Rakyat Malaysia belanja RM90 juta sebulan beli rokok
Oleh Suhana Abdul Mutalib
SHAH ALAM 24 Sept. – Rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM3 juta sehari atau RM90 juta sebulan untuk membeli rokok.
Menyedari fenomena membimbangkan itu, kerajaan Selangor dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menganjurkan kempen khusus sempena bulan Ramadan ini untuk menggalakkan orang ramai terutama umat Islam berhenti merokok.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, jika dalam tempoh berpuasa perokok boleh mendisiplinkan diri tidak merokok, tidak mustahil untuk mereka terus meninggalkan tabiat yang bukan sahaja mengancam kesihatan tetapi juga pembaziran.
“Saya terkejut apabila angka itu didedahkan oleh Pengarah HTAR, Dr. Yahya Babai, cuba bayangkan RM3 juta sehari, kalau didarab sebulan dah jadi RM90 juta, kalau setahun?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, memandangkan pada siang hari umat Islam berpuasa, jadi beliau amat berharap kempen ini akan berjaya dilaksanakan seterusnya mengelakkan perbelanjaan merokok di kalangan masyarakat di negara ini.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid di seluruh negeri agar menjadikan masjid sebagai kawasan larangan merokok.
Katanya, arahan itu diadakan bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih sihat terutamanya di tempat suci seperti masjid yang mejadi tumpuan orang ramai untuk beribadah.
‘‘Jika pemeriksaan ke masjid-masjid mendapati ada disediakan tempat abu rokok, tindakan disiplin akan diambil, kita mahu masjid bebas sepenuhnya dari kawasan merokok,” katanya.
KOmen : Kalu nak berjimat atau berhenti daripada tabiat merokok , maka Ramadhan lah gelanggang yang paling berkesan untuk usaha tersebut. Allah telah merencanakan sendiri program Ramadhan untuk mengawal nafsu manusia setelah manusia gagal dalam usahanya untuk mengurangkan nafsu dengan bermacam-macam cara . Tambahan pula, ubat untuk mengurangkan nafsu tidak dijual di farmasi-farmasi , took-toko ubat dan sebagainya. Kalau ada pun tak mujarab ……
No comments:
Post a Comment