Saturday, February 14, 2009

Siri Kuliah 4 : Mengenal Kejadian Allah

Hadith 4
Mengenal Kejadian Allah dan TakdirNya


حدثنا عبد اللَّهِ حدثنا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وهو الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَبْعَثُ الله إليه مَلَكًا بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ فَيُكْتَبُ عَمَلُهُ وَأَجَلُهُ وَرِزْقُهُ وَشَقِيٌّ أو سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فيه الرُّوحُ فإن الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُ النَّارَ
صحيح البخاري

Maksud Hadith
“Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : 'Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari (berupa setitik air mani- nutfah), kemudian menjadi segumpal darah (alaqah) selama itu pula, kemudian seketul daging (mudghah) seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : amalannya, ajalnya, rezekinya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja (menghampiri kematian). Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. Sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam neraka”.

Sumber Hadith
Hadith tersebut diriwayatkah oleh al-Bukhari (3315), Muslim (2643), Abu Dawud (4708), al-Tarmidhi (2137), Nasa’i (11246) dan Ibn Hanbal (3553).

Pemahaman Umum Hadith
Hadith ini menjelaskan dengan terperinci peringkat-peringkat kejadian manusia di dalam janin ibunya. Perkara sedemikian amat jelas membuktikan secara mutlak bahawa Allah adalah satu-satunya Pencipta manusia yang mana ia dapat dibuktikan oleh (fakta) sains melalui proses embriologi. Manusia mengetahuinya hanya pada kurun ke dua puluh sedangkan al-Quran telah menceritakannya semenjak seribu empat ratus tahun dahulu lagi. Apabila janin berumur seratus dua puluh (120) hari, dimasukkan ruh, diberikan ketentuan (qadha` dan qadar) baik mahupun buruk seperti yang tertulis di Luh Mahfuz. Seterusnya seseorang itu hendaklah memastikan imannya sentiasa dipupuk dan dijaga sehingga ke akhir hayatnya kerana iman seseorang boleh bertambah dan berkurang bahkan juga boleh menjadi kufur sebelum menamatkan riwayat hidupnya.

Proses Kejadian Manusia di dalam al-Quran dan Sains.
1. Al-Quran ialah sumber rujukan dan mukjizat Allah (yang kekal sehingga hari kiamat) telah mendahului (fakta) sains penemuan manusia di dalam memperkenalkan teori embriologi (proses kejadian manusia) secara terperinci.

2. Hikmah kenapa proses penciptaan kejadian manusia dijelaskan dengan terperinci ialah agar manusia menginsafi bahawa proses kejadiannya (yang hebat) adalah hasil ciptaan Allah. Oleh itu status mereka adalah jelas sebagai Hamba Allah dan makhlukNya.

3. Terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang menghuraikan bukti Allah adalah Pencipta manusia. Untuk tujuan tersebut, Allah telah menjelaskan melalui pelbagai pendekatan dan cara tentang kedudukanNya sebagai Tuhan (dan Pencipta) manakala yang lain adalah makhluk ciptaanNya (bertanggungjawab mengabdikan diri kepadaNya). (Lihat al-Mukminun: 12-14; al-Dahr: 2; al-Nahl: 4; al-Tariq: 5-7, dan lain-lain).

4. Setelah kajian saintifik dilakukan, ramai para pengkaji (di kalangan ahli sains dan perubatan) yang telah memeluk Islam manakala sebahagian yang lain telah memperakui kebenaran al-Quran datang daripada Allah yang mencipta manusia.

Fitrah Ciptaan Allah
1. Fitrah ialah sifat semulajadi kurniaan Allah untuk menerima kebenaran (yang sebenarnya bertepatan dan selari dengan ajaran Islam) kepada semua manusia.

2. Allah telah membuat perjanjian dengan manusia (sejak di alam janin) memperakui KetuhananNya. Oleh itu, pengakuan tersebut (iaitu Kepatuhan terhadap Allah = Islam) adalah asas fitrah dalam diri setiap insan. Allah berfirman: (lihat al-A’raf: 172)

3. Oleh itu, bila memperkatakan tentang isu fitrah seperti kebenaran, keadilan, kebaikan, keburukan dan kemanusiaan sebenarnya ia telah digazetkan di dalam Islam sejak dahulu lagi. Justeru, asas fitrah manusia adalah Islam.

4. Kehebatan Allah (yang Maha Hebat) membina asas fitrah tersebut telah membuka dan mempermudahkan ruang untuk menerima hidayah Islam (menganutinya atau memperakui ketuanan Islam) di dalam jiwa setiap insan (hambaNya). Ia perlu disokong oleh pengisian (usaha mendapatkan) hidayah di samping berusaha mengatasi dan menjauhi halangan-halangan dan ancaman-ancamannya.

Konsep Qadha’ dan Qadar
1. Ia merupakan persoalan yang perlu difahami dengan terperinci kerana kesannya amat besar dan mendalam di dalam kehidupan seseorang itu kerana ia berkaitan dengan (1) Ilmu Allah (yang Maha Hebat) tanpa sempadan tertentu, (2) Pergantungan diri terhadapNya, (3) Usaha bersungguh-sungguh dan tawakkal yang tinggi dan (4) Redha di atas ketentuanNya.

2. Oleh kerana seseorang itu tidak mempunyai ilmu tentang kesudahan takdirnya, maka ia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh sebelum bertawakkal sepenuhnya dan seterusnya redha dengan ketentuan Allah dengan sentiasa bersangka baik (husnu Ðan) dengan Allah dan yakin bahawa segala-segalanya adalah baik untuk kita tanpa mengenal erti kecewa dan putus asa.

3. Hendaklah beriman dengan sepenuhnya bahawa Allah Bersifat dengan sifat kesempurnaan dan mustahil memiliki sebarang sifat kekurangan.

4. Perlu memahami (perbuatan Allah) bahawa Allah bebas melakukan sesuatu mengikut KehendakNya. Segala-galanya melambangkan Kesempurnaan (Maha Hebat dan Adil).

5. Perlu memahami bahawa perbuatan manusia adalah menurut pilihannya sendiri dan berlakunya dengan izin (dan ilmu) Allah. Oleh itu, ia mesti bertanggungjawab di atas perbuatannya (pilihannya sendiri) di akhirat.

6. Memahami konsep mengithbatkan (menetapkan) keimanan dengan hati dan kesempurnaan iman itu dicapai dengan amal soleh. Justeru, kita akan dapat memahami konsep dosa dan kufur serta akibatnya.

Istiqamah di Dalam Keimanan
1. Iman boleh bertambah dengan amal soleh dan ketaatan (melaksanakan syariat Islam) dan ia boleh berkurangan dengan melakukan maksiat dan dosa.

2. Iman dan amal saling bertindak balas dan memberi kesan di antara satu sama lain.

3. Oleh itu, iman perlu sentiasa dipupuk dengan amal soleh agar nilai istiqamah berterusan dapat dikekalkan.

4. Hendaklah menjaga iman yang dimilikinya sehingga ke akhir hayatnya. Sekiranya berlaku kufur atau murtad dipertengahan jalan atau di ambang akhir hayatnya, maka akhirnya ia mati dalam kekufuran. Oleh itu, seluruh amal solehnya terbatal dan tidak diterima oleh Allah. Sesungguhnya ia berada dalam kerugian yang amat besar.

Pengajaran Hadith
1. Al-Quran menyediakan panduan asas terhadap ilmu sains dan semua jenis ilmu.

2. Proses kejadian manusia yang diceritakan di dalam al-Quran telah membuka peluang untuk mengenali Allah melalui cara saintifik sebagai bukti kukuh bahwa Allah adalah Pencipta agung manusia dan alam semesta.

3. Memahami konsep takdir dengan sebenarnya akan membentuk nilai perhambaan dan kecemerlangan diri dengan meletakkan pergantungan, jihad dan redha hanya kepada Allah tanpa takut kepada makhluk lain.

4. Konsep takdir memperlihatkan ilmu Allah yang tidak bernoktah dan Maha mengetahui segala sesuatu.

5. Allah telah menjadikan manusia dan melengkapkannya dengan asas fitrah yang mana ia berpotensi membuka pintu hidayah untuk menerima Islam sebagai cara hidup mereka (setelah adanya usaha ke arah tersebut melalui inisiatif sendiri ataupun dakwah).

6. Seseorang Muslim hendaklah istiqamah dengan keimanannya sehingga ke akhir hayatnya.
Disediakan oleh : Hasbullah Mohamad

No comments: