Thursday, December 25, 2008

Siri kuliah hadith 3 : Kemaisan Iman

Hadith 3

Kemanisan Iman


عن أَنَسٍ عن النبي صلى الله عليه وسلم قال ثَلَاثٌ من كُنَّ فيه وَجَدَ بِهِنَّ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ من كان الله وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إليه مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إلا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ في الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ الله منه كما يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ في النَّارِ
صحيح مسلم

Maksud hadith
“Diriwayatkan oleh Anas bin Malik daripada Rasulullah s.a.w, bersabda : Barangsiapa mempunyai tiga ciri-ciri tersebut akan merasai kemanisan iman; iaitu (1) barangsiapa yang mengasihi Allah dan Rasul s.a.w melebihi segala-galanya, (2), sesiapa yang mengasihi sahabatnya hanyalah semata-mata kerana Allah dan (3) sesiapa yang benci (untuk kembali) kepada kekufuran sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”


Sumber Hadith
Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Bukhari (6542), Muslim (43), al-Tirmidhi (2624), al-Nasa’i (11720), Ibn Majah (4034) dan Ibn Hanbal (13431).


Pemahaman Umum Hadith
Hadith ini menjelaskan bahawa seseorang itu akan dimuliakan Allah dengan menikmati kemanisan iman setelah membuktikan sikap perhambaan yang tinggi terhadap Allah iaitu dengan meletakkan cinta terhadap Allah dan Rasul s.a.w melebihi segala-galanya. Hal ini dapat dilihat melalui amalannya yang dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah yang paling dikasihinya walaupun bertentangan dengan kehendak (nafsunya) sendiri. Kemanisan iman tidak dapat dikecapi melalui teori semata-mata sebaliknya mesti melalui penghayatan yang bersungguh-sungguh. Cintakan Allah dan Rasul s.a.w merupakan asas kekuatan iman yang dapat dijelmakan melalui sifat-sifat yang lain seperti mengasihi saudara seislam dan bencikan kekufuran. Oleh itu kemanisan iman merupakan kurniaan Allah yang tidak terhingga untuk mereka yang mencarinya.


Cintakan Allah dan Memupuk Kecintaan (Iman) TerhadapNya

1. Cintakan Allah bermaksud cenderung (kasih) dan berusaha bersungguh-sungguh menunjukkankecenderungannya terhadap Allah dengan mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya sama secara rela ataupun terpaksa demi keredhaanNya.

2. Menurut Imam al-Ghazali, Cintakan Allah merupakan ibu kepada segala kebaikan manakala cintakan dunia merupakan ibu kepada keburukan dan kejahatan.

3. Oleh itu, usaha menguatkan kecintaan (keimanan) terhadap Allah hendaklah sentiasa berterusan melalui pendekatan al-Quran, hadith dan akal kurniaan Allah. Contohilah sirah Nabi Ibrahim a.s.

4. Selain daripada itu, berfikir tentang kejadian Nikmat dan Rahmat Allah juga boleh meningkatkan rasa kagum akan kehebatan dan keagungan Allah sebagai Pencipta dan Pemelihara alam ini seperti rahmat kasihan belas (rahim) yang berterusan dan berpanjangan, ganjaran pahala, keampunan dan penghapusan dosa.

5. Mengenali Allah dengan mengenali diri sendiri juga boleh meningkatkan keimanan dan kecintaan terhadapNya.

6. Ilmu yang mendalam dan hubungan yang rapat (dekat ) dengan Allah juga amat penting untuk tujuan tersebut.



Cintai Rasulullah s.a.w Membawa Kesejahteraan

1. Tidak lengkap kesempurnaan Islam tanpa meletakkan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w sebagai keutamaannya selepas Allah. Ini disebabkan kedudukan Rasulullah yang amat istimewa di sisi Allah dan secara langsung telah juga mengangkatkan kemuliaan martabat ummahnya di sisiNya.

2. Kedudukan Rasulullah s.a.w di dalam Islam dapat dilihat melalui pewartaannya (hadith) sebagai sumber rujukan Islam di samping Allah (al-Quran) di mana ketaatan kepada baginda s.a.w adalah mutlak kerana segala-galanya bersumberkan wahyu Ilahi.

3. Hal tersebut ditambah pula dengan perkerti Nabi s.a.w yang amat tinggi seperti kasih sayangnya buat ummat, amat prihatin dan khidmat cemerlang di samping memiliki kelebihan syafaat di akhirat kelak.


Persaudaraan Islam Demi Allah

1. Mencintai seseorang (sahabat) kerana Allah merupakan tuntutan agama dan natijah daripada sifat pertama (cintakan Allah dan RasulNya).

2. Sifat tersebut tidak akan tercapai sekiranya disertai dengan niat yang lain bersama (berniat kerana Allah dan dalam masa yang sama demi manfaat keduniaan). Ini kerana Allah sekali-kali tidak menerima dua matlamat (dikongsikan bersama dengan makhlukNya yang lain) dalam satu masa.

3. Persaudaraan Islam mestilah berlandaskan matlamat dan cara yang dibenarkan syara’. Ia melambangkan kemantapan struktur masyarakat dan kekuatan ummah.


Benci Kekufuran

Bencikan kekufuran bermakna menjauhi segala perkara yang membawa kekufuran yang bertentangan dengan prinsip keimanan dan kecintaan terhadap Allah. Ia menandakan pemiliknya memiliki kekuatan iman dan sentiasa menjaganya daripada sebarang ancaman. Ini kerana apabila seseorang itu cintakan Allah dan beriman kepadanya, akan mematuhi segala janji baik dan buruk daripada Allah buat hambaNya.


Pengajaran Hadith

1. Cinta kepada Allah dan Rasul melambangkan neraca keimanan seseorang di dalam Islam.
2. Cinta kepada Allah dan Rasul perlu dibuktikan di dalam kehidupan kita.
3. Ukhuwwah Islamiyyah teras kekuatan ummah dan dakwah.
4. Perlu membenci dan menjauhi kekufuran.
5. kemanisan tidak dapat dirasai kecuali mereka yang menghayatinya dengan sepenuh hati.

Disediakan oleh : Hasbullah Mohamad

No comments: