Sunday, February 15, 2009

Imam Hasan al-Banna di Saat Kematiannya

Hasan al Banna


Petikan buku Dakwah dan Tarbiyah – Pandangan Assyahid Imam Hassan AlBanna
Oleh: Abbas Assisi

Muhammad Ali Tahir adalah merupakan seorang guru satu kumpulan pemimpin dan panglima Arab. Mereka ini sentiasa menghadiri majlisnya yang dipandang sebagai kelab dan pusat perbincangan di Kaherah. Majlis-majlis ini selalu dihadiri oleh para pemimpin gerakan kemerdekaan yang berlindung di Kaherah pada masa itu, juga disertai oleh para wartawan dan para sasterawan.

Al-ustaz Muhammad Ali Tahir telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Kem-Kem Tahanan di Haksatib”, tetapi buku ini tersembunyi dari pasaran lantaran tindakan pihak berkuasa yang membabi buta pada ketika itu untuk menekan segala suara yang mendedahkan segala kejahatan dan taktik mereka yang ganas. Di bawah ini kita petik satu fasal dari buku itu. Kita bentangkan di hadapan saudara pembaca sebagai saksi dan bukti dari seorang lelaki yang telah merasai segala peristiwa khianat yang keji itu dengan segala situasi yang bersangkutan dengannya.


Beginilah beliau syahid…

Akhirnya setelah kawalan ketat dilonggarkan, surat khabar telah berjaya menyiarkan bagaimana cara syahidnya as syeikh Hasan Al Banna Rahimahullah dan bagaimana beliau dikebumikan. Sesungguhnya tujuan laporan dan kesimpulan sekitar peristiwa ini dari sejarah zaman ini adalah untuk dikenali oleh generasi yang akan datang (yang baru muncul).

Kira-kira pukul lapan setengah petang, Sabtu, 12 Februari 1949 Masehi, as syeikh Hasan AlBanna bersama abang iparnya al ustaz Abdul Karim Mansur, seorang peguam meninggalkan pejabat agung jamaah Al Ikhwan di Jalan Malikah Nazili di Kaherah. Beliau memanggil sebuah kereta dan kemudian menaikinya bersama iparnya itu. Semasa kereta itu memusing untuk membawa as syeikh AlBanna dan rakannya kepada tujuannya dari pintu jamaah Al Ikhwan menuju ke Jalan Malikah Nazili, tiba-tiba seorang pemuda yang bersongkok putih, mengacukan sepucuk pistol dan terus melepaskan tembakan kepada orang-orang yang ada di dalam kereta itu. Tembakan pertama menembusi dada kanan as syeikh Hasan Al Banna. Apabila beliau cuba menoleh ke arahnya, penceroboh itu menembak lagi sebanyak lima das di belakangnya, beliau cuba berdiri kerana terkejut tetapi ditembak lagi di paha kirinya. Pemandu kereta itu sempat membaringkan dirinya di atas kusyen tempat duduknya. Sejurus kemudian setelah tersedar dari kebingungannya, pemandu itu bersegera memecut keretanya ke pusat rawatan. Doktor yang merewat dapat melihat betapa gawatnya keadaan as syeikh Hasan Al Banna, diperintahklan supaya as syeikh Hasan Al Banna dipindahkan ke rumah sakit ‘Qasru al Aini’. Di sana ternyatalah bahawa Hasan Al Banna telah ditembak dengan pistol sebanyak dua kali menembusi dadanya dan memecahkan sebatang dari tulang rusuknya sekaligus merosakkan bahagian dalam tubuhnya.
Manakala keadaan peguam itu tidaklah begitu mencemaskan . Darah pun dimasukkan ke dalam tubuh Hassan Al Banna. Akhirnya pada pukul dua belas beliau kembali ke rahmatullah akibat lukanya.

Bagaimanakah mereka mengebumikan Assyahid Hasan AlBanna?

Akhbar “Al Kutlah” yang diterbitkan oleh al ustaz Mukram Ubaid Basya menyiarkan berita pengebumian al Imam Assyahid dengan segala situasi serta keganasan yang mengerikan yang berkaitan dengannya. Barangsiapa yang membacanya pasti akan mengutuk orang-orang yang zalim dan jahat itu.
Mereka-mereka yang durjana itu menangkap sesiapa sahaja yang memberi takziah, mereka melarang orang ramai melakukan solat jenazah untuk al marhum, melarang orang ramai membaca Al Quran ke atas rohnya. Kemudian berita bersejarah ini disiarkan di dalam akhbar tersebut.

Sumber berita ini dipetik dari ucapan syeikh Ahmad Al Banna ayah kepada Imam Assyahid Al marhum Hassan Al Banna.
Jasad Imam Assyahid telah dipindahkan ke rumahnya dengan sebuah kereta. Mereka itu dikawal rapi oleh beberapa buah kereta yang dipenuhi oleh angkatan polis yang lengkap bersenjata. Kengerian jenayah itu melupakan mereka bahawasanya orang yang telah mati tidak bercakap dan tidak menyahut.

Di sebatang jalanraya al Hilmiyah, angkatan itu berhenti dan turun lalu mereka mengepung rumah al Imam as syahid. Mereka menutup setiap jalan dan lorong yang menuju ke rumah al Imam assyahid. Semuanya ditutup dengan angkatan yang lengkap tentera bersenjata.

Ayah al Imam as syahid, adalah seorang tua yang telah lanjut umurnya, melebihi 90 tahun, tetapi masih kuat dan tidak kelihatan tanda-tanda umur tuanya sebagaimana yang ternyata pada malam malapetaka itu. Beliau telah mengetahui berita kematian anaknya dari seorang panglima angkatan bersenjata pada saat terjadinya. Di terus berjaga malam diharu oleh perasaan dukacita menunggu kedatangan fajar untuk menyempurnakan suruhan Allah sambil berkata : Maha Suci Engkau dan keadilanMu wahai Tuhanku…mereka telah membunuh anakku!!!
Bunyi ketukan yang bertubi-tubi di pintu rumah itu menghancur luluhkan hati orang tua yang berjiwa besar itu sebagaimana hancurnya gandum di dalam pengisar.

Tidak ada tangisan dan ratapan!!
Ayah Assyahid Hassan Al Banna adalah satu-satunya orang dari keluarga itu yang mengetahui dan menunggu kerana ke semua saudara-saudara al marhum assyahid merengkok di dalam tahanan dan penjara. Sejurus selepas ketukan yang bertubi-tubi itu, mereka membuka pintu dan memasukkan jenazah assyahid. Si ayah menangis tersedu sedan dek kehancuran hati. Mereka (askar) berkata kepadanya. Tidak ada tangisan dan tidak ada laungan. Bahkan tidak ada tunjuk perasaan ataupun perkabungan dan tidak solat jenazah kecuali engkau seorang sahaja.

Marilah kita perhatikan kisah selanjutnya yang diperkatakan oleh assyeikh Ahmad Al Bann,a ayah Imam Assyahid . Assheikh Ahmad berkata:Berita kematiannya telah disampaikan pada pukul satu. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan menyerahkan jenazahnya kepadaku kecuali apabila aku berjanji kepada mereka bahawa beliau mesti dikebumikan pukul sembilan pagi tanpa sebarang majlis keraian. Kalau tidak, maka mereka itu akan terpaksa membawa balik jenazah itu ke rumah sakit Qasru al Aini kemudian ke tempat perkuburan.

Aku terpaksa mengikuti perintah ini dan berjanji kepada mereka akan melaksanakan apa yang dituntut oleh pemerintah kerana harapanku supaya jenazah anakku sampai di rumahnya untuk aku memberi pandangan terakhir kepadanya. Menjelang fajar, jenazahnya dibawa ke rumah ini dengan cara senyap-senyap supaya tidak dapat disaksikan oleh seorang pun dari jiran-jiran. Supaya ketibaannya tidak diketahui oleh seorang pun.


Kepongan keliling rumah

Kepongan polis terus diperketatkan di sekeliling rumah. Bukan rumah itu sahaja yang dikepung, tetapi mereka mengepung jenazah itu. Mereka tidak membenarkan seorang manusia pun menghampirinya walau bagaimana rapat pun hubungannya dengan assyahid itu.
Akulah (Ahmad Al Banna) sendiri berseorangan menguruskan jenazah anakku untuk dikebumikan, kerana tidak seorang pun dari laki-laki yang khas mengurus jenazah dibenarkan masuk. Kemudian aku turunkan jenazah itu setelah diletakkan di dalam keranda. Tinggal lagi satu kesulitan bagiku iaitu siapakah yang akan membawanya kepada tempatnya yang terakhir (ke tempat perkuburan).

Aku meminta kepada pasukan polis supaya mereka membenarkan beberapa orang lelaki untuk membawa keranda jenazah itu. Mereka menolaknya. Aku berkata kepada mereka: “Tidak ada seorang pun laki-laki di rumah ini”. Lantas mereka menjawab: “Tidakkah dia dibawa oleh kaum wanita”. Jadi keranda almarhum assyahid pun keluar dipikul oleh bahu kaum wanita.

Jenazah yang unik itu berangkatlah di jalan, yang dipagari oleh anggota polis. Mata-mata manusia dari tingkap-tingkap dan pintu rumah menunjukkan kilatan dukacita, kesakitan yang sangat dan kemurkaan terhadap kezaliman yang menutupi di kiri kanan jalan.

Apabila kami tiba di masjid Jamek Qiswan untuk melakukan solat jenazah al marhum, didapati masjid itu telah pun kosong, tidak seorang pun dari kakitangan masjid itu sendiri yang kelihatan. Fahamlah aku bahawasanya angkatan polis telah terlebih dahulu tiba di masjid dan menyuruh orang ramai kaluar daripadanya sehinggalah selesai solat jenazah anakku.

Aku pun berdiri di hadapan keranda anakku untuk melakukan solat di atasnya lantas bercucuranlah air mataku. Bukan sahaja air mata, tetapi disertai sekali dengan rayuan ke langit memohon kepada Allah SWT semoga melimpahkan rahmat kepada manusia.
Berangkatlah keranda jenazah Al Imam Assyahid ke tempat pengebumian lalu kami tutup dengan tanah. Dengan harapan ini kami kembali ke rumah dengan tangisan penuh dukacita. Hari siang telah berlalu dan malam telah tiba, tetapi tidak seorang pun datang untuk memberi takziah kerana sesungguhnya pasukan tentera melarang orang ramai memasuki rumah itu. Sesiapa yang dapat menemui kami untuk memberi ucapan takziah, mereka itu tidak akan kembali ke rumah mereka, kerana mereka ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Kecuali seorang sahaja iaitu Mukram Ubaid yang sungguh berani terhadap orang-orang zalim itu.

Selepas pengebumian Assyahid Hassan Al Banna

Akhbar “Al-Katlah” menyiarkan penjelasan mengenai peristiwa pengebumian al marhum as syeikh Hassan Al Banna di bawah tajuk-tajuk yang meradang dan menyakitkan hati ! Iaitu: “Polis menangkap jasad Assyeikh Al Banna”, “Bagaimana mereka menangkap mayat yang lain”, “Polis mengepung kubur-kubur dan mengadakan kawalan terus menerus”.
Setelah itu, akhbar Al Katlah menyatakan sebagai berikut: Di dalam masa dua belas jam, Hasan Al Banna dibunuh, dibedah, dimandikan, dan dilipat lembaran hidupnya. Wanita-wanita memikul jenazahnya di atas bahu mereka. Kembalilah ayah yang cintakan anaknya dengan penuh dukacita.Sebelum sampai ke tanah perkuburan “Imam As Syafei” pasukan tentera telah mengepung jalan-jalan yang menuju ke tanah perkuburan itu. Di masa yang sama satu angkatan bersenjata yang besar mengepung rumah almarhum untuk menghalang siapa sahaja yang cuba masuk ke rumah itu walaupun dari qari-qari Al Quranul Karim. Orang-orang yang keluar dari rumah itu pun ditangkap walaupun mereka itu adalah jiran-jiran (Al Mursyid Hasan Al Banna).

Salah seorang dari pasukan polis pada hari itu menangkap seorang dari sahabat-sahabat almarhum al Imam Assyahid kerana dianggap melakukan ‘jenayah’. ‘Jenayah’nya adalah menyembunyikan satu mushaf Al Quranul Karim di dalam lipatan pakaiannya. Mereka menyerahkan sahabat al Imam assyahid itu kepada orang yang bertugas untuk membuat tangkapan.

Pada hari ini kami akan menulis sebuah kisah baru, dari bermacam-macam kisah kezaliman dan kejahilan yang selalu ditutup dari pengetahuan orang ramai. Kisah ini adalah kisah pertarungan yang dahsyat yang terjadi di antara pasukan polis dengan jasad (mayat) Hasan Al Banna.

Khabar-khabar angin telah tersebar suatu petang bahawasanya sahabat-sahabat al Imam Assyahid sangat sedih kerana al Imam itu dikebumikan menurut cara yang menghina dan menyedihkan. Mereka telah berazam hendak mengambil mayat itu dari kuburnya dan menyembunyikannya dari pengawasan polis.

Berita dilaporkan kepada pihak berkuasa, lalu mereka memerintahkan supaya dilipat gandakan usaha penjagaan terhadap kubur itu dan memeriksa setiap orang yang melalui jalan menuju ke tanah perkuburan al Imam as Syafie (di mana al Imam Assyahid dikuburkan). Pasukan tentera yang bersenjata bergilir-gilir mengadakan penjagaan yang ketat di situ dengan mata celik dan waspada, dengan hati gentar dan berdebar-debar. Mereka kerahkan pasukan polis untuk berjaga malam untuk menjaga mayat Al Imam Assyahid di dalam kubur dan menguasainya lantaran mereka takut kalau-kalau ada di kalangan manusia nanti memindahkan mayat itu ke suatu tempat yang sesuai dengan taraf dan kedudukan mayat al Imam Assyahid itu. Orang-orang zalim yang memegang tampuk kekuasaan masih ghairah menindas lelaki itu walaupun ia telah menjadi mayat dan menguasainya dengan angkatan tentera mereka. Demikianlah bagaimana Ibrahim Abdul Hadi Pasya (Perdana Menteri di waktu itu) mengawal pahlawan zaman itu, alangkah berdosanya perbuatannya itu.

Apabila pasukan polis yang berkawal itu meragui seseorang atau kumpulan yang lalu lalang di situ, mereka ditahan, dperiksa dan ditanya ke mana mereka pergi. Sekiranya polis berpuas hati kepada mereka (ini jarang berlaku) mereka dibenarkan bersurai.
Tetapi apabila polis meragui mereka (sebahagian besar begitulah) mereka ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Pihak polis sentiasa mengesyaki apabila mereka melihat beberapa orang memikul keranda dan membawanya ke kubur di waktu menjelang malam (maghrib) kerana berkemungkinan mereka datang dari tampat yang jauh.
Rombongan yang menghantar jenazah itu terperanjat apabila melihat senjata-senjata yang berkilat-kilat di malam yang gelap gelita dan mendengar suara menyuruh mereka berhenti serta merta dan meletakkan keranda itu di atas bumi untuk mengetahui jenazah siapakah itu. Salah seorang dari pasukan tentera itu akan mengangkat penutup keranda dan disuluh dengan lampu suluh yang dipegangnya. Apabila tentera itu telah memastikan bahawa jenazah itu bukan jenazah utusan Al Banna, lantas menyuruh mereka menutup semula dan meneruskan perjalanan. Demikianlah, telah ditaqdirkan terhadap orang-orang yang telah mati menerima bahagiannya dari kezaliman orang-orang yang masih hidup pada zaman itu.

Kubur yang sentiasa menikmati suasana kerehatan dan ketenangan sejak dari dahulu kala lagi sehinggalah datang zaman ini, di mana orang-orang yang telah mati dan telah berada di dalam Ri’ayah Allah tidak terhindar dari kezaliman, kecurangan, ketakutan dan kejahilan orang-orang yang masih hidup (zalim).

Selepas Jenazah Hasan Al Banna
Berita berikut ini dipetik dari akhbar ‘Al-Katlah’ yang telah disiarkannya di bawah tajuk-tajuk yang mengharukan dan mendukacitakan iaitu: Tangkapan ke atas setiap orang yang berkabung pada hari terbunuhnya as syeikh Hasan Al Banna (Hamid Juddah, Pengerusi Dewan Rakyat melucuti pakaian hitamnya pada hari itu) – “Tindakan disiplin pendidikan di masjid-masjid selepas tiap-tiap solat”. Kemudian ‘Al- Katlah’ melaporkan seperti biasa penulis ruangan ini ialah Mukram Ubaid Basya.
Kami telah pun menceritakan tentang jenazah Assyeikh Al Banna. Kami telah juga melaporkan sebahagian daripada yang terjadi di dalam dan di luar rumah Assyeikh Hasan Al Banna. Tinggal apa lagi yang kami beritakan kepadamu ialah berbagai-bagai peristiwa di tengah-tengah perjalanan jenazah itu dan sesudah pengebumiannya.
Selepas pengebumian itu beratus-ratus orang telah ditangkap di atas sebab-sebab yang ganjil dan hampir-hampir tidak dapat dipercayai. Mereka yang teraniaya disumbatkan secara beramai-ramai di dalam bilik tahanan yang busuk, itulah penjara ‘Nuqtatul Imamain’ yang berhampiran dengan kubur. Perhatikanlah dari sebab-sebab mereka ditangkap.

Ini seorang pemuda yang memakai tali leher hitam kerana berkabung di atas kematian ayahnya sejak beberapa hari. Seorang polis yang ‘cerdik’ menyangka bahawa pemuda ini memakai tali leher hitam itu kerana berkabung di atas kematian al marhum assyeikh Hasan Al Banna. ‘Kecerdikan’ dan anggapan salahnya, itu tidak dapat melihat secara rasional sebab-sebab lain yang mendorong pemuda itu untuk memakai tali leher hitam itu. Tanpa berlengah-lengah lagi dia mengecap, bahawa ini dari golongan Hasan Al Banna dan pengikut-pengikutny a yang diburu oleh pihak berkuasa yang zalim untuk disiksa dengan sejahat-jahat siksaan. Maka pemuda tersebut disumbatkan di dalam penjara kemudian di kem tahanan untuk disoal siasat.

Membaca Al Fatihah…satu jenayah!!
Lihatlah lelaki itu bonjol dahinya bengkak kedua belah pelipis dan kedua belah matanya kerana kesan-kesan tumbukan. Wah! Demikianlah keadaan seorang penjahat (penjenayah) ?

Bayangkanlah! Seorang dari pasukan polis menangkap beliau berkumat-kamit membaca Al Fatihah dari salah sebuah tingkap di tengah-tengah perjalanan jenazah Assyeikh Hasan Al Banna yang menggerunkan itu. Lantas polis itu naik ke rumahnya lalu mengheretnya di tengah-tengah jeritan anak-anaknya yang kecil dan isterinya. Senjata tersadang di belakangnya bersedia untuk mendiamkannya apabila beliau hendak melawan ataupun lari dari kawalan polis.

Mereka bertanyakan kepadanya apakah benar tuduhan itu? Iaitu beliau membaca Al Fatihah di atas ruh Assyeikh Hasan Al Banna. Lalu beliau menjawab tegas dengan jawapan positif (ya!). Spontan beliau diganyang dengan lempang lempung, tumbuk dan tendak di muka dan tubuhnya. Mereka bertanya lagi kepadanya: “Kenapa kamu membaca Al Fatihah?” Laki-laki itu menjawab: “Sesungguhnya ia adalah salah satu syiar agama, kita membaca dua kalimah syahadah tatkala jenazah berlalu dan membaca Al Fatihah ke atas rohnya”. Seorang dari pasukan polis itu berteriak sambil berkata: “Kamu nampaknya beramal dengan amalan mazhab Hambali wahai anak si…” sambil tangannya melempang muka si malang itu. Di sini kita lupakan apa saja yang diperkatakan seterusnya oleh polis yang terdidik itu. Si tertuduh yang tidak berdosa itu dipandang sebagai penjenayah yang tidak boleh diampun kerana menghormati syiar agamanya berkata: “Adakah Al Quran dipandang sebagai satu dosa yang dihukum oleh undang-undang? Sekali lagi bertubi-tubi lempang, tumbuk, sepak dan terajang ke atas muka dan tubuhnya, beliau pengsan dan tidak sedarkan diri.

Setelah beliau sedar dari pengsannya beliau mendapati dirinya berada di bilik sejuk yang busuk bersama puluhan orang lain. Kedua belah tangannya digari dengan gari besi bersilang (demi Allah…bersilang untuk dikirim ke kem tahanan tanpa perbicaraan) , tanpa diadili. Menurut pandangan Ibrahim Abdul Hadi Basya, bahawa seorang muslim ang membaca Al Fatihah di atas ruh jenazah yang lalu di hadapannya adalah merupakan satu jenayah! Sesiapa melakukannya mesti dikirim ke kem tahanan tanpa diadili terlebih dahulu kerana Ibrahim Abdul Hadi Basya tidak menjumpai hukuman di dalam undang-undang yang adil untuk menyiksa sesiapa yang membaca Al Fatihah ke atas roh orang mati.

Sesungguhnya Hamid Judah pengerusi dewan rakyat yang telah dibubarkan, mamakai pakaian hitam kerana berkabung di atas kematian Mahmud Basya. Tetapi pada hari kematian Hasan Al Banna beliau melucutinya supaya tidak dikatakan bahawa beliau berdukacita di atas kematian Assyeikh Hassan Al Banna, supaya tidak bersua nanti dengan pihak polis dan ini akan menyusahkannya.

Kita tidak nampak sebab lain yang mendorongnya melucuti pakaian hitam pada hari itu, kerana kematian Mahmud Nuqrasyi Basya baru berlalu beberapa hari lalu. Ini saja alasan yang jauh dari kebenaran kerana sesungguhnya Hamid Judah adalah salah seorang yang melaksanakan pakatan sulit membunuh al Imam Assyahid Hassan Al Banna. Jadi beliau melucuti pakaian hitam yang dipakainya kerana bergembira lantaran kejayaan pakatan sulit itu sebagaimana gembiranya segenap pihak penjajah, Zionis dan puak Kristian.

Pasukan polis pada hari itu melancarkan serbuan yang keras dan kasar ke masjid-masjid di ibu negara. Mereka tidak membenarkan seorang pun melakukan solat dan beribadat sunat setelah selesai solat jemaah yang rasmi. Apabila ada yang hendak memanjangkan solatnya, bermakna ia telah membawa dirinya ke arah kebinasaan, mendedahkan kemerdekaannya untuk dirampas dan dirinya untuk disiksa, anaknya dan keluarganya diporak perandakan dengan lapar, sakit dan air mata.

Ada sebahagian dari polis itu yang telah diberikan oleh Allah SWT kepada mereka ‘hati yang lembut’ seperti Ibrahim Abdul Hadi Basya, tidak sudi melucuti sepatu-sepatu mereka tanpa meraikan kehormatan masjid dan kemuliaan muslimin.
Cubalah pembaca bayangkan seseorang yang sedang berdiri di hadapan Allah SWT sedang menyempurnakan suruhan agamanya tiba-tiba tongkat besar dan kecil memukulnya dan pasukan polis mengheretnya dari rumah Allah SWT ke tempat pembuangan di Thur, ke pengasingan Uyun Musa, ke pengasingan di padang pasir Sinai. Perbuatan durjana ini adalah semata-mata untuk memuaskan kedua-dua mata Ibrahim Abdul Hadi Basya.

Napoleon meminta maaf

Mesir menyaksikan peristiwa manusia memasuki masjid-masjid dengan sepatu dan selipar di masjid itu sebanyak dua kali dalam sejarah. Kali yang pertama ialah di zaman Napoleon, di mana angkatan berkuda (boleh jadi kuda itu liar) memijak lantai masjid Jamek Al Azhar, lantas Napoleon meminta maaf kepada pembesar-pembesar dan ulama’ dan menyatakan dukacitanya di atas peristiwa itu.

Pada kali kedua, padahal (beratus-ratus kali terjadi) di zaman kekuasaan Ibrahim Abdul Hadi Basya. Lebuh dahsyat lagi kerana beliau tidak meminta ampun kepada Allah dan tidak meminta maaf kepada manusia. Demikianlah laporan dari akhbar “Al-Katlah”.
Sesungguhnya perintah larangan dari menghadiri jenazah dan memberi takziah telah mendatangkan kehairanan pada diriku. Ku rasakan mesti ada sesuatu di sebaliknya, kebetulan pula berita terbunuhnya Assyahid Imam Hassan Al Banna kuketahui dari akhbar pagi. Alangkah dahsyatnya pagi itu!! Tanpa ragu-ragu aku membuat kesimpulan bahawasanya almarhum assyahid dibunuh secara curi dan khianat. Sesungguhnya puak (pengikut) Ibrahim Abdul Hadi Basya merasakan bahawa pembunuhan Hassan Al Banna sebagai membalas dendam ke atas pembunuhan perdana menteri Mahmud Nuqrasyi Basya kerana mereka mengesyaki bahawa al Bannalah yang menyuruh orang-orangnya membunuh Nuqrasyi Basya.

Tanpa berlengah-lengah lagi aku segera mengangkat gagang telefon untuk bertanya tentang waktu pengebumian jenazah itu supaya kami dapat menghadirinya. Lantas mereka menjawab: “Sesunguhnya al marhum mengehembuskan nafasnya yang terakhir di tengah malam dan beliau dikebumikan di pagi-pagi buta dengan perintah kerajaan, supaya tidak terjadi tunjuk perasaan dan kacau bilau”. Jadi aku tidak hairan dengan kekejaman-kekejaman yang dilakukan oleh sebuah kabinet yang terkenal dibenci oleh rakyatnya.

Kabinet itu melumuri darahnya dengan darah seorang lelaki yang agung seperti al Imam Assyahid Hassan Al Banna. Walhal beliau diakui oleh setiap orang yang mengenalinya sebagai seorang lelaki yang sempurna, waras dan mantap akal fikirannya. Adalah mustahil difikirkan bahawa beliau menyuruh orang membunuh seseorang sama ada Nuqrasyi Basya ataupun yang lain daripadanya.
Pejabat kita pada malam itu dipenuhi dengan para pelawat. Bilangannya lebih banyak dari malam-malam sebelumnya. Semua perbincangan pada malam itu hanyalah berkisar di sekitar kekejaman pembunuhan almarhum Hasan Al Banna. Setiap orang dari kami memberikan takziah kepada yang lain. Aku mencadangkan kepada para hadirin supaya kami semua pergi ke balai takziah yang biasa dibuat dalam situasi seperti ini. Lalu mereka berkata: “Sesungguhnya pemerintah melarang manusia mendirikan balai untuk takziah. Oleh kerana itulah kita datang ke sini untuk saling membalas takziah di sisimu”.

Ke rumah Hassan Al Banna

Menjelang tengah malam hanya tinggal ustaz Said Al Ariyan di pejabat am, beliau dahulunya adalah kawan sepersekolahan dengan almarhum. Beliau menangisi sahabatnya dengan tangisan yang sangat.

Aku berkata kepadanya: “Bagaimana pandanganmu wahai si polan kalau kita pergi sekarang ke rumah almarhum Hasan Al Banna untuk memberi takziah kepada ayahnya dan keluarga”. Lalu beliau menjawab: “Baiklah dan marilah kita pergi”. Lantas kami menaiki kereta al ustaz Muhammad Al Ariyan. Apabila kami sampai kami mendapati perkampungan al Hilmiyah di mana terletak rumah al marhum Hasan Al Banna berada di dalam gelap gelita di sekitarnya, lampu-lampunya dipadamkan dan seluruh kedai tertutup rapat. Lalu kami hidupkan semua lampu kereta semahunya. Tiba-tiba pasukan tentera dengan pakaian hitam mereka kelihatan di tengah-tengah kegelapan itu seperti bayang-bayang yang memegang senapang terhunus. Mereka menahan kami dengan sekatan jalan dan memberi isyarat kepada pemandu kereta supaya memandu kereta kami ke arah yang lain dari tujuan kami. Kami merasa hairan dengan kawalan ketat inidan kami menyuruh pemandu kereta itu supaya memusingkan keretanya untuk memasuki kawasan itu melalui jalan itu walau apa yang terjadi. Pihak polis tetap tidak membenarkan kami bergerak kecuali jika kami kembali ke tempat dari mana kami datang. Kalau tidak, mereka akan menembak kami. Kami pun kembalilah dengan memuji Allah SWT kerana mereka itu nampaknya merasa cukup dengan menyuruh kami kembali.

Hasan Al Banna telah syahid dan dakwah Allah tetap kekal tanpanya. Syahidnya Hasan Al Banna menambahkan kekuatan dan keteguhan dakwah Islam dan menambahkan bilangan para pendukung dan penolongnya. Faruq telah pergi tetapi dakwah Al Ikhwanul Muslimin terus bertahan, terus berkembang dan bertambah mulia


Dipetik daripada : elbariti@blogspot.com

Saturday, February 14, 2009

Siri Kuliah 4 : Mengenal Kejadian Allah

Hadith 4
Mengenal Kejadian Allah dan TakdirNya


حدثنا عبد اللَّهِ حدثنا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وهو الصَّادِقُ الْمَصْدُوقُ إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ في بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذلك ثُمَّ يَبْعَثُ الله إليه مَلَكًا بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ فَيُكْتَبُ عَمَلُهُ وَأَجَلُهُ وَرِزْقُهُ وَشَقِيٌّ أو سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فيه الرُّوحُ فإن الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ حتى ما يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا إلا ذِرَاعٌ فَيَسْبِقُ عليه الْكِتَابُ فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ فَيَدْخُلُ النَّارَ
صحيح البخاري

Maksud Hadith
“Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : 'Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari (berupa setitik air mani- nutfah), kemudian menjadi segumpal darah (alaqah) selama itu pula, kemudian seketul daging (mudghah) seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : amalannya, ajalnya, rezekinya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja (menghampiri kematian). Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. Sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka maka masuklah ia ke dalam neraka”.

Sumber Hadith
Hadith tersebut diriwayatkah oleh al-Bukhari (3315), Muslim (2643), Abu Dawud (4708), al-Tarmidhi (2137), Nasa’i (11246) dan Ibn Hanbal (3553).

Pemahaman Umum Hadith
Hadith ini menjelaskan dengan terperinci peringkat-peringkat kejadian manusia di dalam janin ibunya. Perkara sedemikian amat jelas membuktikan secara mutlak bahawa Allah adalah satu-satunya Pencipta manusia yang mana ia dapat dibuktikan oleh (fakta) sains melalui proses embriologi. Manusia mengetahuinya hanya pada kurun ke dua puluh sedangkan al-Quran telah menceritakannya semenjak seribu empat ratus tahun dahulu lagi. Apabila janin berumur seratus dua puluh (120) hari, dimasukkan ruh, diberikan ketentuan (qadha` dan qadar) baik mahupun buruk seperti yang tertulis di Luh Mahfuz. Seterusnya seseorang itu hendaklah memastikan imannya sentiasa dipupuk dan dijaga sehingga ke akhir hayatnya kerana iman seseorang boleh bertambah dan berkurang bahkan juga boleh menjadi kufur sebelum menamatkan riwayat hidupnya.

Proses Kejadian Manusia di dalam al-Quran dan Sains.
1. Al-Quran ialah sumber rujukan dan mukjizat Allah (yang kekal sehingga hari kiamat) telah mendahului (fakta) sains penemuan manusia di dalam memperkenalkan teori embriologi (proses kejadian manusia) secara terperinci.

2. Hikmah kenapa proses penciptaan kejadian manusia dijelaskan dengan terperinci ialah agar manusia menginsafi bahawa proses kejadiannya (yang hebat) adalah hasil ciptaan Allah. Oleh itu status mereka adalah jelas sebagai Hamba Allah dan makhlukNya.

3. Terdapat ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang menghuraikan bukti Allah adalah Pencipta manusia. Untuk tujuan tersebut, Allah telah menjelaskan melalui pelbagai pendekatan dan cara tentang kedudukanNya sebagai Tuhan (dan Pencipta) manakala yang lain adalah makhluk ciptaanNya (bertanggungjawab mengabdikan diri kepadaNya). (Lihat al-Mukminun: 12-14; al-Dahr: 2; al-Nahl: 4; al-Tariq: 5-7, dan lain-lain).

4. Setelah kajian saintifik dilakukan, ramai para pengkaji (di kalangan ahli sains dan perubatan) yang telah memeluk Islam manakala sebahagian yang lain telah memperakui kebenaran al-Quran datang daripada Allah yang mencipta manusia.

Fitrah Ciptaan Allah
1. Fitrah ialah sifat semulajadi kurniaan Allah untuk menerima kebenaran (yang sebenarnya bertepatan dan selari dengan ajaran Islam) kepada semua manusia.

2. Allah telah membuat perjanjian dengan manusia (sejak di alam janin) memperakui KetuhananNya. Oleh itu, pengakuan tersebut (iaitu Kepatuhan terhadap Allah = Islam) adalah asas fitrah dalam diri setiap insan. Allah berfirman: (lihat al-A’raf: 172)

3. Oleh itu, bila memperkatakan tentang isu fitrah seperti kebenaran, keadilan, kebaikan, keburukan dan kemanusiaan sebenarnya ia telah digazetkan di dalam Islam sejak dahulu lagi. Justeru, asas fitrah manusia adalah Islam.

4. Kehebatan Allah (yang Maha Hebat) membina asas fitrah tersebut telah membuka dan mempermudahkan ruang untuk menerima hidayah Islam (menganutinya atau memperakui ketuanan Islam) di dalam jiwa setiap insan (hambaNya). Ia perlu disokong oleh pengisian (usaha mendapatkan) hidayah di samping berusaha mengatasi dan menjauhi halangan-halangan dan ancaman-ancamannya.

Konsep Qadha’ dan Qadar
1. Ia merupakan persoalan yang perlu difahami dengan terperinci kerana kesannya amat besar dan mendalam di dalam kehidupan seseorang itu kerana ia berkaitan dengan (1) Ilmu Allah (yang Maha Hebat) tanpa sempadan tertentu, (2) Pergantungan diri terhadapNya, (3) Usaha bersungguh-sungguh dan tawakkal yang tinggi dan (4) Redha di atas ketentuanNya.

2. Oleh kerana seseorang itu tidak mempunyai ilmu tentang kesudahan takdirnya, maka ia hendaklah berusaha bersungguh-sungguh sebelum bertawakkal sepenuhnya dan seterusnya redha dengan ketentuan Allah dengan sentiasa bersangka baik (husnu Ðan) dengan Allah dan yakin bahawa segala-segalanya adalah baik untuk kita tanpa mengenal erti kecewa dan putus asa.

3. Hendaklah beriman dengan sepenuhnya bahawa Allah Bersifat dengan sifat kesempurnaan dan mustahil memiliki sebarang sifat kekurangan.

4. Perlu memahami (perbuatan Allah) bahawa Allah bebas melakukan sesuatu mengikut KehendakNya. Segala-galanya melambangkan Kesempurnaan (Maha Hebat dan Adil).

5. Perlu memahami bahawa perbuatan manusia adalah menurut pilihannya sendiri dan berlakunya dengan izin (dan ilmu) Allah. Oleh itu, ia mesti bertanggungjawab di atas perbuatannya (pilihannya sendiri) di akhirat.

6. Memahami konsep mengithbatkan (menetapkan) keimanan dengan hati dan kesempurnaan iman itu dicapai dengan amal soleh. Justeru, kita akan dapat memahami konsep dosa dan kufur serta akibatnya.

Istiqamah di Dalam Keimanan
1. Iman boleh bertambah dengan amal soleh dan ketaatan (melaksanakan syariat Islam) dan ia boleh berkurangan dengan melakukan maksiat dan dosa.

2. Iman dan amal saling bertindak balas dan memberi kesan di antara satu sama lain.

3. Oleh itu, iman perlu sentiasa dipupuk dengan amal soleh agar nilai istiqamah berterusan dapat dikekalkan.

4. Hendaklah menjaga iman yang dimilikinya sehingga ke akhir hayatnya. Sekiranya berlaku kufur atau murtad dipertengahan jalan atau di ambang akhir hayatnya, maka akhirnya ia mati dalam kekufuran. Oleh itu, seluruh amal solehnya terbatal dan tidak diterima oleh Allah. Sesungguhnya ia berada dalam kerugian yang amat besar.

Pengajaran Hadith
1. Al-Quran menyediakan panduan asas terhadap ilmu sains dan semua jenis ilmu.

2. Proses kejadian manusia yang diceritakan di dalam al-Quran telah membuka peluang untuk mengenali Allah melalui cara saintifik sebagai bukti kukuh bahwa Allah adalah Pencipta agung manusia dan alam semesta.

3. Memahami konsep takdir dengan sebenarnya akan membentuk nilai perhambaan dan kecemerlangan diri dengan meletakkan pergantungan, jihad dan redha hanya kepada Allah tanpa takut kepada makhluk lain.

4. Konsep takdir memperlihatkan ilmu Allah yang tidak bernoktah dan Maha mengetahui segala sesuatu.

5. Allah telah menjadikan manusia dan melengkapkannya dengan asas fitrah yang mana ia berpotensi membuka pintu hidayah untuk menerima Islam sebagai cara hidup mereka (setelah adanya usaha ke arah tersebut melalui inisiatif sendiri ataupun dakwah).

6. Seseorang Muslim hendaklah istiqamah dengan keimanannya sehingga ke akhir hayatnya.
Disediakan oleh : Hasbullah Mohamad

Thursday, February 12, 2009

Untung Sabut Timbul, Untung Batu Tenggelam...

Analisa Kejatuhan Kerajaan Pakatan Perak
Kesan Politik Masa Depan Umno


oleh : Mohamad Sayuti Omar

DENGAN terlantiknya Menteri Besar baru di Perak semalam, Umno kini mendapat semula kuasanya yang hilang selama 11 bulan apabila rakyat menafikan kuasa itu pada pilihan raya umum lalu. Soal kuasa itu sah atau sebaliknya, hakikatnya Umnolah mengemudi kerajaan Perak selepas ini.

Kejayaan Umno kembali semula berkuasa menerusi apa yang disifatkan satu rampas kuasa siang hari itu benar-benar mengembira dan melegakan Umno. Dengan apa yang berlaku bolehlah Umno menuntut dan mengatakan bahawa parti itu mendapat sokongan Melayu dan memulihkan semula kedudukan parti berkenaan.


Umno boleh mendabit dada kononnya parti itu sebenarnya yang diingini oleh orang Melayu Perak. Umno juga boleh berangan-angan mengatakan parti merekalah dipercayai rakyat seluruhnya. Atau Umno juga boleh mengakui partinya turut sama direstui istana apabila Sultan Azlan Shah bersetuju melantik MB dan tidak bersetuju membubarkan DUN Perak seperti mana diminta oleh Pakatan Rakayat.

Apapun Umno tidak perlu peduli. Restu dari istana adalah penting dalam konteks politik negara ini. Samada tindakan istana itu betul atau sebaliknya itu soal lain.Umno menampakkan kuasa yang mereka perolehi itu betul dengan mencari tukang-tukang untuk mencanangkan tindakan itu betul dan tepat. Banyak tukang-tukang demikian yang boleh diupah atau diberikan imbunan pangkat dan kedudukan.

Tukang-tukang itu boleh menjustifikasikan atas berbagai nama; budibicara, kebijaksanaan atau pandangan jauh Sultan.

Adat dan kepercayaan kolot orang Melayu meletakkan apa juga yang dilakukan Sultan itu betul walaupun kesalahan dilakukan itu kadang-kadang terang benderang, atau kadang-kadang pada satu masa dulu kita sendanri menetangnya dan menyokong balik atau menyetujui bila ia memberi keuntungan kepada kita.

Buku-buku sejarah mengenai kekejaman sultan atau raja-raja banyak tersimpan di arkib. Kita boleh membacanya untuk mengetahui sifat-sifat ini yang dipakai dari kalangan raja-raja Melayu, Inggeris, atau raja-raja apa jenis dan bangsa saja dari seluruh dunia.

Dari semangat Melayu, sesiapa pun gembira dengan terbentuknya kerajaan Perak yang dianggotai oleh Melayu total di Perak itu. Hanya bangsa yang tidak suka kepada bangsanya sendiri saja kalau tidak suka bangsanya menjadi kerajaan. Hanya Melayu yang hilang rupa diri dan akal budi saja tidak menyokong Melayu.

Bagaimana pun bila ada yang mempertikaikan perlantikan atau pertukaran kerajaan itu ialah dari segi teknikalnya yang dikira sangat menjijikkan dan tidak adil.

Dengan terlantiknya Adun Pangkor, Zambry Abdul Kadir itu orang Melayu Perak kini tidak perlu bimbang lagi mengenai keselamatan mereka. Hak-hak Melayu, kepentingan Islam pasti akan terbela dengan utuhnya. Soal tanah rezeb Melayu pasti akan terjaga dengan eloknya.

Projek atau kontrak kerajaan tidak akan jatuh ke tangan Cina lagi. Begitu juga dengan kawasan balak tidak lagi jatuh ke tangan Cina.

Semuanya akan dapat kepada Melayu kerana kerajaan MB yang ada kini bukan lagi menjadi boneka kepada mana-mana Cina. Mungkin dalam masa sesegeranya juga Zambry akan memansuhkan semula polisi kerajaan Pakatan yang memberi gerak tanah milik kekal kepada penduduk kampung baru seperti mana pantasnya tindakan Umno sebelum ini mempertikaikan pemberina itu.

Dari satu segi itulah yang dapat dilihat dan dirasai terhadap perubahan drastik yang berlaku di Perak itu. Memang Umno boleh bergembira dan orang Melayu boleh membuat kenduri kesyukuran dengan menyembelih unta atau gajah.

Tetapi dari sudut lain kemelut politik yang membawa perubahan kepada kerajaan itu meninggalkan kesan yang menakutkan untuk masa depan medan politik negara ini dan inilah yang menjadi masalah baru kepada Umno dan Melayu.

Kejadian di Perak itu membuka kepada dimensi hubungan atau perpaduan politik negara ini tidak baik. Mungkin kerana terlalu gembira orang Melayu tidak sedar bahawa di sebalik kemeriah dan sorak sorai Melayu Umno itu ada pihak lain yang kecewa. Hakikatnya kejayaan Umno itu dirayakan oleh Umno saja tetapi tidak oleh kaum lain. Apakah situasi ini disedari oleh Umno?

Realiti ini jelas sehingga semalam saya belum terbaca ulasan dan juga mendengar komen daripada pemimpin Cina dalam Gerakan atau MCA berhubung kejayaan Umno itu. Apakah mereka tidak ditanya atau mereka enggan mengulas atas kepentingan politik? Yang ada memberi ulasan menggambarkan mereka suka dengan apa yang berlaku itu hanya orang-orang Cina marhaen sahaja.

Apakah sikap senyap dan membisu mereka itu menandakan mereka marah. Mereka tidak setuju kerajaan Perak yang didominasi kaum Cina (DAP) dijatuhkan? Ini perkara yang sepatutnya diberi perhatian oleh Umno di sebalik sorak sorai itu.

Jelas apa yang berlaku dan dilakukan itu menyakiti orang Cina. Orang Cina berangapan seolah mereka tidak perlu diberikan peluang menjadi kerajaan menurut perlembagaan yang ada dan perlu ditumbangkan. Dalam hal ini mereka tidak mengira siapa Cina yang menguasi kerajaan Perak itu, MCA, Gerakan atau DAP? Tetapi orang Cina pasti merasa bangga kerana rakan mereka dalam DAP dapat menguasi sebuah kerajaan.

Apa yang dibayangkan Dr Mahathir Mohamad apa yang berlaku di Perak itu memberi kesulitan atau keburukan kepada BN – Umno pada pilihan raya ke 13 adalah tepat. Dapat diselami kata-kata Mahathir itu bahawa dengan apa yang berlaku orang Cina akan membenci Umno atau sokongan orang Cina kepada Umno – BN makin merosot.

Dr Mahathir boleh berkata begitu kerana beliau faham dan ada pengalaman dengan sikap politik orang Cina. Dr Mahathir pernah kalah tahun 1969 di Kota Star disebabkan orang Cina tidak mengundinya hanya disebabkan beliau berkata beliau tidak perlu undi Cina. Sejarah dialami Dr Mahathir itu seharusnya dijadikan iktibar kepada Melayu Umno.

Disebabkan keintiman masyarakat Cina itu begitu kental kesan atau rasa sakit hati orang Cina itu bukan saja di Perak. Ia tidak boleh bendung daripada menjalar di negeri-negeri lain juga. Sudah pasti Cina di Pulau Pinang akan melepas marah dan dendam dengan apa yang berlaku di Perak itu dengan memberi sokongan pada kepada kerajaan DAP Pualau Pinang.

Pada saya ini sangat bahaya bagi Umno. Politik rakus dan tidak menghormati hak orang lain dan mencerminkan ketamakan kuasa memberi kesan buruk dan kegembiraan sekejap saja. Dari segi politik jangka panjang apa yang dilakukan Umno itu tidak bijak. Dan kesan daripada tindakan ini ialah kepada Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Mohd Najib Razak. Kerakusan Najib itu akan dilihat sebagai itulah stail dan pendekatan Najib apabila beliau menjadi PM kelak.

Dalam hal ini Najib untung dalam mengambil hati orang Melayu untuk mendokong beliau sebagai PM tetapi pada masa sama beliau telah mengguriskan hati orang Cina dengan apa yang berlaku itu. Keadaan ini seharusnya tidak berlaku menjelang beliau ingin mengambil kuasa daripada Abdullah Badawi Mac depan.

Memerhati perkembangan yang berlaku hari ini saya tidak tergamak untuk mengatakan kemungkinan dengan apa yang berlaku ini menyebabkan MCA dan Gerakan atau parti-parti Cina di Sabah dan Sarawak dan seluruh orang Cina sedang membuat homework baru dalam hubungan politik mereka dengan Umno. Tragedi rampas kuasa di Perak yang berlindung di istana itu boleh menyebabkan kaum Cina menyemak balik persefahaman politik mereka dengan Umno.

Di sini terlalu awal untuk mengatakan mereka akan membuat reform politik besar-besaran dengan memberi sokongan kepada PKR dan Pas bagi menyertai rakan mereka DAP dalam Pakatan Rakyat itu tetapi kemungkinan itu tidak mustahil.

Jadi Umno perlu insaf dan sedar hal ini kalau tidak kejayaan di Perak itu bukan memberi satu kegembiraan tetapi akan menganugerahkan kesedihan berpanjangan terutamanya kepada mereka yang bertanggungjawab di sebalik tragedi 6 Februari 2009 itu. [wm.kl. 10:00 am 07/02/09]

sumber : msomelayu.blogspot.com

Allah Bayar Cash utk Ariel Sharon






TUBUH SHARON MEMBUSUK SEDANGKAN IA MASIH HIDUP!!!

Dicatat oleh سريكندي آلنساء
Na ' udzubillãhi min dzalika (Kami berlindung kepada Allah dari hal yg demikian ini)


Subhanallah.... Pembalasan dari Allah SWT atas segala kekejaman nya, maka beringat2 kita sebagai hambaNya, jangan sekali2 melakukan kezaliman terhadap insan lain.....!!!! Tubuh Sharon Membusuk Sedangkan Ia Masih Hidup.. Semoga Allah SWT menimpakan Azab-Nya kepada seluruh Zionist Yahudi yang setuju terhadap pembantaian Umat Islam Palestin & Lebanon.

Diberitakan bahawa para doktor di Hospital Hadasa telah memasukkan Ariel Sharon (Bekas PM Israel yang Yahudi) ke ruang operasi untuk dilakukan pembedahan.. Ia memiliki luka membusuk dan tidak sedarkan diri selama beberapa minggu. Operasi tersebut dilakukan untuk menyambung bahagian-bahagian ususnya yang telah membusuk dan telah menyebar ke bahagian tubuh lain.
Demikianlah kita saksikan keadaan musuh Allah Subhanahu Wata ' ala dan musuh islam yang gemar menumpahkan darah. Penyumbatan yang terjadi di otaknya menyebabkan kerusakan di sekujur tubuh. Ini sebagai akibat penindasannya terhadap umat Muhammad Shalallahu alaihi wassalam yang berlangsung terus menerus siang dan malam. Akhirnya ia menderita kelumpuhan di seluruh tubuhnya dan tidak bisa menggerakkannya walaupun hanya menggerakkan mata. Dialah yang memimpin para tentara untuk menyerang Sinai dan Lebanon . ia juga yang menyembelih para tawanan Mesir. Saat ini ia tidak sedar sama sekali dan tidak mengetahui sekelilingnya...
Akhirnya Allah Subhanahu Wata ' ala memperlihatkan kepada kita keadaan thaghut yang suka menumpahkan darah ini dengan ayat-ayat Allah Subhanahu Wata ' ala yang agung, iaitu membusuknya jasad sedangkan ia masih hidup. Demikianlah, mereka (para doktor) akan mengamputasi anggota tubuhnya satu demi satu hingga terakhir sedangkan ia masih hidup.
Benarlah firman Allah SubhanahuWata 'ala : 'Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahwa al-Quran itu benar '(Fushilat:53) Dipetik dari: Majalah Qiblati, vol.01/no.09/Mei-Jun 2006 terbitan Jeddah, KSA.
* Berdasarkan berita terbaru minggu ini sampai saat ini Sharon masih koma (tidak sedarkan diri) dalam ruang ICU.

( Sharon fell into a coma; as of June 2008, he is in a persistent vegetative state." (http://en.wikipedia.org/wiki/Ariel_Sharon)

sumber : nisakuantan.blogspot.com