بسم الله الرحمن الرحيم
Graduan: Antara Kerjaya Dan Amal Islami
Pengenalan Tajuk
Perancangan merupakan tuntutan Islam yang sangat dititik beratkan oleh Baginda SAW dan generasi Islam yang awal. Setiap kerja yang dibuat mestilah berperancangan sejajar dengan seruan Al-Quran :
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjihad di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka itu suatu bangunan yang tersusun kukuh” (As-Saff 61 : 4)
Perancangan terbahagi kepada dua iaitu:
1. Perancangan jangka pendek – ia meliputi penyusunan jadual dan disiplin masa bagi mencapai matlamat yang hampir seperti menghabiskan pengajian di peringkat ijazah pertama, menghabiskan silibus usrah mengikut keputusan Tamrin Nuqaba’ dan sebagainya. Perancangan di peringkat ini biasanya bersifat peribadi.
2. Perancangan jangka panjang – ia merupakan strategi luas yang bertujuan mencapai matlamat hidup yang utama. Ia mungkin menyentuh soal kerjaya dan rumah tangga, bahkan mungkin juga menyentuh soal strategi penglibatan di dalam amal Islami dan sebagainya. Perancangan di peringkat ini selalunya bersifat perkongsian bersama di antara matlamat peribadi, isteri dan keluarga, masyarakat tempatan malah jamaah atau badan yang menjadi wadah amal Islami.
Pemilihan tajuk ini di dalam sesi liqa’ graduan, merupakan suatu tentatif yang tepat bagi mengumpulkan buah fikiran peserta (brainstorming), menyusun dan mengurus kelangsungan penglibatan kita semua sebagai siswazah matang di dalam amal Islami yang akan berpindah ke alam baru yang serba mencabar (alam pekerjaan).
Graduan dan Kedudukannya di Dalam Masyarakat
Graduan selaku belia terpilih, merupakan aset penting di dalam sebuah masyarakat. Mereka mengalami beberapa siri perubahan peranan dengan berubahnya situasi semasa sekitar. Malaysia telah memperlihatkan bagaimana golongan siswazah dan seterusnya graduan, di tahun-tahun 70an, bertindak sebagai agen yang memperkenalkan idea-idea pembangunan dan perubahan minda masyarakat. Mereka juga berperanan menjadi golongan pendesak yang bersuara menangani masalah-masalah sosial seperti kemiskinan, ketidak seimbangan taraf ekonomi dan sebagainya.
Walau bagaimana pun selepas era kebangkitan Islam, graduan kelihatan bergerak mengembangkan peranan mereka kepada tanggungjawab yang lebih besar dan penting. Mereka selaku kelompok ‘pengkaji’ dan ‘penghasil’, kelihatan berupaya untuk menunaikan tanggungjawab islah dan tajdid ad-dien di dalam masyarakat. Kesedaran Islam yang berkembang pesat di negara kita, banyak disokong dan didokong oleh golongan siswazah dan seterusnya graduan, di bawah bimbingan tokoh-tokoh masyarakat dari kalangan ulamak dan cerdik pandai.
Manakala di dalam konteks yang lebih umum, kelompok ini adalah juzuk masyarakat yang sangat berperanan di dalam menuntut perubahan. Sama ada di dalam masyarakat bukan Islam seperti di China, Korea dan negara-negara Eropah Timur, mahu pun masyarakat umat Islam seperti Indonesia, Turki dan negara-negara Arab Afrika Utara, golongan siswazah sentiasa berperanan besar mencetuskan desakan perubahan terutamanya di hadapan pihak berkuasa yang memerintah dengan sistem-sistem zalim yang menekan rakyat.
Sub-Kesimpulan
Graduan adalah kelompok pengkaji, penghasil idea baru, pendesak dan seterusnya elemen yang menyampaikan mesej-mesej itu kepada masyarakat dan pemerintah. Dalam erti kata yang lain, mereka adalah nadi masyarakat.
Matlamat Siswazah dan Graduan
Matlamat adalah destinasi hidup. Ia ditentukan oleh kepercayaan yang dipegang oleh seseorang. Seorang siswazah yang berfahaman sosialis, jika beliau mahu berpatisipasi di dalam kelompok sosialnya, akan melihat segala kepincangan yang berlaku dari kaca mata sosialisma. Manakala siswazah yang menganut demokrasi, akan mencari jalan penyelesaian kepada kegawatan masyarakatnya dari sudut prinsip demokrasi yang dipercayainya sebagai jalan keluar.
Bagi graduan muslim, khususnya kita sebagai graduan Syariah, Pengajian Islam dan Bahasa Al-Quran, alam siswazah semestinya sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita tentang matlamat yang seharusnya menjadi destinasi perjuangan. Segulung ijazah yang terhasil adalah bekalan untuk mengejar matlamat yang semestinya bukan direka cipta sendiri atau oleh sesiapa, melainkan telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam suatu sistem yang bernama ‘Ad-Din’.
Firman Allah SWT:
“Adalah tidak wajar umat Islam itu keluar semua sekali ke medan peperangan. Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang yang memperdalam pengetahuan mereka tentang agama, supaya dengan itu mereka akan memberikan peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya kaum mereka itu beringat-ingat (dapat menjaga diri)” (At-Taubah 9 : 122)
Intisari ayat ini:
• Kelangsungan wujudnya golongan yang bertafaqquh di dalam ilmu agama adalah fardhu yang sama pentingnya dengan kelangsungan barisan mujahidin. Mujahidin mempertahankan agama, dan ahli tafaqquh menghasilkan mujahidin.
• Matlamat bertafaqquh fi ad-dien pula adalah menyampaikan peringatan (inzar) kepada kaum masing-masing (dalam konteks ayat di atas, iaitu kepada mujahidin yang kembali ke masyarakat selepas perang). Inzar itu sendiri mendukung makna yang besar, bukan setakat menyampaikan ilmu bahkan menunaikan hak amar makruf dan nahi munkar.
• Matlamat inzar itu sendiri pula adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang hukum dan peraturan Allah SWT, memelihara batas-batas Allah; atau dalam erti kata yang lain, terus menerus menegakkan Islam sebagai manhaj hidup.
Oleh yang demikian, jelas kepada kita apakah sebenarnya peranan, matlamat dan ‘kerjaya’ yang menanti graduan seperti kita.
Sebagai peringatan, ‘kerjaya’ lulusan tafaqquh fi ad-dien bukanlah sebagaimana kerjaya menurut takrifan umum. Ia bukan bidang yang dipilih, bergaji, mempunyai cuti tahunan dan cuti sakit. Ia adalah amanah Allah, tanggungjawab Kalimah Syahadah yang tersimpul di dalam satu kalimah yang mudah – ibadah!
Bagaimana Pula Kerjaya Hidup?
Bahan fikir yang sentiasa merunsingkan seorang graduan ialah tentang pekerjaan. Keberhasilan sebuah pekerjaan yang baik adalah sama penting dengan kejayaan mendirikan rumah tangga. Dua topik ini merupakan capaian terdekat yang biasa diusahakan oleh seorang graduan. Bagi menentu dan menyesuaikan pekerjaan (kerjaya) dengan amal Islami, apakah faktor yang mesti dipertimbangkan?
• Masyarakat Tempatan – seorang graduan sepatutnya sudah memahami atau sekurang-kurangnya bersedia untuk memahami permasalahan yang wujud di dalam masyarakat tempat ia kembali. Kemampuan untuk memahami hal ini, dan seterusnya menentukan keperluan yang dihajati oleh mereka, membolehkan kita membuat keputusan yang tepat. Kes contoh: Anda adalah satu-satunya lulusan bidang agama di dalam masyarakat tempatan berkenaan dan mereka memberikan sepenuh harapan agar anda mengisi kekosongan ‘tugas’ yang ada. Faktor ini sepatutnya dimasukkan sama di dalam perancangan lokasi kerja kita, supaya tidak berjauhan dari masyarakat berkenaan.
• Kemahiran Berdakwah – Bagi seorang graduan yang mempunyai kemampuan bercakap, beliau mempunyai medan partisipasi yang lebih luas. Manakala yang lebih mahir pada aspek yang lain seperti kecekapan mengurus dan mentadbir atau mungkin menulis, maka skil di bidang berkenaan mesti dimaksimumkan penggunaannya. Seorang graduan wajib mempunyai sekurang-kurangnya satu kemahiran sebagai wasilah partisipasi.
• Latar Belakang Keluarga – Keluarga yang menyokong dan menyertai amal Islami adalah peluang besar kepada seorang graduan untuk meneruskan sumbangannya. Walau bagaimanapun, perbezaan fikrah dan kefahaman sama ada antara Islam dan sekularisma, mahu pun perbezaan jemaah, mestilah ditangani dengan hikmah.
• Kemampuan Ilmu – Ia merupakan faktor yang sepatutnya telah diselesaikan sebelum seorang siswazah bergelar graduan. Seorang graduan yang gagal menguasai ilmu akan berhadapan dengan dilema semasa meneruskan amal Islami di medan post-graduation. Penentuan kerjaya dan penglibatan di dalam amal Islami banyak dipengaruhi oleh hal ini.
Oleh yang demikian, seorang graduan lulusan agama sebenarnya bebas untuk menentukan apakah kerjaya yang ingin diceburi sebagai wasilah sumber pendapatan hidup sebagaimana warganegara yang lain. Akan tetapi ia mestilah tidak bercanggah atau mengabaikan matlamat besar 9:122 (At-Taubah 9 : 122) dan seterusnya memelihara faktor-faktor pertimbangan yang telah dihuraikan di atas.
Graduan Tafaqquh fi Ad-Dien dan Bidang Perniagaan
“9/10 rezeki adalah dari hasil perniagaan” sering menjadi hadith sandaran kepada graduan yang berkeputusan untuk menceburi bidang perniagaan sama ada selepas menamatkan pengajian atau semenjak di alam siswazah. Dari beberapa aspek, kemahiran berniaga yang ada pada sesetengah siswazah merupakan satu skil yang positif, wajar diberikan sokongan dan diperkembangkan agar mencecah marhalah profesional.
Akan tetapi, pemerhatian yang dibuat memperlihatkan suatu kenyataan; siswazah dan seterusnya graduan yang aktif di bidang perniagaan kebanyakannya gagal mengimbangkan aktiviti perniagaan dengan amal Islam yang tidak lucut kewajipannya dengan apa alasan sekali pun. Ia merupakan suatu fenomena yang mendukacitakan. Bagi yang menjurus terus ke bidang perniagaan, mereka menjadi terlalu sibuk dan ‘hilang skil’ berdakwah. Manakala yang terus berdakwah pula, terpaksa membahagikan tugas bercakap soal agama dengan sesi menerangkan produk yang dijual. Bahkan ada pula yang mempamerkan barang jualan di belakang masjid dan kemudian mengumumkannya sebelum menutup ‘majlis membaca kitab’!
Tegasnya, siswazah dan graduan yang aktif di bidang perniagaan mesti mengambil serius tentang hal ini. Mereka bertanggungjawab menyusun dan mengatur agar amal Islam terus berada di priority teratas.
Cabaran
Firman Allah SWT:
“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta serta jiwa dan hasil tanaman. Lantas berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baraqah 2 : 155)
FirmanNya lagi :
“Dan seandainya matlamat (kamu) itu dekat dan perjalanan (yang mesti ditempuh) itu pendek, nescaya mereka akan mengikut kamu. Akan tetapi ia menjadi sesuatu yang jauh bagi mereka disebabkan oleh kepayahan (yang ada)”. (At-Taubah 9 : 42)
Tribulasi adalah seiringan dengan perjuangan. Amal Islami adalah tanggungjawab yang Allah SWT taklifkan kepada kita sebagai pewaris Anbiya’. Oleh yang demikian, persediaan fizikal dan mental adalah suatu kemestian. Walaupun bentuk tribulasi itu mungkin berbeza dari satu zaman ke satu zaman yang lain, ia tetap memerlukan bekalan yang sama iaitu iman, sabar dan istiqamah. Bentuk cabaran yang mungkin perlu diberikan perhatian oleh para graduan adalah:
Ketakutan
Takut adalah fitrah yang Allah tanamkan di dalam jiwa setiap insan untuk kebaikannya. Takut binasa menjadikan manusia berusaha mengelak dari mendedahkan diri kepada bahaya. Namun, ketakutan itu jika tidak disalurkan ke jalan yang benar akan menjurus dari kebinasaan kecil kepada kebinasaan yang lebih besar. Takut itu terbahagi kepada dua:
Takut Realiti
Seorang graduan yang meneruskan amal Islami akan berhadapan dengan ujian ketakutan. Ia mungkin datang dalam bentuk ugutan pihak berkuasa dengan akta-akta masyhur yang merbahaya. Ia juga mungkin datang dari keluarga yang menghalang, masyarakat sekeliling yang tidak menyokong dan sebagainya. Ketakutan ini adalah ketakutan yang diakui oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, surah Al-Baraqah ayat 155. Jalan keluarnya adalah sabar.
Takut ‘Fatamorgana’
Ia adalah ketakutan bayang-bayang yang datang dari diri graduan itu sendiri. Ia menyangka penglibatannya yang tidak seberapa sudah mengundang bahaya. Tegahan disangka ugutan, bantahan disangka ancaman. Lantas akal membayangkan pelbagai kemungkinan yang akhirnya mematahkan perjuangan. Takut ini muncul dari iman yang lemah, tawakal yang palsu bahkan sifat nifaq yang mengotori kepercayaan. Akibat takut seperti ini, cacing mungkin disangka ular! Ia boleh diatasi dengan membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah itu tadi dan seterusnya mengukuhkan keikhlasan di dalam perjuangan.
Sabda Nabi SAW:
“Barangsiapa yang berjihad untuk meninggikan kalimah Allah, maka dia itu fi sabilillah”
Kelaparan
Sifat bersederhana dalam hidup adalah kunci yang membentengi cabaran ini. Ia mesti diterapkan bukan sahaja di dalam diri graduan itu sendiri malah kepada pasangan dan anak-anak yang ditanggung. Kelaparan itu mungkin datang akibat ujian yang berikutnya iaitu kekurangan harta dan kesempitan hidup.
Kekurangan Harta
Sejarah salafus soleh memperlihatkan bagaimana ilmu agama tidak pernah berfungsi mendatangkan kekayaan kepada para duat (pendakwah), ilmuan dan pejuang. Sifat qanaah adalah bekalan utama yang membentengi diri dari cabaran ini. Kekurangan harta mungkin berpunca dari pendapatan yang rendah, dipotong gaji dan infaq perjuangan yang berterusan. Kesemua ini adalah cabaran kepada jihad harta yang menuntut sabar dan iman yang benar kepada Allah Ar-Razzaq. Firman Allah SWT:
“Mereka itulah (golongan munafiq) yang berkata : janganlah kamu memberikan nafkah kepada mereka yang bersama dengan Rasulullah, supaya (dengan cara itu) mereka akan berpecah belah. Sedangkan bagi Allah itulah segala khazanah langit dan bumi. Hanya orang-orang munafiq itu sahaja yang tidak memahami” (Al-Munafiqun 63 : 7)
Kekurangan Ilmu
Kecacatan pengetahuan di kalangan graduan yang mendukung amal Islami menjadi cabaran besar yang bakal dihadapi olehnya. Jika kecacatan itu ketara, ia akan menghilangkan kepercayaan masyarakat kepada graduan berkenaan. Hilang kepercayaan adalah sama dengan kehilangan wujud! Graduan akan diketepikan dan tersingkir akibat kesalahan diri. Oleh yang demikian, graduan semasa di alam siswazah sudah sepatutnya selesai melengkapkan diri dengan tsaqafah sebagaimana yang dituntut. Cadangan para ulama’ seperti Al-Marhum Said Hawwa di dalam kitabnya Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan dan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya Tsaqafah Ad-Da’ieyah sewajarnya diberikan penumpuan sedari awal pengajian.
Suasana Persekitaran
Siswazah yang duduk di alam pengajian mungkin berpeluang untuk membentuk sendiri kehidupan supaya suasana persekitaran menggalakkan diri ke arah komitmen yang padu di dalam amal Islami. Akan tetapi apabila bergelar graduan dan kembali ke pangkuan masyarakat, berkemungkinan suasana yang menanti adalah kontra atau sekurang-kurangnya melesukan. Ia mungkin datang dari masyarakat bahkan mungkin dari suami atau isteri serta anak-anak dan keluarga. Cabaran ini boleh diselesaikan dengan beramal Islami secara jamaie, dan terus saling menghubungi di antara satu sama lain.
Cabaran-cabaran Lain
Terdapat banyak lagi cabaran yang menanti graduan yang terus berpatisipasi di dalam amal Islami. Ia mungkin muncul dari jalan dan bentuk yang tidak disangka-sangka. Alam pekerjaan, perkahwinan dan mungkin semi-pengangguran adalah suasana-suasana baru yang mudah disebut tetapi sukar untuk ditempuh kecuali dengan kelengkapan diri yang mencukupi. Bahkan cabaran yang lebih tinggi adalah kematian. Namun, kita semua menuju kematian, maka anggaplah ia hanya sebagai kemestian yang bakal dihadapi oleh setiap yang hidup. Bezanya, kita menjadikan kematian yang satu itu di jalan Allah. Oleh itu, perlulah kepada para graduan sebelum kembali ke tanah air supaya bersedia dengan tiga kesimpulan cabaran iaitu:
• Kesusahan
• Kesenangan
• Kesenangan selepas kesusahan
Kesimpulan
Selepas menamatkan pengajian, graduan mestilah bertindak kemas dan tegas di dalam menyusun kerjaya dan amal Islami.
1. Bagi mereka yang masih belum mendaftar ahli secara rasmi, tanggungjawab utama ialah berbuat demikian seberapa segera.
2. Bagi yang telah mendaftar, hendaklah menghubungi pimpinan jemaah terutamanya di kawasan masing-masing tentang kepulangan.
3. Dalam konteks memulakan amal Islami, graduan harus berkemahiran mencipta kerja dan bukan lagi menunggu kerja diberikan oleh pimpinan jamaah.
4. Kerjaya yang dipilih sebagai sumber pendapatan seharusnya meletakkan kepentingan amal Islami di aulawiyyat yang utama.
5. Disiplin diri dan masa adalah kunci kejayaan.
Semoga Allah SWT memelihara kita di dalam perjuangan ini dan seterusnya menetapkan kaki di atas jalan yang dipilih ini. Sesungguhnya soal istiqamah yang penurunan ayatnya telah memutihkan rambut Baginda SAW adalah soal besar yang berhajatkan muhasabah dan doa yang berterusan. Wallahu A’lam bi As-Shawab. Wassalamualaikum WBT.
Hasrizal Abdul Jamil
Amman 25/03/1422H – 17/06/2001M
www.hasrizal.com
No comments:
Post a Comment