Ingatan Imam al-Ghazali : Istiqamah Menghidupkan Hati
Imam al-GHazali menyatakan peri pentingnya hati sebagai "raja" yang mengawal segala tindakan manusia diberi nilai istiqamah terutamanya setelah melalui "Madrasah Ramadhan" yang secara sedar ataupun tidak ia merupakan program tetap Allah yang berstatus wajib dalam menjana hati agar hidup dengan nilai keimanan dan taqwa lantas seterusnya terbina nilai istiqamah apabila ia dihidupkan secara konsisten.
Secara ringkasnya, Imam al-Ghazali mengklasifikasikan peranan hati sebagai agen pembuat penilaian dan keputusan sebelum seseorang itu mengambil tindakannya seperti yang terkandung di dalam kitabnya "Ihya` Ulum al-Din" terbahagi kepada dua bahagian :
i) Quwwah mudrakah : sebagai agen yg menanggap informasi sebagai bahan rujukan untuk dibuat penilaian dan tindakan.
ii) Quwwah muharrakah : untuk bertindak berdasarkan maklumat yang dibekalkan oleh bah yg pertama tadi.
Istimewanya puasa Ramadhan kerana bahagian pertama dibekalkan dengan maklumat yang paling tepat iaitu al-Quran. Ini kerana bulan Ramadhan muslim menjadikan al-Quran begitu istimewa sebagai teman dan rujukan utk dibaca, difahami dan dihayati. Justeru, amat tepat bulan Ramadhan digelar juga "Bulan al-Quran".
Sekiranya maklumat daripada al-Quran yang dibaca dan ditadaruskan serta dihayati isi kandungannya akan berupaya menjadi maklumat yang dapat membuka pintu hati manusia yang berurusan dengannya sebagai sumber hidayah, pelembut hati pembacanya untuk menerima pesanan al-Quran dan bersedia menerima ajaran al-Quran sebagai sistem yang mengawal kehidupannya. Justeru bahagian kedua ini akan membuat tindakan yang betul dan diredhai Allah. DI sini juga lah terletaknya nafsu yang dapat dirawat dan dididik oleh pengaruh al-Quran yang membentuk nilai taqwa. Maka potensi nafsu yang baik "nafs mutma`innah" dapat diberi peranan dan dibangunkan oleh nilai taqwa tersebut.
Sebenarnya puasa itu sendiri dapat membantu nafsu agar dijadikan benteng daripada unsur jahat (syaitan) daripada mempengaruhi nafsu agar derhaka kepada Allah. Dalam masa yang sama hubungan yang baik dan akrab dengan Allah melalui siri-siri ibadat, amal-amal soleh seperti menghidupkan ibadat malam, membaca dan menghayati al-Quran, bersedekah, menghubungkan silaturrahim, iktikaf dan lain-lainnya seperti yang banyak diberi tumpuan pada bulan ramadhan hendaklah diteruskan secara konsisten. Perkara ini secara lansung menjauhkan lagi nafsu daripada pengaruh syaitan. Tambahan pula kuasa syaitan dalam mempengaruhi nafsu pada bulan puasa di mana godaannya tidaklah sehebat bulan-bulan lain.
Istiqamah dalam bahasa yang mudah difahami dapat diumpakan sebagai "perangai" atau "tabiat". Perangai atau tabiat tidak dapat dibentuk dalamn masa yang pendek, bahkan ia memerlukan masa dan kesungguhan serta galakan yang berterusan sehingga ia benar-benar dihayati sehingga menjadi tabiat yang berterusan. APa yang lebih membanggakan lagi ialah amalan-amalan baik (soleh) tersebut akan menjadi "darah daging" kehidupannya sebagai rutin yang tidak boleh dikesampingkan.
Maka semua ramuan untuk menghidupkan hati seperti al-Quran, kawalan (benteng) nafsu dan bina hubungan yang rapat dengan Allah (pengabdian diri) terdapat di bulan rAmadhan, bahkan ia adalah program tetap tahunan Allah (wajib) yang mana muslim tiada pilihan untuk memilih antara nak buat ataupun tidak.
Hebatkan program Allah...cuma kita kadang-kadang bodoh sombong, memandang sepi sahaja program yang telah di set up oleh ALlah terutamanya yang berstatus wajib.
Kesimpulannya adalah seperti berikut:
1. Kesemua unsur menghidupkan hati seperti saranan Imam al-Ghazali hendaklah dilakukan secara konsisten agar ia berupaya menghasilkan nilai istiqamah.
2. Budaya membaca, tadarus, mendengar tazkirah al-QUran bukan hanya amalan Ramadhan, bahakan ia adalah ibadat sepanjang masa dan berterusan.
3. Puasa yang disarankan bukan terhad kepada yang wajib sahaja (Ramadhan), bahkan ia hendaklah diteruskan secara istiqamah di bulan-bulan lain. Ini kerana ia adalah di antara ubat paling mujarab merawat nafsu dan hati agar patuh kepada Allah.
4. Binalah hubungan yang baik dengan ALlah seperti yang diberbanyakkan amalannya di bulan Ramadhan. Ini kerana apabila mempunyai hubungan yang teguh dengan ALlah akan menjadikan syaitan tidak berupaya memutuskan hubungan tersebut agar manusia derhaka kepada ALlah.
5. Yakinlah apabila kita beramal dengan syariat Islam (Allah), maka kita akan memperolehi hikmah atau kelebihannya walaupun kita tidak mengetahuinya. Ini kerana Allah tidak peduli sama ada kita memahami atau tidak, tetapi apabila kita beramal dengan syariatNYa maka peduli Allah ialah mengurniakan kelebihan tersebut kepada mereka yang patuh dan beramal dengannya. Tapi kalau mempelajari dan mengetahui hikmahnya adalah lebih meyakinkan kita untuk beramal dengan bersungguh-sungguh.
Maka terserlah sifat Allah yan Maha Penyayang buat hambaNya.
Justeru, di sebalik wajibnya amalan puasa ia adalah rahmat yang besar untuk kita, bukannya beban yang menyusahkan.
# petikan di atas adalah berdasarkan kepada adaptasi pemahaman terhadap ayat-ayat al-QUran dan hadith yang tidak dipetik secara lansung daripada sumbernya....
Disediakan oleh : Hasbullah Mohamad (diringkaskan daripada siri tazkirah Ramadhan)