Schism lawan dakyah Fitna
JEDDAH: Seorang penulis blog Arab Saudi berjaya menghasilkan sebuah video selama enam minit berjudul Schism dengan memetik ayat dalam kitab Injil yang menghalalkan peperangan, sebagai reaksi tindakan ahli parlimen Belanda Geert Wilder menghina Islam menerusi filem bertajuk Fitna.
Raid Al-Saeed, 33, menunjukkan di dalam filemnya, beberapa petikan kitab Injil yang menggalakkan peperangan dan membuat tambahan dengan klip rakaman memperlihatkan kumpulan ekstremis Kristian menyampaikan ceramah berunsur keganasan.
"Saya menghasilkannya dalam tempoh kurang 24 jam. Dalam 'Schism' saya menggunakan metodologi sama digunakan Wilders dan ia membabitkan petikan yang disalah tafsir," katanya.
Beliau berkata langkah yang diambil untuk menghasilkan filem itu adalah bagi membuktikan bahawa adalah salah untuk mengadili dan menilai Islam dengan menonton Fitna. Petikan ini dicatatkan Raid pada penghujung filemnya.
"Memang mudah untuk memetik mana-mana bahagian dalam kitab suci dan menyalah tasfirkan petikan itu sehingga membuat ia seolah-olah kelihatan seperti sebuah kitab yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan. "
"Inilah yang dilakukan Geert Wilders untuk mendapat sokongan bagi ideologinya yang penuh perasaan kebencian. Berikutan itu saya menghasilkan Schism sebagai satu reaksi balas," katanya.
Raid berkata beliau tidak percayai ada kitab suci menggalakkan keganasan dan pertumpahan darah.
Beliau berkata Fitna dibuat 'berasaskan kebencian' dan Wilders menyalahgunakan 'kebebasan bersuara yang dinikmatinya, " kata beliau yang menambah, filem Wilders menunjukkan perasaan perkauman dan kebencian yang dimilikinya.
Apabila Raid mengirim klipnya ke YouTube pada 1 Mac, ia dibatalkan 12 jam kemudian dengan satu pesanan daripada laman itu yang menyatakan klip berkenaan bercanggah dengan terma yang ditetapkan.
Raid menulis semula kepada You Tube dan bertanya mengapa filemnya dibatalkan sedang Fitna dibenarkan untuk terus dilayari. Beliau memuat naik filem itu sekali lagi dan menambah mesej kepada pentadbir laman meminta mereka menyaksikan Wilders sebelum membatalkan 'Schism'.
Video beliau sudah disaksikan lebih 1,800 kali dan kembali semula ke YouTube sejak 2 Mac. Ia juga boleh disaksikan melalui Google.
Raid menegaskan matlamat beliau bukan untuk menyemarakkan kebencian sebaliknya untuk memberitahu dunia bahawa seseorang itu tidak boleh mengadili sesuatu agama atau ideologi dengan tafsiran yang menyalahi hakikat dan perkara sebenar. – Agensi
...
http://www.youtube. com/watch? v=dGw6rsQ8xHk&feature=related
http://www.youtube. com/watch? v=rpiccERJaFk
dipetik drpd: tranungkite.net
No comments:
Post a Comment