Tuesday, April 27, 2010

Peristiwa Penting Bulan Jamadiul Awwal


Peristiwa-peristiwa Bersejarah di Bulan Jamadiul Awal


Posted by Ustaz Muhammad Fauzi


Sekarang kita berada di dalam bulan Jamadiul Awal, bulan kelima di dalam kalendar Islam. Jamad di dalam bahasa Arab bermaksud ‘keras’, ‘susah’, ‘tempat yang tinggi’ atau ‘tanah yang tidak ditimpa hujan’.
Mungkin kita tidak begitu menyedari bahawa sebenarnya banyak peristiwa besar sepanjang sejarah Islam berlaku di dalam bulan Jamadiul Awal. Di antara kemuncaknya adalah kemenangan tentera Islam di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fateh membuka kota Costantinople, kota yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w.
Di sini dikongsikan kepada pembaca sebahagian dari peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam bulan Jamadiul Awal untuk kita jadikan sebagai panduan dan pedoman.


Peperangan-peperangan Besar Islam


1. Pada 2 Jamadiul Awal 3 H (21 Oktober 624 M) Rasulullah s.a.w. mengutuskan Zaid bin Harithah mengetuai satu sariyah (gerila) untuk menahan rombongan dagang Quraisy. Mereka berjaya melakukan misi tersebut di satu tempat bernama al-Qirdah. Ini adalah peristiwa pertama umat Islam berjaya mendapat ghanimah (harta rampasan perang).

2. Pada 27 Jamadiul Awal 13 H (3 Julai 634 M) berlaku peperangan Ajnadain. Peperangan ini berlaku di antara tentera Islam di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid dan tentera Rom di bawah pimpinan Cobcular. Kemenangan tentera Islam di dalam peperangan ini membuka jalan untuk menyempurnakan pembukaan Islam di seluruh bumi Syam.

3. Pada 10 Jamadiul Awal 36 H (4 November 656 M) berlaku ‘Peristiwa Unta’ di al-Kharib berhampiran bandar Basrah.

4. Pada 2 Jamadiul Awal 666 H (19 Januari 1268 M) umat Islam diketuai oleh Zahir Bibris berjaya membebaskan bandar Yafa dari penjajahan tentera Salib setelah bertempur selama hanya 12 jam.

5. Pada 20 Jamadiul Awal 857 H (29 Mei 1453 M) Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membuka kota Costantinople. Cubaan untuk membuka kota ini telah pun bermula sejak zaman Muawiyyah bin Abi Sufyan di era pemerintahan Bani Umayyah lagi. Kota Costantinople berjaya dibuka setelah menjadi ibu kota Empayar Baizantyne selama 2125 tahun.
6. Pada 2 Jamadiul Awal 1418 H (5 September 1997 M) pejuang Islam Lubnan berjaya membunuh 12 tentera laut elit Israel di bandar Ansoriah.


Kelahiran Tokoh-tokoh Besar Islam


1. Pada 4 Jamadiul Awal 555 H (13 Mei 1160 M) lahir Ali bin Abi al-Karam Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim yang lebih dikenali sebagai Ibnu al-Athir. Beliau adalah seorang ulama’ besar Islam di dalam bidang sejarah. Di antara karya beliau adalah al-Kamil dan Asad al-Ghabah fi Makrifah as-Sohabah.
2. 27 Jamadiul Awal 1282 H (18 Oktober 1865 M) lahir Muhammad Rasyid Redha, murid kepada al-Imam Muhammad Abduh. Dilahirkan di Lubnan dan kemudian berpindah ke Kaherah. Menerbitkan majalah al-Manar yang memberikan sumbangan di dalam menyebarkan idea-idea Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalahTafsir al-Manar.

3. Pada 3 Jamadiul Awal 1299 H (Mac 1882 M) lahir seorang ulama’ hebat Muhammad Fuad Abdul Baqi. Beliau adalah seorang ulama’ yang mempunyai jasa besar di dalam mentahqiq (membuat analisa semula) kitab-kitab turath (tradisional) Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Mu’jam Lafaz al-Quran, Musnad Sahih Bukhari dan Mu’jam Lafaz Hadis Nabawi.

4. Pada 2 Jamadiul Awal 1328 H (12 Mei 1910 M) lahir al-Imam al-Akbar Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar yang ke 40. Beliau adalah seorang ulama’ agung, menguasai ilmu yang bersumberkan dari ilmu-ilmu Islam dan karya-karya ilmu Perancis. Mempunyai karangan yang banyak terutamanya di dalam bidang Falsasah dan Tasawwuf.

5. Pada 14 Jamadiul Awal 1371 H (10 Februari 1952 M) lahir penasyid Islam yang terkenal, Ridhwan Khalil Annan yang lebih dikenali sebagai Abu Mazin. Dilahirkan di Damsyik dan mempunyai jasa di dalam menaikkan semangat kebangkitan umat Islam melalui nasyid-nasyidnya. Kebanyakan senikata nasyid-nasyidnya diambil dari sajak-sajak penyajak Islam.


Kewafatan Tokoh-tokoh Besar Islam


1. Pada 14 Jamadiul Awal 73 H (1 Oktober 692 M) kembali ke rahmatullah Abdullah bin az-Zubair bin al-Awwam. Beliau adalah bayi pertama yang lahir ketika umat Islam berada di era daulah. Beliau dilahirkan di Madinah al-Munawarah. Seorang yang berani dan menyertai peperangan sejak mudanya. Terlibat di dalam pembukaan Afrika Utara di zaman Osman bin Affan. Beliau mati dibunuh oleh al-Hajjaj bin al-Thaqafi di zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan.

2. Pada 11 Jamadiul Awal 150 H (14 Jun 767 M) kembali ke rahmatullah an-Nukman bin Thabit bin an-Nukman yang lebih dikenali sebagai Abu Hanifah. Beliau adalah pengasas mazhab Hanafi. Dilahirkan di Kufah dan menjadi ketua ulama’ Kufah sesudah kematian gurunya.

3. Pada 2 Jamadiul Awal 413 H (3 Ogos 1022 M) kembali ke rahmatullah Abul Hasan Ali bin Hilal yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Bawwab. Beliau adalah seorang penulis khat yang hebat sepanjang sejarah Islam. Pernah menulis mushaf al-Quran tulisan tangan sebanyak 64 mushaf.

4. Pada 10 Jamadiul Awal 458 H (9 April 1066 M) kembali ke rahmatullah al-Imam Abu Bakar Ahmad bin al-Husain bin Ali bin Abdullah yang lebih dikenali sebagai al-Imam al-Baihaqi. Beliau adalah salah seorang ulama’ hadis yang terkemuka pada kurun kelima hijrah. Di antara karangan beliau adalah as-Sunan al-Kubra (Sunan al-Baihaqi), Dalail an-Nubuwwah dan al-Asma’ wa as-Sifat.

5. Pada 10 Jamadiul Awal 660 H (2 April 1262 M) kembali ke rahmatullah Abdul Aziz bin Abdul Salam bin Abi al-Qasim yang dikenali sebagai Izzudin bin Abdul Salam. Beliau adalah seorang ulama’ terkemuka di dalam bidang Fiqh, Hadis dan perundangan. Terkenal kerana beberapa pendiriannya yang tegas terhadap pemerintah sehingga dikenali sebagai ‘Sultan kepada para ulama’ dan ‘Penjual Raja-raja’

6. Pada 19 Jamadiul Awal 911 H (20 Oktober 1505 M) kembali ke rahmatullah Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar yang dikenali sebagai Jalaluddin as-Sayuti. Seorang ulama’ fiqh dan hadis yang terkenal dengan karyanya di dalam ilmu yang pelbagai. Di antara hasil karyanya adalah Jam’ul Jawami’, Husnu al-Muhadharah, Baghiyah al-Wu’ah dan al-Isybah wa an-Nazoir.

7. Pada 8 Jamadiul Awal 1323 H (11 Julai 1905 M) kembali ke rahmatullah al-Imam Muhammad Abduh, perintis gerakan islah di Mesir. Dilahirkan di negeri al-Buhairah, Mesir. Mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar dan pernah menjadi anak murid kepada Jamaludin Afghani. Melibatkan diri di dalam Revolusi Arab dan dibuang daerah ke Beirut. Kembali semula ke Mesir lalu dilantik sebagai Mufti Mesir.

8. Pada 4 Jamadiul Awal 1350 H (September 1931 M) pemimpin harakah jihad Islami di Libya, Omar Mukhtar menemui syahid. Beliau dijatuhkan hukuman gantung setelah mengepalai gerakan jihad menentang penjajahan Itali selama 20 tahun bermula sejak tahun pertama penjajahan lagi iaitu 1911 M.

9. Pada 23 Jamadiul Awal 1354 H (22 Ogos 1935 M) kembali ke rahmatullah Muhammad Rasyid Redha, murid kepada al-Imam Muhammad Abduh. Dilahirkan di Lubnan dan kemudian berpindah ke Kaherah. Menerbitkan majalah al-Manar yang memberikan sumbangan di dalam menyebarkan idea-idea Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Tafsir al-Manar.

10. Pada 8 Jamadiul Awal 1378 H (19 November 1958 M) kembali ke rahmatullah Ahmad Abdul Rahman al-Banna, seorang ulama’ hadis di Mesir. Beliau adalah ayah kepada al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna. Di antara buku karangan beliau adalah al-Fathu al-Rabbani li tartib musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal as-Syaibani.


Peristiwa-peristiwa Bersejarah


1. Pada 4 Jamadiul Awal 646 H (25 Ogos 1248 M) tentera Salib ketujuh dari Perancis di bawah pimpinan Louis IX mula bergerak ke sebelah timur. Mereka telah menemui kegagalan dalam peperangan al-Mansurah dan Louis IX telah dijadikan tawanan tentera Islam.

2. Pada 10 Jamadiul 1373 H (15 Januari 1954 M) gerakan Ikhwan Muslimin telah diharamkan oleh Jamal Abdul Nasir dengan menggunakan resolusi dari Parlimen Mesir. Pengharaman ini berlaku setelah gerakan Ikhwan Muslimin dianggap oleh kerajaan sebagai parti politik yang berusaha untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

3. Pada 12 Jamadiul Awal 1386 H (29 Ogos 1966 M) Mahkamah Tinggi Mesir mengeluarkan arahan menjatuhkan hukuman gantung ke atas tujuh orang anggota gerakan Ikhwan Muslimin. Tuduhan yang dikenakan ke atas mereka adalah membentuk gerakan bersenjata untuk menumbangkan kerajaan sedia ada. Empat daripada mereka diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup. Manakala tiga yang lain dijatuhkan hukuman gantung. Mereka adalah Sayyid Qutb, Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fattah Ismail.

4. Pada 13 Jamadiul Awal 1402 H (17 mac 1982 M) al-Imam al-Syeikh Jad al-Haqqu Ali Jad al-Haqqu dilantik menjadi al-Imam al-Akbar Syeikh Azhar ke 42. Beliau dilahirkan di Daqahliyah, Mesir. Belajar di al-Azhar dan bekerja di bidang perundangan sesudah itu. Pernah menjadi Mufti dan Menteri Hal Ehwal Agama Mesir sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai Syeikh al-Azhar.

5. Pada 17 Jamadiul Awal 1411 H (6 Disember 1990 M) Mahfuz Nahnah menubuhkan harakah Mujtama’ Muslim di Algeria.

6. Pada 24 Jamadiul Awal 1425 H (11 Julai 2004 M) ditubuhkan Persatuan Ulama’ Antarabangsa di London. Persatuan ini dianggotai oleh ulama’-ulama’ dan pemikir-pemikir Islam dari seluruh dunia. Ditubuhkan untuk menjadi sumber rujukan umat Islam di dalam masalah fiqh, ilmu dan pengetahuan. Diketuai oleh Dr Yusof al-Qardhawi


Dipetik daripada sumber : http://satuperkongsian.wordpress.com/2007/05/28/peristiwa-di-bulan-jamadiul-awal/

Ringkasan Kuliah : Hidayah Perlu diusahakan (memenuhi syaratnya)


Mencari Hidayah Untuk Menjana Keimanan


عن أَنَسٍ عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ثَلَاثٌ من كُنَّ فيه وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ من كان الله وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إليه مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إلا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ في الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ الله منه كما يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ في النَّارِ
صحيح مسلم

Maksud Hadith

“Diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a daripada Rasulullah s.a.w, bersabda : Barangsiapa mempunyai tiga ciri tersebut akan merasai kemanisan iman; iaitu (1) barangsiapa yang mengasihi Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, (2), sesiapa yang mengasihi sahabatnya hanyalah semata-mata kerana Allah dan (3) sesiapa yang benci (untuk kembali) kepada kekufuran setelah diselamatkan (daripada kesesatan dan dikurniakan hidayah Allah) sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Sumber Hadith
Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Bukhari (6542), Muslim (43), al-Tirmidhi (2624), al-Nasa’i (11720), Ibn Majah (4034) dan Ibn Hanbal (13431).

Pemahaman Umum Hadith
Hadith tersebut menjelaskan bahawa seseorang itu akan dimuliakan Allah dengan menikmati kemanisan iman setelah membuktikan sikap perhambaan yang tinggi terhadap Allah iaitu dengan meletakkan cinta terhadap Allah dan Rasul s.a.w melebihi segala-galanya. Hal ini dapat dilihat melalui amalannya yang dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah yang paling dikasihinya walaupun ia bertentangan dengan kehendak (nafsunya) sendiri. Kemanisan iman tidak dapat dikecapi melalui teori semata-mata sebaliknya mesti melalui penghayatan yang bersungguh-sungguh (mujahadah) dan kesabaran yang tinggi. Cintakan Allah dan Rasul s.a.w merupakan asas kekuatan iman yang dapat dijelmakan melalui sifat-sifat yang lain seperti mengasihi saudara seislam dan bencikan kekufuran. Oleh itu kemanisan iman merupakan kurniaan Allah yang tidak terhingga buat mereka yang berusaha mencarinya.


Cintakan Allah dan Memupuk Kecintaan (Iman) TerhadapNya


1. Maksud Cintakan Allah : cenderung (kasih) dan usaha bersungguh-sungguh membuktikan kecenderungannya terhadap Allah dengan mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya secara rela ataupun terpaksa demi keredhaanNya.

2. Cinta dan keimanan (terhadap Allah) boleh terhasil melalui dua cara iaitu:
(1) Melaksanakan Syariat Allah dan programNya
(2) Melalui usaha mencari Hidayah dan memohon dikurniakan Taufiq.

I. Melaksanakan syariat Allah – memupuk nilai keimanan dan ketaqwaan serta kebaikan (di dunia/ akhirat).
a. Fakta : setiap yang datang (syariat) daripada Allah adalah yang terbaik untuk semua manusia.
b. Kategori : wajib- sunat-haram-makruh-harus.
c. Contoh syariat – menjana keimanan : Solat- puasa- zakat (wajib)

II. Usaha Mencari Hidayah – melalui Ilmu
a. Ilm al-Yaqin
• Iaitu :Yakin dengan penuh kepercayaan akan keagungan dan kehebatan Allah serta janji-janjiNya.
• Caranya : Belajar, berfikir, mendengar, membaca, dan sebagainya (pembelajaran dan pengajian).
• Contoh : Berfikir tentang nikmat dan rahmat Allah – Rahim, pahala, keampunan, kaffarah, Syafaat dan sebagainya.
b. ’Ain al-Yaqin
• Iaitu : Yakin dengan penuh kepercayaan dan keimanan melalui pancaindera dan pengalaman sendiri yang benar-benar meyakinkan.
• Caranya : Membuat kajian, penelitian, observasi dan pengalaman sendiri.
• Contohnya : Kisah Nabi Ibrahim (al-Baqarah: 260), Ilmu Embriologi (al-Mukminun: 12-16).

III. Taufiq (Haqq al-Yaqin) adalah kurniaan Allah buat hambaNYA : Wahyu- Lintasan hati -Ilham-Intuisi.

Kesimpulan
1. Iman adalah aset mukmin yang paling bernilai (jaminan kebahagian yang berkekalan).
2. Setiap Saranan daripada Allah SWT disertakan dengan jalannya dan alternatif yang terbaik ke arah tersebut.
3. Melaksanakan dan mematuhi syariat Allah akan memperolehi seribu satu kebaikan ( untuk semua nilai; iman, amal, sosial dan kemanusiaan, ekonomi, politik, kesihatan dan sebagainya).
4. Usaha untuk mendapatkan hidayah Allah perlukan kepada ilmu dan usaha untuk memenuhi syarat-syaratnya.
5. Kesungguhan hamba mendapatkan hidayah dan mendekatkan diri kepada Allah, mudah-mudahan akan mendapat kurniaan Taufiq Allah SWT.

Disusun : Hasbullah Mohamad