Wanita Melayu menjadi mangsa sindiket: Siapa yang bersalah?
Oleh bankwahabi
"
Assalamualaikum,
Para pembaca yang dihormati, pada artikel saya yang bertajuk “Wanita Melayu bodoh? Tidak, tetapi dunia menipunya!” hanyalah bertujuan mencetuskan sikap ambil berat individu terhadap masalah yang dilanda oleh kaum hawa bangsa Melayu. Namun, kita wajar mengetahui faktor-faktor yang menyumbang kepada peningkatan masalah tersebut.
Saya melihat ada sesetengah individu menyalahkan kaum hawa sepenuhnya dan ada pula yang menyalahkan pihak polis serta institusi kekeluargaan. Adilkah jika kita hanya menunding jari kepada satu pihak tanpa melihat punca sebenar masalah ini berlaku? Maka wajarlah kita mengkaji masalah disebalik masalah “Wanita Melayu Menjadi Mangsa Sindiket”
1.0: Bagaimanakah mereka boleh tertipu?
Kebiasaannya kita mendengar mereka ditipu dengan tawaran pekerjaan yang lumayan pendapatannya. Ada juga yang terpedaya dengan janji manis seperti; kehidupan yang mewah. Selain itu, ada juga dikalangan mereka yang secara suka rela memilih jalan tersebut kerana memang itu lumrah kehidupan mereka dan menikmati layanan seksual dalang penjenayah tersebut. Mungkin juga ada yang terjebak kerana diculik kemudian dipaksa; tetapi buat masa kini belum dicatatkan lagi.
2.0: Faktor-Faktor:
Melihat sebab-sebab utama mereka ditipu, terpedaya, terjebak; boleh dirumuskan seperti berikut;
2.1: Pekerjaan.
Tawaran pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan adalah antara sebab utama mereka ini terpedaya. Saya melihat masalah ini adalah disebabkan beberapa faktor yang di luar kawalan mereka; antaranya seperti:
a) Kekurangan pekerjaan: Masalah ini berlaku apabila Negara kita dilanda kebanjiran pekerja asing, faktor ekonomi yang lembab dan diskriminasi pekerjaan.
Kebanjiran pekerja asing memang tidak dapat dielakkan seperti yang dinyatakan oleh kerajaan pada tahun lepas. Ketika pihak pentadbiran tidak menumpukan perhatian kepada masalah ini, kerana menyangka isu ini adalah perkara kecil, tidak membahayakan dan mengancam keselamatan Negara. Apabila pekerja asing memenuhi sebahagian besar permintaan pekerjaan dalam negara; pekerja tempatan akan menganggur, mencari pekerjaan di luar Negara, dan melakukan jenayah seperti rompakan, ragut, pecah rumah, pecah kereta dan mencuri; adakalanya mereka sanggup membunuh mangsa. Persoalannya: Siapakah yang bertanggung jawab dalam masalah ini? Jawapan saya: Kelemahan Pentadbiran Kerajaan dalam memantau kemasukan pekerja asing, ketiadaan kuota pekerja asing dalam sesebuah organisasi atau kuota yang sedia ada tidak effektif dan pihak keselamatan yang lemah dalam mengawal kemasukan pendatang asing yang tidak sah. Peningkatan pendatang haram juga menunjukkan kelemahan pihak imegrasi. Selain itu, Sektor Swasta yang gilakan keuntungan dengan hanya mengambil pekerja asing kerana mahu mengurangkan kos operasi dan juga untuk mengurangkan komitmen mereka terhadap pekerja. Hal ini kerana; pekerja asing mudah ditipu, tidak perlu insurans, rawatan hospital, tidak berani bersuara dan mudah dibuang kerja. Di samping itu, sikap pekerja tempatan yang memilih pekerjaan yang selesa juga menyebabkan masalah ini bertambah parah. Mereka ini tidak mempunyai kelayakan yang baik dan tidak berdaya saing; tetapi bermimpi untuk mendapat pekerjaan yang selesa, pendapatan lumayan, masa bekerja yang singkat dan kerja yang mudah.
Faktor ekonomi yang lembab menyebabkan kekurangan pekerjaan dalam Negara dan sektor swasta yang tidak mampu menjanjikan pendapatan yang munasabah. Maka, pengangguran makin meningkat dan memburukkan lagi aktiviti ekonomi Negara. Jika kita lihat indeks dan kajian yang dilakukan oleh pihak tertentu; kebanyakannya menunjukkan keadaan eknomi yang baik lagi rancak. Namun, kajian-kajian tersebut meragukan, ada juga pihak yang melihat kajian tersebut berat sebelah dan hanya untuk mengaburi pandangan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Jika benar kajian tersebut, masalah ini tidak akan menjadi parah dan boleh dikawal. Persoalannya: Siapakah harus bertanggung jawab dalam masalah ini? Jawapan saya: Keadaan ekonomi Negara ditentukan oleh beberapa faktor dalaman; polisi ekonomi negara, keadaan politik, keyakinan pelabur asing, keselamatan Negara dan tahap rasuah. Ini hanyalah sebahagian daripada faktor yang menentukan aktiviti ekonomi Negara. Jika kita mengkaji keadaan sebenar faktor dalaman yang dinyatakan tadi; kebanyakannya berada pada tahap yang membimbangkan. Polisi ekonomi yang menarik tetapi perlaksanaan yang tidak efektif serta wujud sistem kroni dalam pembahagian kekayaan Negara. Peningkatan kadar jenayah yang ketara dan tidak dapat diselesaikan, rasuah yang berleluasa disemua peringkat dalam kerajaan dan swasta; keadaan politik yang tidak stabil, keyakinan pelabur asing yang kian menurun sejak pertukaran jawatan tertinggi dalam Negara.
Selain itu, wujud diskriminasi pekerjaan yang kian ketara dalam Negara; walaupun pihak tertentu menafikan, tetapi pekerja tempatan yang ingin bekerja dan layak bekerja masih sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana terdapatnya masalah diskriminasi. Khususnya bagi bangsa Melayu. Tambahan pula, sebahagian besar aktiviti ekonomi negara dikuasai oleh sesetengah kaum. Mungkin anda tidak bersetuju dengan pandangan saya; tetapi bagi mereka yang pernah mengalaminya tahu betapa sukarnya mereka mendapatkan pekerjaan kerana diskriminasi ini. Jika ada pihak NGO yang berminat; buatlah kajian ini agar kita dapat mengetahui secara jelas diskriminasi pekerjaan dalam Negara kita. Saya tidak menuduh dan menunding jari kepada mana-mana kaum atau bangsa; tetapi jika kita mahukan kehidupan yang harmoni; perbezaan kaum wajarlah di ketepikan. Persoalannya: Siapakah yang harus dipersalahkan? Jawapan saya: Semua pihak mestilah bekerjasama dalam menjamin keharmonian antara kaum agar dapat mengurangkan pertembungan ideologi dan kepentingan setiap kaum. Namun, bagi bangsa Melayu, memang tidak dapat dinafikan hak-hak istimewa mereka, hal ini kerana mereka antara penduduk asal. Oleh itu, saranan saya pada kaum bukan bumiputera; anda perlu bertoleransi dengan kaum bumiputera dalam soal ini dan bukan sebelah pihak sahaja yang bertoleransi. (Give and Take Concept). Ada banyak perkara yang kaum bumiputera telah berikan terhadap kaum bukan bumiputera; maka tidak wajarlah jika kesemua perkara dituntut. Bagi ahli politik dan media massa; hentikanlah dan jauhilah daripada memainkan isu perkauman.
b) Kadar Pendapatan yang Rendah: Masalah ini terjadi apabila kadar pendapatan tidak seimbang dengan kadar kos sara hidup. Peningkatan purata harga barang terutamanya keperluan asas banyak dilhat antara punca utama perbezaan ini. Tambahan pula, tiada reaksi yang positif dengan apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dalam membendung masalah ini agar tidak menjadi lebih ketara. Jika dilihat di Negara kita, kuasa pembeli semakin menurun sedangkan harga barangan sentiasa meningkat dan pendapatan individu masih lagi statik. Jika keadaan ini berterusan akan menyebabkan masyarakat mencari pendapatan tambahan yang adakalanya melanggar undang-undang. Selain itu, penurunan kadar pendapatan juga disebabkan oleh kebanjiran pekerja asing yang hanya meminta bayaran yang jauh lebih rendah daripada pekerja tempatan. Mereka tidak mempunyai komitmen yang banyak seperti perbelanjaan isi rumah yang rendah, pinjaman rumah, kereta, insurans dan lain-lain; mampu menyara kehidupan mereka dengan pendapatan tersebut. Persoalannya: Siapakah yang bertanggung jawab? Jawapan saya: Peningkatan harga barang memang tidak dapat dielakkan kerana faktor globalisasi, tetapi kesannya dapat dikurangkan dengan pelbagai insentif kerajaan perlu berikan terutamanya golongan miskin, pendapatan rendah dan pendapatan sederhana. Sektor swasta juga tidak wajar mengambil kesempatan seratus peratus dengan kenaikan harga barang; mereka harus memikirkan juga tanggung jawab sosial kerana lama kelamaan mereka juga terpaksa menutup perniagaan mereka kerana kehilangan permintaan (Demand creates its own supply). Kebanjiran pendatang asing pula, sepertimana yang telah disarankan sebelum ini. Sektor swasta tidak boleh gelap mata dengan semata-mata mengaut keuntungan daripada masalah ini.
2.2: Kehidupan Mewah.
Lazimnya sesebuah masyarakat yang mengalami pemodenan akan mengimpikan kehidupan yang mewah dan selesa. Tahap kemewahan dan keselesaan bagi setiap individu adalah berbeza; oleh itu kedua-duanya adalah subjektif. Bagi orang yang beragama Islam, kemewahan bukanlah menjadi pendorong utama dalam mencari rezeki. Namun perkara ini tidak berlaku dalam masyarakat kita. Bekerja adalah untuk mencari kemewahan dan keselesaan hidup semata-mata; maka menyebabkan tiada batas dalam mencari rezeki; halal dan haram menjadi sama rata. Batas-batas syariat telah dilupakan, diabaikan, diperkecilkan; sehingga ada yang sanggup mencari pekerjaan yang bertentangan dengan syariat Islam seperti; kerja di kelab malam, disko, tempat perjudian, kilang arak dan sebagainya. Oleh demikian, tidak hairanlah ramai kaum hawa yang tertarik dengan hanya jaminan kehidupan mewah; sanggup menggadaikan batas-batas agama. Bukan sahaja mereka yang terpedaya di luar Negara; malah dalam Negara pun amat banyak pekerjaan yang melanggar batas-batas agama, cuma tidak melanggar undang-undang Negara. Persoalan saya: Siapakah yang bersalah? Jawapan saya: Ibu bapa, sistem pendidikan agama, kerajaan, dan masyarakat. Ibu bapa tidak membimbing dan adakalanya membenarkan perkara ini berlaku. Sistem pendidikan agama yang rapuh dan tidak mencukupi menyebabkan tiada kesedaran tentang akibat melanggar batas-batas agama. Sistem tersebut juga alpa tentang kepentingan pendidikan dan kesedaran rohani, jiwa dan pembentukan akhlaq. Kerajaan perlu mengambil berat tentang masalah ini kerana lambat laun akan memburukkan nama baik Negara, merosakkan masyarakat dan dipertanggung jawabkan di akhirat kelak. Masyarakat moden yang hidup pentingkan diri sendiri; wajar mengubah sikap mereka kerana kelak ahli keluarga mereka akan terjebak.
2.3: Lumrah Kehidupan.
Bagi sesetengah masyarakat Islam Malaysia; memang sudah menjadi lumrah kehidupan mereka ini bergelumang dengan dosa dan noda. Arak, dadah, seks bebas, berjudi, perlacuran kelas atasan atau kelas bawahan; semuanya adalah perkara biasa bagi mereka. Lihatlah berapa ramai muda-mudi yang sudah sebati dengan kehidupan sebegini, lihatlah kehidupan ibu bapa mereka yang tidak kenal usia, lihatlah masyarakat disekeliling yang takut menegur dan bersikap tidak peduli. Ada juga ibu bapa yang melakukan maksiat tersebut bersama anak-anak mereka; tidak segan dan tiada malu, seolah-olah agama Islam hanya satu agama yang tiada apa-apa makna bagi mereka. Ibu bapa tersebut membentuk anak-anak mereka berakhlaq syaitan atau orang kafir dan apabila masalah “wanita diperdaya sindiket” terkena pada anak-anak mereka; mulalah mencari bantuan sana sini, minta belas kasihan, minta ustaz-ustaz buat solat hajat dan sebagainya. Adakah ini jalan penyelesaiannya? Sudah tentu tidak. Janganlah kamu menipu Allah SWT dengan kepura-puraan kamu. Ada juga ibu bapa yang tidak terlibat dalam gejala sosial, tetapi mebiarkan anak-anak mereka terlibat. Ada juga yang baru mahu mengambil tindakan ketika anak mereka sudah parah. Ketika itu tiada guna lagi dan mereka hanya boleh berserah pada Allah SWT. Persoalannya: Siapakah yang bertanggung jawab? Jawapan saya: Ibu bapa dan penjaga. Mereka mestilah mendidik dan membentuk anak-anak tersebut sejak kecil dengan menggunakan acuan agama bukan acuan sekular. Janganlah menekankan keperluan material dan mengabaikan keperluan rohani dan agama
2.4: Perkahwinan.
Ada segelintir yang terpedaya kerana perkahwinan, namun faktor ini tidak ketara. Baru-baru ini Negara kita dikejutkan dengan beberapa orang gadis Melayu yang dilarikan ke Negara jiran, kerana berkahwin dengan pekerja asing yang pernah bekerja di Malaysia. Artikel dalam Harian Metro ini menggambarkan bagaimana seorang gadis beragama Islam yang meninggalkan keluarga untuk berkahwin di luar Negara; adakah ini mengikut batas agama? Bila sudah susah baru mahu mencari keluarganya.
http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20080422094347/Article
Di sudut yang lain pula, saya tidak menafikan jika masalah di atas tidak dibendung, lambat laum faktor ini akan menjadi antara penyumbang kepada masalah “Wanita tempatan terpedaya oleh sindiket”.
2.5: Pengkhianatan.
Terdapat juga pengkhianatan daripada masyarakat kita yang menjadi dalang sindiket tersebut dengan memperdayakan wanita-wanita tersebut. Kehadiran pengkhianat yang tidak dibendung boleh membahayakan keselamatan Negara kerana dibimbangi jumlah mereka meningkat. Golongan pengkhianat ini sudah hilang jati diri dan sifat kemanusiaan; mungkin disebabkan yang terkena itu bukan daripada kalangan ahli keluarga mereka dan bayaran yang lumayan.
2.6: Tahap Keselamatan
Akhir-akhir ini, masyarakat tidak lagi yakin dengan institusi keselamatan Negara kerana peningkatan semua jenis kadar jenayah dan kes tersebut tidak dapat diselesaikan. Seolah-olah, pihak keselamatan Negara tidak berfungsi. Ada juga suara yang mengatakan bahawa pihak keselamatan hanya sibuk menangkap penyokong pembangkang kerajaan dan memantau setiap pergerakan mereka. Ketika inilah penjenayah, sindiket dan kumpulan kongsi gelap bermaharajalela di dalam Negara melakukan apa jua aktiviti haram mereka. Selain itu, gejala rasuah yang berleluasa juga meruncingkan lagi keselamatan Negara, apabila mereka sanggup melepaskan penjenayah atau berkomplot atau menutup mata. Lebih buruk lagi, apabila ada di kalangan ahli politik yang turut terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap. Persoalannya: Siapakah yang bertanggung jawab? Jawapan Saya: Kerajaan dan pihak keselamatan. Kerajaan sepatutnya tidak mengarahkan pihak keselamatan menumpukan sepenuhnya terhadap pembangkang; tetapi hanya sekadar memantau. Kerajaaan yang mementingkan kepentingan rakyat akan bersungguh-sungguh mengambil berat masalah peningkatan jenayah dan bukan hanya beromong kosong di kaca tv bahawa mereka sedang berusaha atau mengkaji faktor peningkatan jenayah. Pihak keselamatan mestilah bebas daripada anasir politik, rasuah dan
3.0: Penutup.
Masalah “Wanita Melayu Menjadi Mangsa Sindiket” ada faktor dalaman dan faktor luaran. Ada yang mempercayai bahawa faktor dalaman yang memainkan peranan utama dalam menjerumuskan mereka; iaitu sikap individu yang hidup bertuhankan material, wang ringgit, hiburan, nafsu dan lain-lain yang membatasi batas agama. Namun, ada juga yang menyokong bahawa kedua-dua faktor tersebut yang memburukkan lagi keadaan. Selain itu, faktor luaran juga banyak membentuk, mendorong dan memaksa mereka memilih jalan yang salah, membuat keputusan yang tidak rasional. Saya tidak dapat menafikan bahawa individu yang diberikan akal fikiran boleh menilai antara baik dan buruk, bahaya dan selamat; mereka mestilah membuat keputusan yang bijak dan menepati Syariat Islam.
Akhir kata; setiap masalah yang melanda masyarakat adalah berpunca daripada meninggalkan ajaran dan syariat Islam
Sumber : tranungkite.net
No comments:
Post a Comment