RAMADHAN BULAN KERAHMATAN DAN KEBERKATAN
1.0 Mukaddimah
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling mulia di dalam Islam. Di dalamnya diwajibkan ibadah puasa, diturunkan al-Quran dan juga merupakan bulan kemenangan di dalam sejarah peperangan Islam yang pertama iaitu “Badar al-Kubra”. Oleh itu, umat Islam perlu menyingkap rahsia-rahsia di sebaliknya agar mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin ‘bonus’ yang disediakan Allah untuk umatNya.
2.0 Syariat dan pengertian Ramadhan
Ramadhan berasal dari kalimah bahasa Arab (رمض- يرمض- رمضاء ) bermaksud ‘sangat panas’, iaitu sangat panas rongga badan (perut) akibat sangat dahaga, manakala puasa (الصوم ) bermakna ‘menahan diri’ .Menurut Al-Tumurtashi puasa Ramadhan ialah ‘menahan diri daripada perkara yang membatalkannya secara hakiki atau hukmi, pada waktu yang tertentu (subuh sehingga maghrib), ke atas individu tertentu (mukallaf) beserta niat’.
Puasa Ramadhan telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah.
3.0 Ramadhan sebagai “madrasah taqwa”
Kemerlangan sesebuah madrasah (pusat pengajian) atau tarbiyah memerlukan gabungan ‘murabbi’ (pendidik), pelajar dan program (silibus) yang mantap. Kombinasi tersebut mampu menghasilkan generasi harapan yang bertaqwa dan cemerlang.
Begitu juga dengan ‘madrasah Ramadhan’, Allah (swt) dan RasulNya (saw) merupakan murabbi dengan menggunakan al-Quran dan al-Sunnah mampu mendidik ummah (pelajar) dengan program puasa melalui silibus taqwa agar taat terhadap segala suruhanNya dan meninggalkan laranganNya serta pemupukan nilai-nilai terpuji seperti sabar, qana’ah,yakin janji Allah, syukur, mujahadah, pemurah, wara’ dan sebagainya.
4.0 Puasa dan kaitannya dengan syurga, neraka dan syaitan
Pada bulan Ramadhan pintu syurga akan dibuka (jalan / peluang untuk umat Islam memperolehinya) dan neraka ditutup serta syaitan dibelenggu.
" اذا جاء رمضان فتحت ابواب الجنة وغلقت ابواب النار وصفدت الشياطين"
5.0 Galakan mengerjakan amal soleh dan kebajikan
Digalakkan memperbanyakkan ibadah dan menghidupkan malam serta membaca al-Quran.
" اذا دخل العشر الأواخر من رمضان، أحيا الليل وأيقظ أهله وجد وشد المعزر"
Rasulullah (saw) memperbanyakkan bersedekah dan memberi bantuan serta bertadarus di bulan Ramadhan melebihi bulan-bulan lain.
" كان رسول الله صلي الله عليه وسلم أجود الناس، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه القرآن، فلرسول الله صلي الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة"
Umat Islam hendaklah menjadikan Ramadhan sebagai pencetus untuk memulakan dan mendidik diri dengan sifat-sifat baik atau sebagai usaha pembaikan amalan-amalan soleh yang lepas untuk terus istiqamah di masa akan datang.
"من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر"
6.0 Nilai (ganjaran) amalan soleh di “upgrade” pada bulan Ramadhan
Allah (swt) menggandakan ganjaran ibadah dan amal soleh lebih daripada bulan-bulan lain.
" قال رسول الله صلي الله عليه وسلم: قال الله عز وجل: كل عمل ابن آدم له إلا الصيام، فإنه لي وأنا أجزي به"
Di dalam bulan Ramadhan terdapat “Lailatul Qadr” yang lebih baik (ganjarannya ) daripada seribu bulan.
7.0 Ramadhan merupakan bulan kemenangan Islam
Kemenangan Rasulullah (saw) dan para Sahabat di dalam peperangan Badar berlaku pada bulan Ramadhan.
Hari raya merupakan hari kemenangan umat Islam melawan hawa dan syaitan agar tidak terpesong daripada syariat Allah (swt).
”... للصائم فرحتان يفرحهما : اذا أفطر فرح بفطره، واذا لقي ربه فرح بصومه"
8.0 Peranan puasa sebagai kawalan diri (nafsu) di dalam perlaksanaan syariat Islam .
Islam memberi galakan berpuasa bagi pemuda (individu) yang tidak mampu berkahwin. Hal ini dapat mengawal dirinya daripada terjerumus ke lembah penzinaan dan masalah sosial yang lain.
Hukuman berpuasa kepada mereka yang bersetubuh di waktu siang pada bulan Ramadhan, denda kerana melanggar larangan-larangan haji dan sebagainya adalah bertujuan mendidik jiwa yang patuh dan bersabar di dalam melaksanakan ketaatan terhadap suruhan Allah (swt).
9.0 Penutup
Setiap muslim dan muslimah hendaklah memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dengan memperbanyakkan ibadah-ibadah wajib dan sunat serta amal-amal soleh untuk mendekat diri kepada Allah (swt). Para Sahabat telah membuktikannya di dalam kehidupan mereka, kehadiran Ramadhan dinantikan dengan penuh kegembiraan dan mereka menangisi pemergiannya seperti kehilangan seseorang yang amat dikasihi mereka. Maka tidak hairanlah taqwa menjadi milik mereka dan kecemerlangan dapat dijana di dalam segenap aspek kehidupan mereka sama ada urusan keduniaan mahupun akhirat.
No comments:
Post a Comment