HADITH SEBAGAI HUJAH DI DALAM AKIDAH
Hadith merupakan sumber perundangan Islam yang kedua selepas al-Quran. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan wajib beramal dengan hadith Rasulullah s.a.w. Firman Allah:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ
فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ
خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا (59)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya"
Rasulullah s.a.w juga bersabda di dalam hadith riwayat daripada Abu Hurairah:
" كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى
قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى "
Maksudnya: “Setiap umatku akan dimasukkan ke dalam syurga kecuali mereka yang enggan, ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w : siapakah yang dikatakan enggan itu ?, Baginda menjawab : sesiapa yang taat kepadaku akan dimasukkan kedalam syurga dan sesiapa yang mendurhakaiku maka sesungguhnya ia enggan (akan dimasukkan ke dalam neraka) ”.
Para Sahabat secara ijma’ menerima hadith sebagai sumber syariat Islam bersama al-Quran. Ini telah dipraktikkan oleh Khulafa` al-Rasyidin dan mereka yang selepasnya sama ada di dalam pertuturan mahupun perbuatan dan amalan mereka.
Akidah Semasa Rasulullah s.a.w.
Rasulullah s.a.w telah menjelaskan tentang usul (usuluddin) di dalam Islam kepada para Sahabat secara menyeluruh agar mereka benar-benar memahami tentang kewujudan mereka di dunia ini untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dengan mengunakan metodologi al-Quran dan al-Sunnah.
Pendekatan yang dibawa oleh baginda s.a.w telah memberi pengaruh yang amat besar di dalam diri para Sahabat ditambah pula dengan mereka menyaksi sendiri penurunan wahyu al-Quran dan bertanya kepada baginda sendiri tentang perkara yang perlu kepada penjelasan dan penerangan.
Mereka berpegang dengan al-Quran di dalam mengenal Allah s.w.t , mengithbatkan sifatNya, mengenali para nabi dan rasul. ‘a.s. Disamping itu, penjelasan Rasulullah tentang persoalan ketuhanan, kenabian dan sam’iyyat mengukuhkan lagi akidah mereka.
Al-Zarkasyi (M. 794H) menyatakan punca kekuatan akidah para Sahabat pada masa tersebut ialah dengan tauhid mereka tentang kepercayaan kepada khaliq (Allah) , nama, sifat dan perbuatanNya, mengingati janji baik dan buruk, syurga dan neraka serta hukum-hukum dengan berpandukan sumber-sumber wahyu daripada al-Quran dan al-Sunnah tanpa ragu-ragu sedikit pun malah mereka mengatakan : “kami beriman dengan Allah dengan sebenar-benarnya “ (آمنت بالله ) .
Rasulullah s.a.w melarang daripada berfikir tentang Zat Allah s.w.t , sebaliknya hendaklah berfikir terhadap kejadian dan penciptaan Allah seperti kejadian langit , bumi dan segala isi kedua-duanya seperti di dalam hadith baginda s.a.w
" لا يزال الناس يتسألون حتى يقال هذا خلق الله الخلق فمن خلق الله ؟
فمن وجد ذلك فليقل آمنت بالله "
Maksudnya: “Sentiasalah manusia bertanya-tanya tentang Allah yang menjadikan makhluk, oleh itu siapa pula yang menjadikan Allah ? Sesiapa yang mendapati sedemikian hendaklah mengatakan aku beriman dengan Allah (seperti yang diperintahkan)”
Nabi s.a.w telah meletakkan asas yang kukuh di dalam mengenali perkara berkaitan usuluddin dan furu’nya dengan berpandukan terhadap apa yang dinyatakan Allah s.w.t di al-Quran dan wahyu Allah kepada Nabi s.a.w. Segala perbahasan adalah berpandukan kepada kedua-dua sumber tersebut. Inilah manhaj yang digunakan oleh Ahli Hadith (Salaf) di dalam metodologi akidah mereka.
Kedudukan Hadith Sebagai Sumber Islam
Al-Quran merupakan sumber Islam yang utama. Di samping itu hadith Rasulullah s.a.w sebagai penjelasan dan pelengkap al-Quran. Kedua-dua sumber tersebut tidak boleh dipisahkan dan dipertikaikan kerana keduanya-duanya itu datang melalui wahyu Allah s.w.t
Rasulullah s.a.w telah menjadi tempat rujukan utama mereka apabila timbul sebarang kemusykilan dan masalah terutamanya persoalan akidah di dalam kehidupan mereka.
Gabungan di antara al-Quran dan hadith membuktikan kesyumulan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. . Kedudukan hadith menjadi lebih istimewa apabila umat Islam diwajibkan mengikuti segala ajaran baginda s.a.w. sama ada berbentuk suruhan mahupun larangan. Ia bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ
تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ
الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا(59)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.
Ini menjelaskan bahawa hanya al-Quran dan hadith sahajalah yang boleh menyelamatkan manusia daripada kesesatan dan kegelapan hidup di dunia mahupun di akhirat.
Ketaatan kepada Rasulullah s.a.w. bermakna ketaatan kepada Allah s.w.t. jua. Ijma’ ulama menyatakan bahawa al-Quran dan hadith yang sahih sebagai sumber utama akidah yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Hadith yang dijadikan sebagai hujah di dalam akidah hanyalah hadith yang benar-benar berautoriti seperti hadith Mutawatir. Manakala hadith Ahad yang sahih dan disokong oleh riwayat yang lain juga diterima sebagai hujah. Manakala hadith da’if tidak diterima sama sekali di dalam akidah.
Penggunaan Hadith Ahad di dalam Akidah
a. Bahagian Hadith Mutawatir
Ahli hadith telah membahagikan hadith kepada Mutawatir dan Ahad. Hadith Mutawatir ialah hadith yang diriwayatkan oleh bilangan yang ramai di setiap peringkat dan mustahil untuk mereka melakukan pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w.
Hadith Mutawatir mempunyai kedudukan yang kukuh kerana ia diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai di dalam setiap peringkat. Justeru, para ulama sepakat bahawa umat Islam wajib beramal dengan hadith Mutawatir kerana ia telah sampai kepada darjat yaqin dan orang yang menolak hadith tersebut adalah kafir . Contoh hadith tersebut adalah seperti sabda Rasulullah s.a.w:
"من كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار"
Maksudnya: “Barang siapa yang mendustaiku dengan sengaja maka akan disediakan tempat duduknya di dalam neraka”.
b. Bahagian Hadith Ahad
Manakala hadith Ahad pula ialah hadith yang tidak memenuhi syarat-syarat bilangan perawi untuk sampai ke peringkat hadith Mutawatir sama ada bilangan perawinya satu mahupun ramai. Ia adalah hadith sahih, hasan dan da’if.
Hadith Ahad digunakan dengan meluas sebagai hujah dan dalil. Ini adalah disebabkan kerana sebilangan besar daripada jumlah hadith adalah berbentuk hadith Ahad jika dibandingkan dengan hadith Mutawatir dengan bilangannya yang amat sedikit. Para ulama tidak sepakat tentang penggunaan hadith Ahad di dalam hujah.
Jumhur Sahabat dan Tabi’in berpendapat bahawa hadith Ahad dikira sebagai hujah dan wajib beramal di dalam semua perkara yang berkaitan dengannya.Ia mencakupi perkara yang berkaitan dengan akidah, fiqh, akhlak dan semua urusan kehidupan individu mahupun bermasyarakat.
Sementara itu ada golongan yang berpendapat bahawa hadith Ahad tidak boleh dijadikan hujah dan tidak wajib beramal dengannya. Pendapat ini telah dipelopori oleh golongan al-Rawafid, al-Qadariah, al-Jubba`i daripada al-Mu’tazilah.
Sebahagian daripada ulama Mu’tazilah berpendapat bahawa apabila ummah (di dalam bilangan yang ramai) beramal dengan hadith tersebut maka ia dikira sebagai sahih . Ini kerana secara logiknya ia menjadi kuat dan boleh dibuat hujah dengan riwayat yang banyak.
Al-Jubba`i (M. 303H) menjelaskan bahawa tidak wajib beramal dengan sesuatu hadith kecuali ia diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai sekurang-kurangnya dua orang , malah ada juga yang berpendapat bahawa bilangan perawinya hendaklah sekurang-kurangnya seramai empat orang di setiap peringkat.
Ini menunjukkan bahawa mereka menolak hujah hadith Ahad dengan alasan sesuatu hadith boleh dibuat hujah sekiranya diriwayatkan oleh bilangan yang ramai bahkan sehingga mencapai peringkat Mutawatir dari segi bilangan perawinya.
Menurut mereka , hadith Ahad merupakan hukum tambahan ke atas nas-nas al-Quran yang telah lengkap. Oleh itu ia tidak boleh dijadikan sebagai hujah kecuali hadith Mutawatir yang diriwayatkan oleh perawi yang ramai dan mustahil mereka akan melakukan pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w.
Jumhur ulama yang berpendapat hadith Ahad sebagai hujah adalah berdasarkan kepada dalil-dalil dan hujah daripada nas al-Quran, hadith dan ijma’ para Sahabat . Mereka berdalilkan al-Quran tentang boleh menerima perkhabaran daripada seseorang itu sekiranya beliau bukan seorang yang fasik. Allah s.w.t. berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ
فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.
Daripada ayat tersebut dapatlah difahami bahawa sekiranya perkhabaran itu dibawa oleh seseorang yang dipercayai fasik maka hendaklah memastikan terlebih dahulu kebenaran berita yang dibawanya itu. Sebaliknya, jika berita tersebut dibawa oleh seorang yang boleh dipercayai (thiqah), maka perkhabaran tersebut boleh diterima. Begitu juga dengan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang dikenali umum sebagai seorang yang thiqah adalah lebih layak untuk diterima.
Terdapat banyak hadith yang menunjukkan boleh menerima Hadith Ahad sebagai hujah sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud r.a , sabdanya:
" من أحدث عنى بحديث يرى أنه كذب فهو أحد الكاذبين"
Maksudnya: “Sesiapa yang meriwayatkan daripadaku hadith dan dilihat (berat sangka) sebagai pendusta maka ia digolongkan sebagai salah seorang pendusta”.
Para Sahabat juga secara ijma’ menerima Hadith Ahad sebagai hujah di dalam kehidupan mereka. Di dalam peristiwa pertukaran arah kiblat dari Baitul Muqaddis ke Ka’bah di Mekah, mereka pada masa itu melakukan solat Subuh di Quba’ menerima berita tersebut daripada hanya seorang Sahabat sahaja lantas memusingkan arah sembahyang mereka ke arah Ka’bah di Mekah.
Kejadian ini menunjukkan mereka menerima hadith Ahad sebagai hujah di dalam amalan mereka. Hal ini telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar di dalam hadithnya:
"بينما الناس بقباء إذ جائهم آت، فقال: إن النبى صلى الله
عليه وسلم قد أنزل عليه الليلة قرآن وقد أمر أن يستقبل القبلة
فاستقبلوها وكانت وجوههم إلى الشام فالستداروا الى الكعبة"
Maksudnya: “Ketika sekelompok menusia (Sahabat) berada di Quba’ telah didatangi oleh seseorang dan berkata: sesungguhnya Nabi s.a.w. telah diturunkan wahyu kepadanya pada malam tadi dan diperintahkan supaya menghadap kiblat di mana sebelum ini mereka mengadap ke arah Syam, lantas mereka memusingkan diri ke arah kaabah”.
Namun begitu , para ulama tidak sepakat di dalam menentukan syarat hadith Ahad yang boleh beramal dengannya berdasarkan kepada perawi hadith yang sedikit dan tidak sampai tahap Mutawatir termasuklah bilangan perawinya seorang sahaja.
Al-Amidi (M. 631H) dan Ibn al-Hajib menjelaskan bahawa wajib beramal dengan hadith Ahad secara mutlak apabila menepati syarat-syarat hadith sahih.
Manakala al-Subki (M. 771H) menyatakan bahawa hadith Ahad tidak wajib beramal dengannya secara mutlak walaupun terdapat qarinah iaitu hadith lain yang menyokongnya agar lebih kuat melainkan hadith tersebut memenuhi syarat adil di dalam periwayatan hadith.
Jumhur ulama seperti al-Asfiraini, Ibn al-Salah (M. 634H) , al-Syirazi dan Ibn Taimiyah berpendapat bahawa hadith Ahad boleh beramal dengannya apabila diikuti oleh qarinah yang banyak seperti hadith al-Masyhur di dalam permasalahan akidah dan seumpamanya.
Berdasarkan pendapat di atas menunjukkan bahawa ulama begitu berhati-hati menerima sesuatu hadith agar ia datang daripada sumbernya yang asal terutamanya di dalam persoalan akidah.
No comments:
Post a Comment