Monday, October 29, 2007

Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah

Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah


MUQADDIMAH

Tarbiyah Islamiyah itu adalah suatu usaha yang berterusan untuk mengislamkan kesuburan tubuh badan, pekerti, roh dan akal fikiran. Ia juga bertujuan untuk menyempurnakan akhlak yang memungkinkan manusia itu hidup di dunia ini dalam keadaan baik dan mendapat keredhaan Allah di akhirat nanti.

Prinsip Tarbiyyah Islamiyyah


Berdasarkan kepada pengertian di atas, maka tarbiyah Islamiyah itu dilaksanakan berasaskan kepada beberapa prinsip. Antaranya ialah:

1) Bahawa tarbiyah Islamiyah itu adalah suatu perkara wajib lantaran ia merupakan kerja utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. apabila baginda menerima wahyu daripada Allah s.w.t. Perkara ini diterangkan oleh Allah s.w.t. dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a. w.) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada meeka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari I’tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syara’). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah: 2)
Justeru, Islam mewajibkan tarbiyah ke atas lelaki dan perempuan samada dia seorang merdeka atau seorang hamba sahaya.

2) Tarbiyah Islamiyyah itu berasaskan kepada keikhlasan kepada Allah s.w.t. iaitu mengajar dan mempelajari ilmu pengetahuan itu semata-mata kerana Allah s.w.t.
Barangsiapa yang mempelajari ilmu dengan sebab-sebab duniawi, maka dia akan diseksa di akhirat nanti. Sebaliknya jika dia menjalani pendidikan kerana Allah s.w.t., maka keadaannya setaraf dengan para mujahid di jalan Allah.
3) Bahawa tarbiyah Islamiyah itu tidak terikat dengan masa dan umur. Ia dilakukan secara berkekalan bermula daripada kandungan yangbelum dilahirkan sampailah ke alam dewasa dan berpindah ke alam baqa’. Tidak ada seorang pun yang diberikan kesempatan mempelajari ilmu pengetahuan boleh merasakan bahawa dia adalah seorang yang paling alim dan bijak.

Al-Quran menegaskan bahawa setiap seorang yang alim itu sedah pasti ada orang lain yang lebih alim daripadanya. Selain itu, Allah s.w.t. juga memperingatkan kita bahawa ilmu yang diberikan kepada hamba-hambaNya adalah terlalu sedikit. Oleh itu, Islam menganjurkan agar pentarbiyahan dilakukan secara berkekalan. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
“(Nabi Ya’kub) menjawab: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Yusuf: 86)
Firman Allah s.w.t. lagi:
Maksudnya:
“Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” (Taha: 114)
Bahawa tarbiyah Islamiyah berjalan di atasprinsip al-takamul (lengkap melengkapi) antara ilmu dan iman. Iman mengajak manusia mencari ilmu, manakala ilmu pula mengajak manusia beriman. Perkara ini sangat jelas jika kita melihat kepada beberapa ayat al-Quran antaranya firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
“Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: “Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal – menurut yang terkandung dalam Kitab Allah – sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan ( yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya).” (Al-Rum: 56)
Dalam surah Fatir pula Allah s.w.t. berfirman:
Maksudnya:
“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang -orang yang berilmu.Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun (Fatir: 28)

Bahawa tarbiyah Islamiyah itu mengajak supaya bersikap tidak terus menerima apa sahaja yang dipusakai daripada generasi yang lalu melainkan sudah dibuat kajian yang teliti dan dipastikan bahawa ia benar. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah.” Lalu mereka menjawab: “( Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya.” Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?” (Al-Baqarah: 170)
Firman Allah lagi dalam Surah al-A’raf:
Maksudnya:
“Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?” (Al-A’raf: 28)
Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang berkaitan dengan perkara ini. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip di atas dapat disimpulkan bahawa perjalanan tarbiyah mengambil kira perkara-perkara berikut:

1.Keberkesanan dalam mengatur hubungan manusia dengan diri sendiri
2.Keberkesanan dalam mengatur hubungan insan dengan Allah s.w.t.
3.Keberkesanan dalam mengatur hubungan insan dengan masyarakat disemua peringkat.


Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah


Matlamat tarbiyah Islamiyah itu perlu dibahagikan kepada dua matlamat iaitu matlamat yang umum dan matlamat yang khusus. Matlamat tarbiyah Islamiyah yang umum ialah untuk menyelamatkan insan daripada azab Allah s.w.t. sebagaimana yang difirmankanNya:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Al-Tahrim: 6)
Insan yang diselamatkan daripada azab Allah s.w.t. itu ialah insan yang dapat menyempurnakan segala tanggungjawabnya ke arah mencapai tujuan dan matlamat ianya dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagaimana yang digariskan oleh Allah s.w.t. seperti di bawah:

1)Beribadah kepada Allah s.w.t. yang Esa mengikut syariat yang diwujudkan oleh Allah s.w.t. sepertimana firmanNya:
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” ( Al-Zariat: 56)
Ibadah kepada Allah s.w.t. mengikut syariat yang diturunkan olehnya melalui lisan Nabi Muhammad s.a.w. menuntut supaya orang-orang muslim itu memiliki beberapa sifat yang penting. Antaranya ialah iman, Islam, ihsan, keadilan, amar ma’ruf nahi mungkar, jihad di jalan Allah,manis tutur-kata, pekerti yang mulia dan beberapa peradaban serta amalan lain.

2)Menjadi khalifah Allah s.w.t. di atas muka bumi ini.
Allah s.w.t. telah menyatakan bahawa antara tujuan manusia diciptakan ialah untuk menjadikannya khalifah di atas muka bumi ini. Firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (Al-Baqarah: 30)
Ekoran daripada itu, maka penciptaan manusia oleh Allah bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan segala perancangan dan pembangunan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.

3)Berkenal-kenalan dan berbaik-baik di kalangan manusia.
Dalam Surah Al-Hujurat, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya ( akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat: 13)
Oleh kerana itu, manusia hendaklah berkasih-syang sesama mereka, bantu-membantu antara satu sama lain dan seterusnya ingat-mengingati serta pesan-memesan sesama mereka dalam perkara kebaikan.

4)Memimpin dan memerintah dunia ini.
Firman Allah s.w.t., maksudnya;
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Al-Nur: 55)
Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Allah s.w.t. menjanjikan golongan beriman dan beramal soleh dari kalangan manusia akan dikurniakan kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini. Pada waktu itu manusia dapat menjalankan urusan harian dan berbakti kepada Allah s.w.t. dalam suasana yang aman.

5)Menjalankan syariat Allah s.w.t. di bumi ini.
Matlamat dan tujuan seterusnya manusia dijadikan oleh Allah s.w.t. ialah untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini. Ini merupaka matlamat yang sangat besar dan masyhur. Ia merupakan intisari kepada segala matlamat yang lain.
Banyak ayat-ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang perkara ini. Antaranya ialah firman Allah s.w.t., maksudnya:
“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).” (Al-Jathiah: 18)

Dan firman Allah s.w.t., maksudnya:
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu) ,maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adlah orang-orang yang fasik.” (Al-Ma’idah: 49)


Matlamat Yang Khusus bagi Tarbiyyah Islamiyyah


Adapun yang dikehendaki dengan matlamat khusus bagi tarbiyah Islamiyah ialah matlamat dari aspek haraki.Matlamat tarbiyah dari aspek ini bolehlah dibahagikan kepada tiga sudut:
1) Sudut keahlian dan keanggotaan
2) Sudut jamaah
3) Sudut kemasyarakatan dan social

No comments: