejenis gas yang mampu membunuh dengan mengurangkan keupayaan darah membawa oksigen.

Tambahan lagi, nikotin juga boleh berpindah kepada bayi secara langsung melalui susu badan. Di antara akibat kesan toksik merokok terhadap janin yang telah dibuktikan oleh kajian-kajian ditunjukkan di dalam jadual di bawah.

Kesan bahaya rokok terhadap janin

· Perencatan pertumbuhan janin disebabkan oleh penurunan aliran darah ke dalam plasenta.

· Peningkatan kadar kamatian janin (perinatal).

· Kecacatan kepada bayi seperti kecacatan kepada bibir dan palate (`cleft lip dan palate’)

· Peningkatan risiko untuk mengalami sawan.

· Kelahiran sebelum tempoh matang (atau tidak cukup bulan)

· Keguguran

· Penurunan berat badan bayi sebanyak 150-200 gm

· Perkembangan sistem saraf yang tidak normal (contoh: strabismus)

· Berisiko tinggi untuk mendapat lelah/asma

· Sindrom kematian bayi mengejut

· Semua kesan di atas lebih besar kemungkinan berlaku ke atas wanita atau ibu yang merokok berbanding dengan yang tidak merokok.

Alangkah tidak adilnya jika wanita yang merokok yang memilih untuk menderita juga `mendera’ kandungannya. Jika bayi ini terus hidup, tempoh penderitaan bayi tersebut mungkin berpanjangan.

Rancangan kaedah pencegahan harus ditumpukan kepada kanak-kanak dan remaja. Proses ini memerlukan kombinasi penyelidikan yang terperinci mengenai masalah merokok di kalangan ibu-ibu yang mengandung dan kesannya kepada janin serta bayi yang dilahirkan, dan pendidikan yang berkesan kepada masyarakat tentang bahaya merokok.

Program penerangan mengenai bahaya merokok perlu dijalankan di awal lawatan prenatal.

Setiap wanita yang hamil harus berhenti merokok terutamanya semasa hamil dan dalam tempoh tahun pertama selepas bayi dilahirkan.

Bahaya rokok bukan sahaja memudaratkan si ibu malah turut membahayakan anaknya. Setiap individu dan agensi seperti Kementerian Kesihatan, organisasi bukan kerajaan, dan penduduk tempatan mesti bertanggungjawab serta menggembeling tenaga serta kepakaran untuk mengenal pasti punca masalah dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menangani masalah ini. Jika anda mengandung dan masih merokok, berhentilah sekarang!

Hukum Merokok Bagi Orang Islam

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.

4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

Sumber petikan: http://syukran.wordpress.com/