Tuesday, April 27, 2010
Ringkasan Kuliah : Hidayah Perlu diusahakan (memenuhi syaratnya)
Mencari Hidayah Untuk Menjana Keimanan
عن أَنَسٍ عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ثَلَاثٌ من كُنَّ فيه وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ من كان الله وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إليه مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إلا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ في الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ الله منه كما يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ في النَّارِ
صحيح مسلم
Maksud Hadith
“Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a daripada Rasulullah s.a.w, bersabda : Barangsiapa mempunyai tiga ciri tersebut akan merasai kemanisan iman; iaitu (1) barangsiapa yang mengasihi Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, (2), sesiapa yang mengasihi sahabatnya hanyalah semata-mata kerana Allah dan (3) sesiapa yang benci (untuk kembali) kepada kekufuran setelah diselamatkan (daripada kesesatan dan dikurniakan hidayah Allah) sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”
Sumber Hadith
Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Bukhari (6542), Muslim (43), al-Tirmidhi (2624), al-Nasa’i (11720), Ibn Majah (4034) dan Ibn Hanbal (13431).
Pemahaman Umum Hadith
Hadith tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu akan dimuliakan Allah dengan menikmati kemanisan iman setelah membuktikan sikap perhambaan yang tinggi terhadap Allah iaitu dengan meletakkan cinta terhadap Allah dan Rasul s.a.w melebihi segala-galanya. Hal ini dapat dilihat melalui amalannya yang dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah yang paling dikasihinya walaupun ia bertentangan dengan kehendak (nafsunya) sendiri. Kemanisan iman tidak dapat dikecapi melalui teori semata-mata sebaliknya mesti melalui penghayatan yang bersungguh-sungguh (mujahadah) dan kesabaran yang tinggi. Cintakan Allah dan Rasul s.a.w merupakan asas kekuatan iman yang dapat dijelmakan melalui sifat-sifat yang lain seperti mengasihi saudara seislam dan bencikan kekufuran. Oleh itu kemanisan iman merupakan kurniaan Allah yang tidak terhingga buat mereka yang berusaha mencarinya.
Cintakan Allah dan Memupuk Kecintaan (Iman) TerhadapNya
1. Maksud Cintakan Allah : cenderung (kasih) dan usaha bersungguh-sungguh membuktikan kecenderungannya terhadap Allah dengan mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya secara rela ataupun terpaksa demi keredhaanNya.
2. Cinta dan keimanan (terhadap Allah) boleh terhasil melalui dua cara iaitu:
(1) Melaksanakan Syariat Allah dan programNya
(2) Melalui usaha mencari Hidayah dan memohon dikurniakan Taufiq.
I. Melaksanakan syariat Allah – memupuk nilai keimanan dan ketaqwaan serta kebaikan (di dunia/ akhirat).
a. Fakta : setiap yang datang (syariat) daripada Allah adalah yang terbaik untuk semua manusia.
b. Kategori : wajib- sunat-haram-makruh-harus.
c. Contoh syariat – menjana keimanan : Solat- puasa- zakat (wajib)
II. Usaha Mencari Hidayah – melalui Ilmu
a. Ilm al-Yaqin
• Iaitu :Yakin dengan penuh kepercayaan akan keagungan dan kehebatan Allah serta janji-janjiNya.
• Caranya : Belajar, berfikir, mendengar, membaca, dan sebagainya (pembelajaran dan pengajian).
• Contoh : Berfikir tentang nikmat dan rahmat Allah – Rahim, pahala, keampunan, kaffarah, Syafaat dan sebagainya.
b. ’Ain al-Yaqin
• Iaitu : Yakin dengan penuh kepercayaan dan keimanan melalui pancaindera dan pengalaman sendiri yang benar-benar meyakinkan.
• Caranya : Membuat kajian, penelitian, observasi dan pengalaman sendiri.
• Contohnya : Kisah Nabi Ibrahim (al-Baqarah: 260), Ilmu Embriologi (al-Mukminun: 12-16).
III. Taufiq (Haqq al-Yaqin) adalah kurniaan Allah buat hambaNYA : Wahyu- Lintasan hati -Ilham-Intuisi.
Kesimpulan
1. Iman adalah aset mukmin yang paling bernilai (jaminan kebahagian yang berkekalan).
2. Setiap Saranan daripada Allah SWT disertakan dengan jalannya dan alternatif yang terbaik ke arah tersebut.
3. Melaksanakan dan mematuhi syariat Allah akan memperolehi seribu satu kebaikan ( untuk semua nilai; iman, amal, sosial dan kemanusiaan, ekonomi, politik, kesihatan dan sebagainya).
4. Usaha untuk mendapatkan hidayah Allah perlukan kepada ilmu dan usaha untuk memenuhi syarat-syaratnya.
5. Kesungguhan hamba mendapatkan hidayah dan mendekatkan diri kepada Allah, mudah-mudahan akan mendapat kurniaan Taufiq Allah SWT.
Disusun : Hasbullah Mohamad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment