Friday, March 13, 2009

Kuliah 5 : Mati Dalam Iman

Hadith 5

Mati Dalam Iman

عن أبي ذَرٍّ رضي الله عنه قال قال رسول اللَّهِ  أَتَانِي آتٍ من رَبِّي فَأَخْبَرَنِي أو قال بَشَّرَنِي أَنَّهُ من مَاتَ من أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شيئا دخل الْجَنَّةَ قلت وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ قال وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ
صحيح البخاري



Maksud Hadith

“Daripada Abu Dhar r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w: Bahawa telah mendatangiku yang datang dari Tuhanku (Jibril) dan memberitahuku atau berkata, telah dikhabarkan kepadaku (oleh Jibril) sesunguhnya barangsiapa yang mati dikalangan umatku dalam keadaan tidak tidak melakukan dosa syirik terhadap Allah sedikitpun, nescaya mereka akan memasuki syurga. Bertanya (perawi): Meskipun seseorang itu (melakukan dosa besar) berzina ataupun mencuri. Maka Baginda s.a.w menjawab: Ya meskipun ia berzina mahupun mencuri (akhirnya tetap akan memasuki syurga).”


Sumber Hadith

Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Bukhari (1181), Muslim (92), al-Tirmidhi (2528), al-Nasai (10958), Ibn Majah (186), al-Darimi (2822) dan Ibn Hanbal (13585).


Pemahaman Umum Hadith

Hadith ini menjelaskan iman mempunyai harga yang amat tinggi nilainya di sisi Allah. Hal tersebut amat jelas apabila digambarkan bahawa barangsiapa yang mati di dalam keimanan dan tidak melakukan sebarang syirik dijamin Allah memasuki syurga buat selama-lamanya. Dosa besar adalah kemungkaran yang melampaui batasan terhadap Allah sebagai Tuhan dan pencipta kerana kesan nya amatlah buruk dan besar, namun ia tidaklah sampai ke peringkat membatalkan iman seseorang itu. Namun, iman akan menjadi sempurna apabila kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah itu disertai dengan amal soleh.


Mengingati Mati

1. Mati merupakan ketetapan Allah yang pasti akan berlaku kepada setiap insan. Segala cita-cita, impian dan kenikmatan hidup seseorang itu akan terputus dengan kematian.

2. Namun, Rasulullah s.a.w berpesan sebaliknya, iaitu mengingsafi kematian dan menyedarinya di samping bermuhasabah menghitung bekalan-bekalan amal yang bakal dibawa selepas kematian merupakan sifat seorang yang berwawasan dan bijaksana (di dunia mahupun akhirat).

3. Ini adalah kerana kematian sebenarnya menjadi garis penentu untuk mengetahui status keimanan seseorang itu sama ada mempunyai iman ataupun sebaliknya.

4. Apabila menyedari hakikat kematian sebagai tamatnya babak kehidupan mencari bekal di dunia lantas ia (bekalan amal / pahala yang dilakukan semasa hidup) akan digunakan untuk memulakan episod-episod seterusnya yang amat mencabar di alam barzah dan mahsyar, seterusnya destinasi terkahir yang kekal sifatnya ( iaitu syurga atau neraka), maka tiadalah yang menjadi fokus hidup seseorang melainkan mengumpul (ganjaran) amal-amal soleh dan rahmat-rahmat yang disediakan dan dijanjikan Allah.



Nilai Iman (dan Islam) di Sisi Allah

1. Iman merupakan aset seorang Muslim yang paling berharga yang pernah dimilikinya. Oleh itu, ia hendaklah menjaga dan memupuknya dengan sebaik mungkin. Iman akan menjamin pemiliknya kekal di dalam syurga buat selama-lamanya.

2. Iman dan Islam mempunyai konsep yang sama iaitu percaya (dengan yakin) akan Allah, melafazkan kepercayaan tersebut dan beramal dengan tuntutannya (syahadah).

3. Menurut Ahli Sunnah, iman itu disabitkan dengan kepercayaan yang teguh (al-tasdiq) terhadap Allah dan tuntutan syahadah. Adapun lafaz (iqrar) dan amal adalah penyempurnaan iman.

4. Namun manusia dikehendaki menghukum menurut yang zahir (yang dilihat dan diketahui) sahaja walaupun hakikatnya yang sebenarnya hanya diketahui oleh Allah sahaja.

5. Terdapat perbezaan di kalangan mazhab (akidah) tentang kedudukan status iman di antara mereka:
(1) Khawarij yang menafikan iman bagi mereka yang melakukan dosa (besar),
(2) demikian juga muktazilah (manzilah baina manzilatain), di antara iman dan kufur
(3) manakala sebahagian yang lain mensyaratkan iman dengan percaya dan lafaz.
(4) Namun Ahli Sunnah hanya mensyaratkan percaya (tasdiq) sahaja.

Mereka berdalilkan al-Quran, hadith dan akal.


6. Oleh itu, seseorang Muslim mestilah menjaga akidah (لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ) sehingga ke akhir hayatnya di samping menjauhi perkara-perkara yang merosakkannya. Ianya akan menentukan masa depan Muslim di sisi Allah buat selama-lamanya.



Perkara-perkara Yang Membatalkan Iman

1. Syirik ialah dosa yang paling besar kerana mencabar Ketuhanan Allah yang Maha Agung dan Sempurna.

2. Secara umumnya iman seseorang boleh terbatal dengan meletakkan sesuatu lebih tinggi daripada Allah (dan syariatnya) atau setaraf atau sebagai perantara di antara dirinya dengan Allah seperti berhala dan seumpamanya. Di antara beberapa contoh syirik ialah:
i. Mengadakan sekutu bagi Allah

ii. Mengambil perantaraan di antara dirinya dan Allah.

iii. Percaya agama/petunjuk hidup yang lain (daripada wahyu Allah dan Rasul) lebih baik atau lebih sempurna.

iv. Percaya sistem atau undang2 ciptaan manusia lebih baik daripada syariat Allah ( Islam tidak sesuai, mundur, hubungan dengan Tuhan sahaja, dll)

v. Menghalal (haruskan) yang haram atau mengharamkan yang halal (harus).

vi. Mempersenda (mengejek) Islam dan mana-mana cabang syariatnya.

vii. Percaya bahawa seseorang itu dibenarkan menyimpang daripada syariat Islam.

viii. Percaya kepada amalan sihir atau syirik.

ix. Keluar daripada Islam (dengan pengakuan atau pun amalan)

x. (Benar-benar) membantu musuh Islam (Yahudi / Nasrani) memusuhi/mengkhianati Islam.


Kekal di Dalam Syurga atau Neraka

1. Seseorang itu akan kekal di dalam syurga apabila memiliki iman dan (timbangan) pahala (amalannya) lebih berat daripada dosanya. Begitu juga seseorang itu akan kekal di dalam neraka bila tiada iman (kufur/ syirik/ murtad), di mana segala amalan baiknya tidak diterima.

2. Seseorang Muslim yang ‘Asi (berdosa) bila berat (timbangan) amalan dosanya, akan dihumban ke dalam neraka untuk satu tempoh tertentu, kemudian akhirnya tetap dimasukkan ke dalam syurga dan akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

3. Apabila seseorang Muslim melakukan dosa besar (yang begitu dimurkai Allah), maka ia akan dimasukkan ke dalam neraka di atas kesalahan (besar) tersebut untuk tempoh yang lama sekiranya tidak bertaubat dan didapati lebih berat (timbangan) dosanya berbanding pahalanya. Tetapi mereka tetap berpeluang untuk memasuki syurga dan kekal di dalamnya. Keadaan ini berbeza dengan pandangan Muktazilah dan Khawarij.

4. Setiap amalan seseorang itu dibalas dengan syurga atau neraka berdasarkan amalan mereka, tetapi Allah yang Maha Penyayang dan Rahmatnya yang berterusan sentiasa mengiringi hambaNya seperti syafaat, keampunan dan Rahmat Allah buat hambaNya dalam semua keadaan sehingga melayakkan hambaNya mengecapi kebahagiaan dunia dan akhirat.


Pengajaran Hadith

1. Iman adalah aset Muslim yang paling berharga yang perlu sentiasa dijaga dan dipupuk, dan perlu sentiasa menjauhi serta berhati-hati terhadap perkara-perkara yang membatalkannya.

2. Seseorang itu hendaklah sentiasa menjaga imannya secara zahir mahupun batin kerana mereka akan dinilai di dunia ini berdasarkan zahirnya walaupun hakikat sebenarnya akan dinilai oleh Allah sendiri.

4. Di samping beramal dengan amalan soleh, hendaklah juga memberi perhatian dengan peluang merebut peruntukan (bonus) istimewa yang disediakan Allah (terutamanya buat umat Nabi s.a.w)

5. Kehidupan dunia sebenarnya terlalu kecil nilainya jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi (sama ada nikmat ataupun niqmah (kesengsaraan)).

No comments: