Monday, May 30, 2011

2.3 Aktiviti Kesarjanaannya Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani dan Penulisannya.

Sumbangan Dalam Bidang Fiqh

Shaykh Dawud al-Fatani memainkan peranan yang amat besar di dalam perkembangan fiqh di kepulauan Melayu. Kitab karangan beliau seperti Munyat al-Musalli umpamanya telah menjadi rujukan penting di Nusantara terutamanya dipondok-pondok dan dan masjid-masjid hingga ke hari ini dan ia telah dicetak berulang-ulang kali. Begitu juga dengan kitab Furu’ al-Masa’il adalah kitab Melayu terbesar dan paling lengkap[1] di dalam fiqh di kepulauan Melayu walaupun sudah terdapat karya-karya fiqh yang dikarang sebelumnya seperti kitab Sirat al-Mustaqim yang dikarang oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri dan Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari yang mengarang kitab Sabil al-Muhtadin, tetapi kitab-kitab tersebut tidak merangkumi semua perkara dalam fiqh tetapi hanya membicarakan perbahasan ibadah sahaja. Ia berbeza dengan karya-karya Shaykh Dawud al-Fatani yang lengkap merangkumi semua persoalan fiqh seperti Furu’ al-Masa’il, Minhaj al-Abidin, Fath al-Mannan, Hidayat al-Muta’allim dan Jawahir al-Saniyyah.[2]

Pengaruh beliau dilihat begitu signifikan sekali apabila kitab-kitab karangan beliau mempengaruhi kehidupan masyarakat sehingga ke hari ini seperti Munyat al-Musolli dalam bab solat menurut mazhab Shafi’i. Melalui pengamatan pengarang, kebanyakan kelakuan solat pada yang diamalkan sehingga ke hari ini banyak diadaptasi daripada keterangan daripada kitab tersebut seperti yang diajar di pusat-pusat pengajian pondok dan masjid-masjid. Hal ini dapat dilihat melalui amalan qunut subuh, solat terawih, zikir-zikir dan tahlil yang dilihat begitu sebati dengan masyarakat setempat di Malaysia, Indonesia dan Patani.[3]

Walaupun menguasai pelbagai mazhab, Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani berpegang dengan mazhab Shafii dan berusaha mengembangkan mazhab tersebut malalui karya terjemahan mahupun karya sendiri seperti karya terjemahan bahasa Melayu terhadap matan Zubad yang dikarang oleh Ibn Ruslan al-Dimasqi dan kemudian disyarahkannya menjadi kitab Fath al-Mannan merupakan terjemahan yang pertama di kepulauan Melayu terhadap matan tersebut.[4] Bahkan di dalam kitab Bughyat al-Tullab, beliau menulis biografi Imam Shafii di dalam mukadimah kitab tersebut. Shaykh Dawud al-Fatani pernah menghuraikan permasalahan yang tidak terdapat di dalam kitab-kitab sebelumnya seperti soal agama dalam perkara-perkara furuÑ yang berkaitan seperti yang terdapat di dalam Furu’ al-Masa’il.

Di dalam sebahagian daripada bentuk penulisan Shaykh Dawud al-Fatani, beliau menggabungkan lebih daripada satu disiplin ilmu yang merangkumi persoalan aqidah, fiqh dan tasawwuf di dalam karya penulisan beliau. Tradisi ini jugalah yang dilakukan oleh kebanyakan ulama nusantara yang dilihat seperti pendekatan yang diambil al-Ghazali di dalam penulisannya.[5] Di antara kitab beliau yang menggunakan pendekatan tersebut seperti kitab Jam al-Fawa’id, Fath al-Mannan, Minhaj al-Abidin, Hidayat al-MutaÑallim dan Sullam al-Mubtadi. Kitab Jam’ al-Fawa’id umpamanya adalah sebuah kitab yang membicarakan persoalan iman, kemudian diikuti dengan taharah, solat dan perbincangan fiqh, serta diakhiri dengan tasawwuf.[6] Manakala kitab Fath al-Mannan dalam membicarakan persoalan fiqh, lalu diselitkan di awal perbincangan kitab tersebut beberapa persoalan keimanan dan aqidah seperti yang terdapat di dalam matannya Zubad karangan Ibn Ruslan.

Di samping itu, beliau juga telah menyusun sebahagian daripada karya tulisan penulisan beliau dengan mengikut tahap-tahap pendidikan masyarakat dengan membahagikannya kepada tiga peringkat iaitu peringkat permulaan, pertengahan dan tinggi.[7]

Kesimpulannya, beliau mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan fiqh dan pengaruhnya di dalam masyarakat Melayu di nusantara. Ini adalah kerana beliau menyediakan bahan rujukan dan karya yang lengkap di dalam ilmu fiqh yang tersebar di kepulauan Melayu untuk semua peringkat di samping peranan yang dimainkan oleh murid-murid beliau yang ramai semasa di Mekah dahulu dan kemudiannya pulang ke tanah air masing-masing dengan membuka dan menyebarkan ilmu yang mereka perolehi daripada Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ semasa di Mekah. Dengan itu, pengaruh Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ menjadi begitu signifikan sekali di kepulauan Melayu.



[1] See Mohd Nor Ngah, 6.

[2] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 99-102.

[3] Ia berlaku seolah-olah ada satu bentuk (patern) sahaja dalam amalan-amalan tersebut terutamanya di kalangan generasi tua yang pernah mendapat pendidikan di pondok-pondok pengajiandi Nusantara sebelumnya. Menurut Hamka, Islam adalah jatidiri masyarakat masyarakat Melayu di kepulauan Melayu. Peranan penting yang dimainkan oleh ulama-ulama Islam sebagai pedagang dan pendakwah semenjak dari awal penyebaran Islam lagi dan kemudiannya diteruskan oleh ulama-ulama kemudiannya secara berterusan menjadikan Islam diterima sebagai agama kehidupan mereka. See Hamka, Sejarah Ummat Islam, vol.4,….

[4] Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 85.

[5] Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani kebiasaannya menggabungkan tiga disiplin ilmu utama yang dimulai dengan aqidah, kemudiannya diikuti oleh fiah dan diakhiri dengan tasawwuf atau akhlak. Begitu juga pendekatan yang dilakukan oleh al-Ghazali di dalam Ihya’.

[6] See Dawud bin Abdullah al-Fatani, JamÑ al-FawÉ’id wa JawÉhir al-QalÉ’id, (Patani: MatbaÑah bin al-Halabi, n.d).

[7] Sebagai contohnya, kitab Sullam al-Mubtadi disusun sesuai untuk peringkat permulaan. Pada peringkat pertengahan diwakili oleh kitab Hidayat al-MutaÑallim dan al-Jawahir al-Saniyyah, manakala pada peringkat lanjutannya melalui kitab Fath al-Mannan dan FuruÑ al-Masa’il.

No comments: