TARJIH & TALFIQ
Soalan ;
Assalamualaikum ya ustaz.....
Apakah perbezaan talfiq dan tarjih? Adakah kekuatan dalil yang telah dijumpai setelah kajian dibuat dalam sesuatu masalah hukum melalui pandangan-pandangan empat mazhab dipanggil sebagai talfiq juga?
Jawapan 1 :
Tarjih bermaksud membuat penilaian dan pemilihan terhadap dalil-dalil yang dilihat bertentangan atau terhadap beberapa pandangan yang berlawanan iaitu dengan menselarikan antara dalil-dalil jika dapat dilakukan atau memastikan dalil yang mana paling kuat jika tidak dapat diselarikan.
Jika tarjih dibuat terhadap pandangan-pandangan, tujuannya ialah untuk memastikan pandangan mana yang paling kuat dalilnya atau paling menepati segi syarak.Pentarjihan harus dilakukan oleh orang-orang berkelayakan samada mujtahid atau fuqaha’ dan tidak harus sewenang-wenangnya diserahkan kepada orang yang jahil atau medakwa alim kerana boleh membawa kepada merosakkan agama.
Proses pentarjihan berjalan sejak dari dulu hingga ke hari ini.Para ulama’ yang menjadi sandaran umat pada zamannya akan membuat tarjih terhadap pandangan-pandangan yang berbeza oleh ulama’-ulama’ sebelumnya dalam sesuatu kes supaya orang awamdapat mengetahui dan beramal dengan pandangan yang paling tepat dengan hukum syarak.
Imam Nawawi sebagai contohnya di dalam berdepan dengan masalah seorang yang terpaksa solat dalam keadaan tidak bersuci kerana tidak ada air untuk mengambil wudhu’ dan tidak da debu untuk bertayammum.Adakah ia wajid solat juga dan adakah wajib ia mengulangi solatnya?
Sebelum beliau ada 4 pandangan ulama’ :
i. Wajib solat dan wajid ulang.
ii.Haram solat.Mesti tunggu hingga dapat bersuci baru tunaikan solat sekalipun di luar waktu.
iii.Sunat solat dan wajib diulangi solat tersebut.
iv.Wajib solat dan tidak wajid mengulanginya.
Imam Nawawi dalam tarjih beliau telah memilih pandangan yang keempat kerana menurut beliau pandangan itu menepati syarak. (lihat Syarah Sahih Muslim).
Itu adalah satu contoh dari ribuan tarjih yang dilakukan ulama’.Kita sebagai orang awam hendaklah sentiasa mendampingi ulama’ dan beramal dengan tarjih mereka.Adapun kita hendak memandai-mandai sendiri tidak harus.
Pada hari ini, contoh ulama’ yang mempunyai kelayakan untuk melakukan tarjih ialah Syeikh Dr Yusuf Qaradhawi.Keilmuan beliau diakui oleh ulama-ulama sezaman dan umat Islam sendiri.
Dalam masalah zakat ke atas produk pertanian sebagai contohnya, dikalangan ulama-ulama silam ada yang menyempitkan skop pertanian yang wajid zakat kepada jenis-jenis tertentu sahaja.
Mazhab Syafie hanya mewajidkan zakat pertanian ke atas bijian yang menjadi makanan ruji masyarakat setempat.Namun, ada ulama yang memperluaskan skop pertanian yang wajid zakat kepada semua jenis pertanian asalkan memenuhi syarat-syarat dari segi nisab dan sebagainya yang ditetapkan syarak.Maka, Dr Yusuf Qaradhawi dalam buku Fiqh Al Zakat tulisan beliau telah mentarjihkan pandangan yang kedua dan tarjih beliau diterima dan diamalkan oleh keseluruhan negara umat Islam hari ini.
Jawapan 2 :
Adapun masalah talfiq, ia diharuskan jika tujuannya bukan untuk mempermudah-mudahkan agama seperti sengaja mencari pandangan-pandangan yang senang dan mudah dari mazhab-mazhab yang ada untuk menjadi amalan atau pegangan agama.Talfiq sebegini akan membawa kepada rosak agama jika dibenarkan.
Talfiq bermaksud : seseorang itu mengikut / bertaqlid satu mazhab tertentu dalam ibadahnya, kemudian dalam satu keadaan atau bahagian-bahagian tertentu ia mengikuti / bertaqlid pula kepada mazhab atau pandangan yang lain.Adakah perbuatan ini harus?
Menurut ulama, sekalipun seorang itu bertaqlid kepada suatu mazhab, tidak haram baginya untuk berpindah mazhab secara keseluruhannya atau pada masalah-masalah tertentu.Tetapi keharusan itu tertakhluk dengan syarat-syarat berikut:
i. Hendaklah mazhab yang diikuti merupakan mazhab yang masyhur khususnya mazhab-mazhab yang empat.Jika pandangan atau tarjih hendaklah dari ulama yang diiktiraf dan diakui oleh umat akan keilmuannya.
ii.Tidak bertujuan mencari yang mudah-mudah dari pandangan-pandangan mazhab.
iii.Tidak membuat himpunan antara mazhab-mazhab dalam bentuk yang membawa akan percanggahan dengan pandangan sekalian ulama atau ijma’ mereka.
Contohnya, seorang berkahwin tanpa wali kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Abu Hanifah yang tidak mensyaratkan wali dalam akad perkahwinan.Tanpa saksi kerana bertaqlid kepada mazhab Imam Malik yang tidak mewajidkan saksi dan tanpa mas kahwin kerana bertaqlid kepada mazhab Abu Hanifah yang mengharuskan jika diletakkan syarat oleh pihak lelaki dan dipersetujui oleh pihak perempuan.Perkahwinan tanpa tiga perkara tersebut tidak dianggap sah oleh sekalian ulama.
Maka talfiq sebegini adalah haram kerana menyalahi ijma’ ulama.( Rujuk Taqrib Al Usul, Abi Al Qasim al Gharnati halaman 158 ).
Menurut Dr Abd Karim Zaidan, " Harus seorang pengikut mazhab mengikut atau beramal dengan pandangan mazhab lain asalkan hal tersebut dilakukannya kerana suatu dalil yang mengajaknya untuk berpindah dari mazhabnya ke mazhab lain dalam masalah-masalah tertentu.Begitu juga harus ia bertanya ulama yang bukan dari mazhabnya berkenaan suatu hukum syarak dalam suatu masalah dan beramal dengan fatwa yang diberikan." ( Al Wajiz Fi Usul – Fiqh; halama 409 )
Wallahulam
Rujukan
1. Yas alunaka Fi ad-Din wa al-Hayah, Dr Ahmad As Syirbasi, jilid 1 dan 5.
2. Fatawa Syariyyah, Syeikh Hasanin Makhluf, juzuk 1.
3. Taqrib al Usul ila ilmu al-Usul, Imam Abi Qasim al Gharnati ( wafat 741 H ).
4. Al Wajiz Fi Usul Fiqh, Dr Abd Karim Zaidan
5. Usul Fiqh, Syeikh Muhammad Al Hudari
moderator : Us Ahmad Adnan Fadil
No comments:
Post a Comment