Wednesday, June 1, 2011


Sumbangannya di Dalam Sosial dan Pelbagai Disiplin Ilmu

Ketokohan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ tidak hanya terhad di dalam bidang keilmuan sahaja bahkan ia juga membabitkan penglibatannya secara langsung di dalam kebajikan sosial dan jihad. Semasa di Mekah, beliau telah diberi amanah sebagai Shaykh al-Hajj yang pertama untuk menjaga kebajikan jemaah haji dari Asia Tenggara. Bahkan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ diberi kepercayaan untuk menjadi imam dan khatib di Masjid al-Haram. Selain daripada itu, beliau juga menjadi pakar rujuk di dalam fiqh mazhab Shafii di Mekah.[1] Kedudukan tersebut menjadikan beliau amat popular di Mekah terutamanya di kalangan masyarakat dari kepulauan Melayu yang datang mengerjakan haji di Mekah. Keadaan tersebut secara tidak langsung menjadikan kitab-kitab karangan beliau mendapat tempat dan menjadi rujukan di kalangan mereka. Justeru, pemikiran beliau dilihat banyak membentuk paradigma pemikiran dan amalan masyarakat di sana.[2]

Di dalam politik menentang penjajahan, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ telah menunjukkan tauladan yang berkesan dengan beliau sendiri berperanan untuk turun ke medan perang menentang penjajahan Siam di Patani dan Kedah di Semenanjung Malaysia pada tahun 1831.[3] Semangat jihad beliau menentang penjajahan kemudiannya diikuti oleh rakan-rakannya dan murid-murid beliau menentang penjajahan di kepulauan Melayu.[4] Di dalam karya-karya penulisannya, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ telah menekankan kepentingan jihad meninggikan syariat Islam. Bagi beliau, matlamat aqidah itu sendiri adalah meninggikan syariat Islam melalui konsep ma’rifat Allah yang dapat mengatasi segala halangan dan cabarannya termasuk ancaman penjajahan dan permusuhan daripada musuh-musuh Islam. Menurut beliau, orang Islam hendaklah memelihara agamanya dengan menegakkan syariat Allah supaya segala hokum dan ketetapan Allah dapat dilaksanakan. Segala perkara yang membawa kea rah tertegaknya Islam hendaklah dijadikan sebagai tanggungjawab mereka untuk merealisasikannya.[5] Melalui penglibatan beliau dan peranan ulama-ulama Islam di dalam jihad telah membuktikan bahawa usaha menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan telah dipelopori oleh para ulama Islam melalui pengajian dan pendidikan Islam. Mereka telah member sumbangan yang besar ke arah membangkitkan semangat jihad seperti tuntutan agama Islam itu sendiri.

Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ selain mempunyai pelbagai kebolehan di dalam menguasai ilmu-ilmu agama, bahkan juga ilmu-ilmu lain tetapi penonjolan beliau lebih dikenali di dalam tiga ilmu serangkai iaitu aqidah, fiqh dan tasawwuf. Sebagai contohnya, di dalam kesusateraan Melayu, aspek-aspek kesusateraan di dalam karya-karya beliau telah menjadi rujukan di kalangan pakar-pakar bahasa. Kemampuan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam menggunakan bahasa yang puitis (indah) di samping syair-syair karangan beliau yang bermutu tinggi menyumbang kea rah tersebut. Beberapa hikayat-hikayat di dalam karya beliau telah menjadi rujukan tokoh-tokoh bahasa selepas beliau seperti Raja Ali Haji dan Hamzah Fansuri.[6]

Beberapa karya beliau di dalam bidang-bidang lain menggambarkan kebolehan beliau di dalam pelbagai disiplin ilmu tersebut seperti ilmu hadith,[7] tafsir,[8] falsafah, astronomi dan perubatan. Keadaan tersebut telah membuktikan bahawa Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ adalah seorang penulis yang prolific yang amat produktif dan kreatif. Di samping itu, sumbangan beliau di dalam kebajikan social dan politik menjadikannya begitu signifikan di kalangan masyarakat Islam di kepulauan Melayu. Dengan kelebihan tersebut, menjadikan beliau amat berpotensi untuk membuat perubahan di dalam masyarakat di kepulauan Melayu yang menjadikannya sebagai tokoh yang mempunyai pengaruh yang besar di sana.



[1] Wan Mohd Shaghir, Wawasan Pemikiran Islam…, vol.4, 81.

[2] Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ mempunyai ramai murid yang dating khusus untuk mendalami ilmu pengetahuan di Mekah. Bahkan terdapat juga di kalangan mereka yang datang semasa musim haji kemudiannya menetap di sana untuk beberapa ketika di samping belajar dengan guru-guru di sana terutamnya ilmu tentang ibadat haji. Sebahagian daripada mereka pulang ke tanah air selepas menunaikan haji, manakala sebahagiannya ada yang terus menetap di Mekah untuk meneruskan pengajian mereka untuk tempoh yang lama. Dengan kedudukan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ sebagai Shaykh Haji, menjadikan kedudukannya begitu berpengaruh di kalangan mereka. See C. Snouck Hurgronje, Mekka in the Later Part of the 19th Century, (Leiden: Brill, 2007), 227-228.

[3] Ismail Che Daud menyatakan bahawa Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ dianggarkan pulang ke Patani untuk menyertai Perang Sabil menentang Siam sekitar 1830-1832 setelah beliau selesai menulis kitab Ward al-Zawahir. Begitu juga dengan penelitian yang dibuat oleh Abdullah Nakula. See Ismail Che Daud, 31.

[4] Di antara rakan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ yang menyertai jihad menentang penjajah ialah Shaykh Abd al-Samad al-Falembani. Manakala murid beliau ialah seperti Muhammad Salih bin Sunan Maulana Qadi (Tengku Tembusai).

[5] Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 8.

[6] Menurut Wan Mohd Shaghir, Raja Ali Haji sangat terkenal di dalam bidang kesusateraan Melayu dan bahasa di alam Melayu. Beliau dikatakan banyak terprengaruh dengan gaya bahasa yang digunakan oleh Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani. Sebagai contohnya, penggunaan kalimah “selalu” yang bermaksud “terus” oleh Raja Ali Haji adalah seperti yang kerap digunakan oleh Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani di dalam karya-karya beliau. See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani Ulama…, 48-49.

[7] Fauzi Deraman telah membuat beberapa penelitian terhadap karya-karya Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani yang dikategorikan sebagai karya hadith atau yang mempunyai banyak hadith di dalamnya seperti Kashf al-Ghummah, Arbain Shaykh Dawud, Fara’id al-Fawa’id dan lain-lainnya, dirumuskan bahawa penonjolannya di dalam bidang hadith tidaklah sehabat penonjolannya di dalam aqidah, fiqh dan tasawwuf. Namun beliau telah banyak menggunakan hadith-hadith dalam karya-karya beliau dan mempunyai cara tersendiri dalam menilai kesahihan sesebuah hadith. See Fauzi Deraman, 64.

[8] Tidak terdapat karya khusus Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani di dalam tafsir. Namun beliau menyelitkannya di dalam karya beliau. Sebagai contohnya di dalam Ward al-Zawahir beliau menghuraikan tafsir surat Maryam. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 221-223.


No comments: