Tuesday, May 31, 2011


Sumbangannya di Dalam Tasawwuf dan Akhlak

Di zaman Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ, ilmu tasawwuf memainkan peranan yang amat penting sebagai pelengkap kepada penuntut-penuntut ilmu di samping ilmu fiqh dan aqidah. Semasa beliau di Mekah, pengaruh kesufian al-Ghazali begitu ketara sekali di dalam penulisan beliau sama ada karya terjamahannya daripada al-Ghazali mahupun tulisannya sendiri tidak terlepas daripada pengaruh tersebut. Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ secara langsung di dalam karya tasawwuf beliau menukilkan pandangan al-Ghazali, bahkan stail penulisan beliau juga yang menggabungkan beberapa disipilin ilmu di dalam satu-satu buku adalah menurut stail al-Ghazali seperti dalam Ihya. Di dalam menterjemahkan karya-karya al-Ghazali seperti Minhaj al-Abidin dan Bidayat al-Hidayah beliau tidak menukar judul tersebut, sebaliknya menggunakan judul yang asal berbeza dengan karya-karya terjemahannya yang lain. Perkara ini berkemungkinan besar untuk menjelaskan kaitan dan pengaruh yang kuat daripada al-Ghazali di dalam mempengaruhi aliran pemikiran beliau.

Namun begitu, untuk mengelakkan kekeliruan dan salah faham terhadap ilmu tasawwuf, beliau telah meletakkan syarat-syarat penting untuk mempelajari ilmu tersebut dan beramal dengan tareqat-tareqat tasawwuf. Bagi beliau, ia perlu seimbang di antara pengamalan syariat dan hakikat (tasawwuf) dengan berpandukan kepada sumber yang sahih agar tidak menyeleweng.[1]

Karangan al-Ghazali seperti Ihya dan Minhaj al-Abidin telah mendapat perhatian yang begitu istimewa daripada masyarakat Islam di kepulauan melayu. Perkara ini adalah berkait rapat dengan peranan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam memperkenalkan al-Ghazali sebagai tokoh agung tasawwuf melalui pengajarannya kepada murid-murid beliau di Mekah yang kemudiannya menjadi ulama-ulama yang berpengaruh dan menyebarkan ilmu-ilmu tersebut di kepulauan Melayu apabila mereka pulang ke tanah air mereka. Maka secara tidak langsung pengaruh al-Ghazali mendapat tempat yang istimewa di kepulauan Melayu melalui pengaruh Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ.

Semasa di Mekah Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ mendapat sanad tareqat Shaziliyyah, Sammaniyyah dan Shatariyah secara langsung daripada guru-guru beliau di sana. Beliau mengambil tareqat Shazaliyyah daripada Shaykh Muhammad Salih ibn Ibrahim al-Ra’is, manakala tareqat Sammaniyyah diambil daripada Shaykh Muhammad ibn Abd al-Karim Samman al-Madani. Namun begitu, beliau lebih dikenali melalui pengamalan tareqat Shatariyah yang diambilnya daripada Shaykh Muhammad AsÑad. Di antara keistimewaan tareqat yang diamalkan beliau ialah masing-masing mempunyai sanad-sanad sehingga kepada silisilah sumbernya yang asal daripada Rasulullah. Ramai di kalangan murid-murid Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ kemudiannya mengembangkannya ke seluruh pelusuk kepulauan Melayu.[2] Tareqat Shatariyah umpamanya dilihat mempunyai pengaruh yang besar di Patani dan semenanjung Malaysia yang disebarkan oleh murid-murid beliau seperti Shaykh Wan Ali bin Ishaq al-Fatani, Shaykh Abdul Qadir Abdul Rahman dan Tuan Lebai Din bin Long Nik al-Fatani.[3]

Ketokohan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam tasawwuf dapat dilihat apabila beliau digelar dengan gelaran seperti al-Arif billah al-Rabbani oleh murid-murid beliau dan rakan-rakannya. Di samping itu, beberapa cerita tentang keramat beliau telah diceritakan oleh murid-murid beliau menguatkan lagi kedudukannya sebagai ulama yang istimewa sehingga mencapai tahap guru murshid sebagai seorang daripada wali Allah.[4] Bahkan beliau menjelaskan dengan jelas tentang konsep wali Allah yang perlu memiliki otoriti (dengan syarat-syarat) tertentu agar peranannya di dalam pembangunan Islam tidak terpesong dan menyeleweng.[5] Beberapa aspek penting akhlak diberi penekanan di dalam karangan-karangan beliau sebagai penyempurnaan kehidupan hidup beragama seseorang Muslim. Karangan beliau seperti Jam’ al-fawa’id dan Hidayah al-Muta’allim memberi penekanan tentang kepentingan akhlak sebagai manifestasi aqidah seseorang. Dengan itu, kedudukan akhlak perlu dipupuk bermula dengan pemupukan aqidah itu sendiri.[6] Berdasarkan huraian tersebut, pandangan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ adalah mirip pendekatan al-Ghazali di dalam Ihya dan Mizan al-Amal.

Berdasarkan pendekatan tasawwuf dan akhlak Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ, pengaruh al-Ghazali dilihat begitu ketara sekali di dalam karangan-karangan beliau. Begitu juga dengan pandangan tasawwuf Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ yang telah diterima oleh masyarakat Islam di kepulauan Melayu yang disebarkan oleh murid-murid beliau dan seolah-olah mereka mempunyai keseragaman di dalam amalan, zikir dan aspek-aspek kerohanian mereka.



[1] See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 215-216.

[2] Inilah di antara faktor penting kenapa masyarakat di kepulauan Melayu mempunyai tatacara hidup beragama seolah-olah hampir seragam di kalangan mereka walaupun berbeza rumpun dan bahasa.

[3] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 47-48.

[4] Menurut Wan Mohd Shaghir, di antara cerita keramat tentang Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ. pada suatu hari semasa mengajar di kampong Kerisek, beliau menolong orang yang lemas di pantai Kerisek tanpa pergi ke tempat tersebut namun terdapat kesan basah pada pakaian beliau. Namun cerita tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya. See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 50-51.

[5] See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 215-216.

[6] Dawud bin Abdullah al-Fatani, JamÑ al-Fawa’id, 251.


Sumbangan di Dalam Aqidah

Sumbangan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam aqidah adalah seperti juga di dalam fiqh, di mana beliau telah memainkan peranan yang amat penting di dalam pemahaman aqidah dan pemikiran Islam di kepulauan Melayu. Hal ini terbukti apabila kitab Ward al-Zawahir dikatakan sebagai kitab yang paling komprehensif di dalam ilmu usuluddin di alam Melayu yang menggunakan bahasa Melayu dalam versi tulisan jawi.[1] Manakala kitab al-Durr al-Thamin adalah di antara kitab aqidah yang paling popular digunakan di kepulauan Melayu terutamanya di pondok-pondok di Patani dan Malaysia.[2] Ia juga digunakan dengan meluas sebagai pengajian awam di masjid-masjid dan surau-surau sehingga hari ini.

Pengaruh al-Ghazali di dalam penulisan aqidah Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ begitu ketara sekali. Kitab-kitab karangan beliau seperti Ward al-Zawahir dan al-Durr al-Thamin mempunyai banyak persamaan dengan cara persembahan kitab Ihya’ Ulum al-Din dan Minhaj al-Abidin karangan al-Ghazali. Bahkan beliau kerap sekali memetik kata-kata al-Ghazali di dalam penulisan beliau.[3] Bahkan manhaj aqidah al-Ghazali yang menjadikan ma’rifatullah sebagai matlamat pengajian aqidah dan juga tasawwuf telah diaplikasi oleh Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ seperti di dalam kitab Ward al-Zawahir. Beliau menyatakan:

“Wajib atas mukallaf itu mengetahui barang yang wajib bagi Allah dan yang ja’iz (harus) dan yang mustahil baginya. Dan hakikat maÑrifat itu iaitu jazam (yakin) yang muwafiq (berbetulan) bagi waqiÑ pada nafs amr (perkara tersebut) dengan dalil…”[4]

Menurut beliau, kekuatan aqidah yang dicapai melalui ma’rifatullah hendaklah disertakan dengan dalil-dalil sama ada secara ijmali ataupun tafsili.[5] Bagi beliau, taqlid dalam aqidah adalah tidak dibenarkan kerana dengan taqlid menjadikan seseorang itu tidak dapat mencapai tahap ma’rifat Allah. Dengan itu, persoalan yang berkaitan dengan syirik, khurafat tidak dapat dihapuskan. Hal ini amat penting khususnya untuk masyarakat Islam di kepulauan Melayu kerana mereka masih terdapat pengaruh Hindu dan Budha di dalam kehidupan mereka. Begitu juga dengan penjajahan oleh pihak kuffar terhadap bumi umat Islam di kepulauan Melayu yang menjadi halangan kepada pelaksanaan Islam di dalam pemerintahan mereka. Bagi Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ semua perkara tersebut akan dapat dicapai apabila mempunyai kekuatan aqidah.

Justeru, penulisan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ terutamanya di dalam Ward al-Zawahir dan al-Durr al-Thamin mempunyai visi untuk melakukan agenda perubahan sikap dan pemikiran agar kekuatan umat Islam dapat dipupuk melalui aqidah yang mantap sekaligus dapat mengatasi segala ancaman dan musuh Islam sama ada daripada luar mahupun dalaman sendiri. Dengan itu, penulisan karya aqidah beliau dilihat mempunyai keunikan yang tersendiri dan istimewa khususnya bagi umat Islam di kepulauan Melayu. Di antara kelebihan Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ di dalam perbincangan aqidah ialah penekanan terhadap pengunaan dalil-dalil wahyu daripada al-Qur’an dan hadith diberi keutamaan di dalam karya-karya beliau terutamanya di dalam kitab Ward al-Zawahir. Beliau cuba memberi ruang yang mencukupi terhadap penggunaan nas (dalil) secara literal mahupun interpretif (penafsirannya memalui akal).



[1] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, (Kuala Lumpur: Khazanah Fataniyah, 2000), vol.1, 15.

[2] Di antara kitab-kitab lain yang masyhur di dalam pengajian aqidah yang digunakan di pondok-pondok ialah Aqidah al-Najin, Siraj al-Huda dan Faridat al-Fara’id.

[3] Contohnya di dalam Ward al-Zawahir, al-Ghazali meletakkan tujuh syarat yang perlu dikehendaki di dalam beramal dengan ayat-ayat Mutashabihatbagi mazhab Salaf. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 66.

[4] Ibid., 15.

[5] Dalil ijmali ialah mengenal Allah walaupun dengan menggunakan dalil umum sahaja seperti menyatakan bahawa dalil Allah wujud ialah dengan wujudnya ala mini atau membawa dalil umum daripada sumber wahyu seperti dalil daripada surah al-Ikhlas tentang Uluhiyat. Namun ia tidak dapat menguraikan shubhat yang ditimbul di dalam aqidah. Manakala dalil tafsili ialah dalil yang dibincangkan secara terperinci yang memerlukan kepada pemerhatian dan penelitian (nazar dan ta’ammul) yang mana ia mampu untuk menguraikan shubhat dan dapat berhujah mengisbatkan (menguatkan) aqidah. Taqlid akan menyebabkan terjadinya ragu-ragu dalam pegangan aqidah seseorang itu. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Ward al-Zawahir, 15-16.

Monday, May 30, 2011

2.3 Aktiviti Kesarjanaannya Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani dan Penulisannya.

Sumbangan Dalam Bidang Fiqh

Shaykh Dawud al-Fatani memainkan peranan yang amat besar di dalam perkembangan fiqh di kepulauan Melayu. Kitab karangan beliau seperti Munyat al-Musalli umpamanya telah menjadi rujukan penting di Nusantara terutamanya dipondok-pondok dan dan masjid-masjid hingga ke hari ini dan ia telah dicetak berulang-ulang kali. Begitu juga dengan kitab Furu’ al-Masa’il adalah kitab Melayu terbesar dan paling lengkap[1] di dalam fiqh di kepulauan Melayu walaupun sudah terdapat karya-karya fiqh yang dikarang sebelumnya seperti kitab Sirat al-Mustaqim yang dikarang oleh Shaykh Nur al-Din al-Raniri dan Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari yang mengarang kitab Sabil al-Muhtadin, tetapi kitab-kitab tersebut tidak merangkumi semua perkara dalam fiqh tetapi hanya membicarakan perbahasan ibadah sahaja. Ia berbeza dengan karya-karya Shaykh Dawud al-Fatani yang lengkap merangkumi semua persoalan fiqh seperti Furu’ al-Masa’il, Minhaj al-Abidin, Fath al-Mannan, Hidayat al-Muta’allim dan Jawahir al-Saniyyah.[2]

Pengaruh beliau dilihat begitu signifikan sekali apabila kitab-kitab karangan beliau mempengaruhi kehidupan masyarakat sehingga ke hari ini seperti Munyat al-Musolli dalam bab solat menurut mazhab Shafi’i. Melalui pengamatan pengarang, kebanyakan kelakuan solat pada yang diamalkan sehingga ke hari ini banyak diadaptasi daripada keterangan daripada kitab tersebut seperti yang diajar di pusat-pusat pengajian pondok dan masjid-masjid. Hal ini dapat dilihat melalui amalan qunut subuh, solat terawih, zikir-zikir dan tahlil yang dilihat begitu sebati dengan masyarakat setempat di Malaysia, Indonesia dan Patani.[3]

Walaupun menguasai pelbagai mazhab, Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani berpegang dengan mazhab Shafii dan berusaha mengembangkan mazhab tersebut malalui karya terjemahan mahupun karya sendiri seperti karya terjemahan bahasa Melayu terhadap matan Zubad yang dikarang oleh Ibn Ruslan al-Dimasqi dan kemudian disyarahkannya menjadi kitab Fath al-Mannan merupakan terjemahan yang pertama di kepulauan Melayu terhadap matan tersebut.[4] Bahkan di dalam kitab Bughyat al-Tullab, beliau menulis biografi Imam Shafii di dalam mukadimah kitab tersebut. Shaykh Dawud al-Fatani pernah menghuraikan permasalahan yang tidak terdapat di dalam kitab-kitab sebelumnya seperti soal agama dalam perkara-perkara furuÑ yang berkaitan seperti yang terdapat di dalam Furu’ al-Masa’il.

Di dalam sebahagian daripada bentuk penulisan Shaykh Dawud al-Fatani, beliau menggabungkan lebih daripada satu disiplin ilmu yang merangkumi persoalan aqidah, fiqh dan tasawwuf di dalam karya penulisan beliau. Tradisi ini jugalah yang dilakukan oleh kebanyakan ulama nusantara yang dilihat seperti pendekatan yang diambil al-Ghazali di dalam penulisannya.[5] Di antara kitab beliau yang menggunakan pendekatan tersebut seperti kitab Jam al-Fawa’id, Fath al-Mannan, Minhaj al-Abidin, Hidayat al-MutaÑallim dan Sullam al-Mubtadi. Kitab Jam’ al-Fawa’id umpamanya adalah sebuah kitab yang membicarakan persoalan iman, kemudian diikuti dengan taharah, solat dan perbincangan fiqh, serta diakhiri dengan tasawwuf.[6] Manakala kitab Fath al-Mannan dalam membicarakan persoalan fiqh, lalu diselitkan di awal perbincangan kitab tersebut beberapa persoalan keimanan dan aqidah seperti yang terdapat di dalam matannya Zubad karangan Ibn Ruslan.

Di samping itu, beliau juga telah menyusun sebahagian daripada karya tulisan penulisan beliau dengan mengikut tahap-tahap pendidikan masyarakat dengan membahagikannya kepada tiga peringkat iaitu peringkat permulaan, pertengahan dan tinggi.[7]

Kesimpulannya, beliau mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan fiqh dan pengaruhnya di dalam masyarakat Melayu di nusantara. Ini adalah kerana beliau menyediakan bahan rujukan dan karya yang lengkap di dalam ilmu fiqh yang tersebar di kepulauan Melayu untuk semua peringkat di samping peranan yang dimainkan oleh murid-murid beliau yang ramai semasa di Mekah dahulu dan kemudiannya pulang ke tanah air masing-masing dengan membuka dan menyebarkan ilmu yang mereka perolehi daripada Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ semasa di Mekah. Dengan itu, pengaruh Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ menjadi begitu signifikan sekali di kepulauan Melayu.



[1] See Mohd Nor Ngah, 6.

[2] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 99-102.

[3] Ia berlaku seolah-olah ada satu bentuk (patern) sahaja dalam amalan-amalan tersebut terutamanya di kalangan generasi tua yang pernah mendapat pendidikan di pondok-pondok pengajiandi Nusantara sebelumnya. Menurut Hamka, Islam adalah jatidiri masyarakat masyarakat Melayu di kepulauan Melayu. Peranan penting yang dimainkan oleh ulama-ulama Islam sebagai pedagang dan pendakwah semenjak dari awal penyebaran Islam lagi dan kemudiannya diteruskan oleh ulama-ulama kemudiannya secara berterusan menjadikan Islam diterima sebagai agama kehidupan mereka. See Hamka, Sejarah Ummat Islam, vol.4,….

[4] Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 85.

[5] Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani kebiasaannya menggabungkan tiga disiplin ilmu utama yang dimulai dengan aqidah, kemudiannya diikuti oleh fiah dan diakhiri dengan tasawwuf atau akhlak. Begitu juga pendekatan yang dilakukan oleh al-Ghazali di dalam Ihya’.

[6] See Dawud bin Abdullah al-Fatani, JamÑ al-FawÉ’id wa JawÉhir al-QalÉ’id, (Patani: MatbaÑah bin al-Halabi, n.d).

[7] Sebagai contohnya, kitab Sullam al-Mubtadi disusun sesuai untuk peringkat permulaan. Pada peringkat pertengahan diwakili oleh kitab Hidayat al-MutaÑallim dan al-Jawahir al-Saniyyah, manakala pada peringkat lanjutannya melalui kitab Fath al-Mannan dan FuruÑ al-Masa’il.

Saturday, May 28, 2011

Murid-murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani

Sebagai ulama yang terkenal diperingkat antarabangsa, Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani mempunyai ramai murid yang datang berguru dengannya di Makkah yang pada waktu itu merupakan pusat pengajian yang amat terkenal. Mereka datang dari seluruh pelusuk negara. Menurut catatan Wan Mohd Saghir, di antara murid-murid beliau yang terkenal dari kepulaun Melayu ialah seperti berikut :

1. Shaykh Abd al-Halim Kelantan.

2. Hj. Jamaluddin bin Lebau Muhammad Kelantan.

3. Shaykh Ali bin Ishaq al-Fatani.

4. Shaykh Wan Hasan bin Ishaq Besut al-Fatani.

5. Shaykh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani.

6. Shaykh Wan Musa al-Fatani.

7. Hj. Muhammad Salih Khatib al-Fatani.

8. Shaykh Abd al-Samad Pulai Condong Kelantan.

9. Shaykh Abd Al-Malik bin Isa Terengganu.

10. Shaykh Zainuddin Acheh.

11. Shaykh Muhammad bin Ismail Dawudi al-Fatani.

12. Shaykh Abd al-Qadir bin Abd al-Rahman al-Fatani.

13. Shaykh Ahmad Khatib bin Abd al-Ghafar Sambas.

14. Shaykh Muhammad Zainuddin bin Muhammad al-Badawi Sumbawi.

15. Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau.

16. Raja Ali Haji Riau.

17. Raja Haji Abdullah @ Marhum Murshid Riau.

18. Shaykh Ismail bin Abdullah Minangkabau.

19. Shaykh Muhammad Salih bin Murid al-RAwa.

20. Muhammad Salih bin Sunan Maulana Qadi @ Tengku Tembusai.

21. Sultan Muhammad Safiuddin Sambas.

22. Lebai Din bin Long Nik al-Fatani dan lain-lain lagi. [1]

Di kalangan murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani adalah terdiri daripada mereka yang terlibat dengan pemerintahan negara. Sultan Muhammad Safiyudin Sambas adalah pemerintah Sambas yang menjemput Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani untuk mengajar di istana baginda.[2] Di sana Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani telah mengarang sebuah kitab Diya’ al-Murid fi Kalimat al-Tawhid.[3] Sultan Muhammad Safiyuddin telah membina sebuah masjid untuk tujuan sebagai pusat penyebaran Islam dalam kerajaan beliau.[4] Begitu juga halnya dengan murid-murid beliau yang terdiri daripada kaum kerabat Diraja Riau seperti Raja Ali Haji, Raja Haji Ahmad bin Raja Haji Riau dan Raja Haji Abdullah Riau. Shaykh Abdul Halim Kelantan adalah di antara murid beliau terlibat dengan pemerintahan di Kelantan dengan menjadi penasihat dan guru kepada Sultan Muhammad I (1800-1837 M).[5]

Di kalangan murid-murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani, sebahagian daripada mereka adalah dari kalangan kaum kerabatnya yang berasal dari Patani. Anak saudara Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani, Wan Fatimah dan Wan Zainab telah menjadi anak angkatnya mempelajari dan mendalami ilmu agama dan al-Qur’an.[6] Selain daripada itu, Shaykh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman adalah di antara murid yang paling banyak mendapat ilmu daripada Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani. Ini adalah disebabkan faktor dirinya sebagai cucu saudara dan anak angkat Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani selalu berdampingan dan memperolehi ilmu secara langsung daripada beliau.[7] Begitu juga dengan Shaykh Nik Muhammad Bin Ismail Dawud al-Fatani (Shaykh Nik Mat Kecik).[8] Di antara murid-murid yang mempunyai talian persaudaraan dengan beliau ialah Shaykh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani[9] dan Shaykh Zayn al-Abidin bin Muhammad al-Fatani.[10] Mereka kemudiannya bukan sahaja menjadi ulama terkenal di kepulauan Melayu bahkan juga di dunia Islam.

Ramai di kalangan murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani menjadi tokoh penting di dalam penyebaran ilmu dan tasawwuf telah membuka pusat-pusat pengajian ilmu yang lebih dikenali sebagai pondok atau pesantren. Apabila pulang ke tanah air, Shaykh Abdul Kadir dan Shaykh Wan Muhammad Zain membuka pusat pengajian di pondok Bendang Daya Patani. Shaykh Wan Hasan membuka pusat ilmu dan dkawahnya di Besut, Terengganu. Shaykh Abdul Samad Pulai Chondong membuka pondoknya di kampungnya Pulai Chondong, Shaykh Ismail Minangkabau yang mengajar tareqat Naqshabandiyah di Riau, Shaykh Ahmad menyebarkan tareqat Qadiriyah dan Naqshabandiyah di Sambas, Indonesia.[11] Hasil daripada pembinaan pusat-pusat pengajian dan aktiviti-aktiviti keilmuan dan dakwah yang dilakukan mereka menyebabkan lahirnya ramai ulana-ulama hebat dibawah bimbingan mereka seperti Shaykh Ahmad bin Zain bin Mustafa al-Fatani, Shaykh Nawani al-Bantani, Shaykh Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba), Shaykh Zain al-Abidin al-Fatani, Tok Wan Ali Kutan dan lain-lain lagi.

Di kalangan murid-murid beliau telah ada yang telah menghasilkan kitab-kitab yang menjadi rujukan penting khususnya di kepulauan Melayu seperti kitab Fath al-Arifin,[12] Kifayat al-Ghulam,[13] Fath al-Mubin,[14] Hidayat al-Mukhtar dan Ayyuha al-Awlad.[15] Terdapat juga di kalangan rakan-rakan seperguruan beliau pernah menjadi murid kepada beliau seperti Shaykh Abdul Samad Pulai Chondong, Shaykh Ismail Minangkanbau dan Shaykh Ali bin Ishaq al-Fatani. Bahkan ada juga dikalangan mereka yang mengikuti jejak langkah Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani berjihad menentang penjajahan seperti Shaykh Abd al-Samad al-Falembani ,Shaykh Abdul Malik bin Isa (cucu Tok Ku Pulau Manis) dan Muhammad Salih bin Sunan Maulana Qadi (Tengku Tembusai).

Berdasarkan kedudukan dan peranan yang dimainkan oleh murid-murid Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani menggambarkan bahawa beliau telah memainkan peranan yang amat besar di dalam sumbangan beliau terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan dakwah di Asia Tenggara. Bahkan sumbangannya begitu menyeluruh sekali meliputi politik, social dan akhlak (tasawwuf). Pengaruh pemikiran beliau telah menjalar di segenap lapisan masyarakat di Kepulauan Melayu yang dapat dilihat melalui karya-karya tulisan beliau di dalam pelbagai disiplin ilmu yang telah mendapat pengiktirafan yang tinggi daripada para ulama dulu dan kini.



[1] Lihat lanjut di dalam Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 42-50.

[2] Selian daripada itu, Shaykh Muhammad Khatib bin Abd al-Ghafar bin Abdullah bin Muhammad al-Sambasi al-JAwi yang lebih dikenali sebagai Shaykh Ahmad Khatib Sambas juga adalah murid kepada Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani yang berasal dari Sambas.

[3] Kitab ini membicarakan tentang perbahasan aqidah dan aspek-aspek berkaitan dengan zikir dan adab-adabnya menurut tareqat Shatariyah. See Dawud bin Abdullah al-Fatani, Diya’ al-Murid, (Patani: MatbaÑah bin Halabi, n.d).

[4] See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 47.

[5] Shaykh Abdul Halim Kelantan adalah anak angkat kepada pemerintah Kelantan pada waktu itu iaitu Long Yunus. Long Yunus telah menghantar beliau bersana dengan seorang putera baginda untuk mengaji di Mekah. Di Mekah Shaykh Abdul Halim berguru dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani. Apabila pulang ke Kelantan beliau dilantik menjadi guru dan penasihat Sultan Muhammad I. Beliau telah membuka pondok (madrasah) di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan dan kemudiannya berpindah ke Kampung Sireh Kota Bharu. Beliau telah melahirkan tokoh-tokoh ulama di Kelantan melalui dua orang anaknya yang kemudiannya menjadi ulama iaitu Haji Yusuf dan Haji Ya’qub. See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 42-43.

[6] Ibid., 15-17.

[7] Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani tidak mempunyai zuriat hasil daripada perkahwinannya. Oleh itu beliau mengambil anak atau cucu saudaranya sebagai penerusan kepada ilmunya tersebut. Beliau juga adalah Shaykh ilmu tasawwuf tareqat Shatariyah.

[8] Shaykh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman dan Shaykh Nik Muhammad Bin Ismail Dawud al-Fatani (Shaykh Nik Mat Kecik) adalah cucu saudara Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani daripada saudaranya Wan Idris. Shaykh Wan Abdul Kadir bin Abdul Rahman juga adalah Shaykh ilmu tasawwuf tareqat Shatariyah.

[9] Anak beliau Shaykh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, adalah seorang yang amat terkenal di peringkat antarabangsa sehingga mendapat perhatian khusus dan pengiktirafan daripada kerajaan Uthmaniyah di Turki dan ulama-ulama al-Azhar kerana ketinggian ilmunya yang dimiliknya. Shaykh Muhammad Zayn bin Mustafa al-Fatani bertemu silsilah keturunan dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani pada kedudukan moyang mereka iaitu Shaykh Ali Mashhur al-Laqihi. See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara, (Kuala Lumpur: Khazanah Fataniyah, 2002), vol.4, 116.

[10] Beliau ialah Zayn al-Abidin bin Muhammad al-Fatani. Beliau juga dikenali sebagai Tuan Minal. Mendapat pendidikan di Patani dan Mekah. Di antara kitab aqidah karangan beliau yang paling masyhur ialah Aqidah al-Najin. Silsilah keturunan beliau bertemu dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani ialah pada Shaykh Ibrahim al-Hadrami. Dikatakan silsilah keturunan mereka yang mempunyai pertalian dengan Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani adalah berasal daripada keturunan Shaykh Ibrahim al-Hadrami. See Ahmad Fathy al-Fatani, Ulama Besar Dari Patani, 62.

[11] Wan Mohd Shaghir, Wawasan Pemikiran Islam…, vol.4, 16.

[12] Fath al-Arifin adalah karangan Shaykh Ahmad Sambas.

[13] Kifayat al-Ghulam dikarang oleh Shaykh Ismail Minangkabau.

[14] Fath al-Mubin dikarang oleh Shaykh Muhammad Salih bin Murid al-Rawa.

[15] Hidayat al-Mukhtar dan Ayyuha al-Awlad adalah karangan Shaykh Wan Hasan Besut . See Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 44-49.

Guru-guru Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani

Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ mendapat pendidikan awal daripada keluarganya sendiri di Patani. Bapa dan datuk beliau adalah di antara ulama yang terkenal di Patani pada waktu itu. Bapa saudara beliau, Shaykh Safiyudin telah mengajar ilmu-ilmu asas semasa kecilnya seperti ilmu nahu, saraf, tafsir, aqidah dan tasawwuf.[1]

Di Patani, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ juga berguru dengan Shaykh ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Mubin Pauh Bok di pondok Pauh Bok.[2] Selain daripada itu beliau belajar juga di beberapa pondok di Patani seperti pondok Kuala Bekah, Kerisek dan Samla.[3] Semasa belajar di Acheh beliau belajar daripada Shaykh Muhammad Zain Faqih al-‘Ashi.[4] Tidak banyak maklumat yang diperolehi semasa pengajian beliau di Patani dan Acheh.

Ketika di Mekah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ sempat berguru dengan para ulama Patani seperti Shaykh Muhammad Salih bin Abd al-Rahman al-Fatani, seorang ulama syariah dan tasawwuf. Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ banyak mempelajari ilmu kesufian daripada beliau. Di antara ulama tasawwuf lain yang pernah menjadi guru beliau ialah Shaykh Ali bin Ishaq al-Fatani di dalam tareqat Sammaniyah. Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani sempat berguru dengan Shaykh Muhammad bin Abd al-Karim Samman al-Madani, pelopor tareqat Sammaniyah sendiri. [5] Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani telah menyebut sisilah sanad guru-guru beliau dalam tareqat Sammaniyah sehingga sampai kepada Rasulullah.[6]

Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani juga telah menerima bai’ah dalam tareqat Shatariyah daripada Shaykh Muhammad As’ad dan Shaykh al-Sayyid al-Sharif al-Marzuqi. Beliau juga sempat berguru dengan Shaykh Muhammad Saleh bin Ibrahim al-Ra’is di dalam mempelajari tareqat Shaziliyyah di samping mempelajari fiqh mazhab Shafii.[7] Menurut Ismail Che Daud, Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani pernah menerima doa Hizb al-Bahr daripada Shaykh Muhammad Saleh bin Ibrahim al-Ra’is. Di samping itu beliau juga pernah berguru dengan Shaykh Muhammad Nafis ibn Idris al-Banjari dan Shaykh Abd al-Samad al-Falembani.[8]

Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani sempat juga berguru dengan ramai guru dan pelbagai mazhab dan i’tiqad. Di antara mereka ialah ulama-ulama besar mazhab Shafi’i seperti al-Sharqawi dan Muhammad Ali al-Shanwani. Di antara guru-guru beliau yang lain ialah Shaykh Muhammad Salih bin Ibrahim al-Rais, mufti Shafi’iyah Mekah, Shaykh ‘Ata’illah,[9] Shaykh Muhammad bin Sulayman al-Kurdi.[10] Namun Ismail Che Daud meragui sebahagian daripada mereka sebagai guru beliau. [11] Shaykh Abd al-Ghani al-Hilali dan Sayyid Sulayman bin Yahya ibn Umar Maqbul al-Ahdal adalah di antara beberapa nama yang disenaraikan oleh Wan Muhammad Shaghir sebagai guru Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani.[12]



[1] Ismail Che Daud, 26.

[2] Beliau ialah Shaykh Wan Abdul Rahman bin Shaykh Wan Abdul Mubin bin Shaykh Muhammad Jailani bin Shaykh Muhammad Masari al-Fatani. Silsilah keturunan keluarganya berasal daripada pedagang Arab Hadramaut yang dating menetap di Patani (Pauh Bok). Beliau mendapat pendidikan awalnya daripada ayahnya sendiri di Pauh Bok dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Mekah. Apabila pulang ke Patani, beliau meneruskan khidmat beliau menggantikan ayahnya mengajar di pondok Pauh Bok. Shaykh DAwud bin Adbullah al-Fatani dan Shaykh Abd al-Samad al-Falembani adalah di antara murid beliau semasa di Pauh Bok. Beliau telah menghasilkan beberapa karya seperti Mir’at al-Haqq, Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dan Wasit Shaykh Abdul Rahman ibn Hajo Abdul Mudin kepada sekelian muridnya. Beliau lebih dikenali dengan gelaran Tok Nyang Perobok oleh penduduk setempat. See Ahmad Fathy al-Fatani, Ulama Besar Dari Patani, 248-249.

[3] Engku Ibrahim Ismail, 26.

[4] Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 32.

[5] Ibid., 33.

[6] Ibid., 35-36.

[7] Shaykh Muhammad Saleh bin Ibrahim al-Ra’is ialah mufti Mekah dalam mazhab Shafii. Lihat Wan Mohd Shaghir, “Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ,” …, 4-5.

[8] Ismail Che Daud, 27.

[9] Menurut Wan Mohd Shaghir, yang dimaksudkan dengan Shaykh Ata’illah yang tersebut ialah Shaykh Ata’illah bin Ahmad al-Azhari al-Masri al-Makki bukannya Shaykh Ata’illah al-Askandari (d. 709/1309). See Wan Mohd Shaghir, “Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ,” …, 5.

[10] Wan Mohd Shaghir Abdullah, Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ UlamaÑ…, 38.

[11] Menurut Ismail Che Daud, sumber yang menyatakan bahawa Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani sempat berguru dengan Shaykh Ata’illah (Makkah), Shaykh Muhammad bin Sulayman al-Kurdi (MAdinah), Shaykh Muhammad bin Ad al-KArim al-Samman (MAdinah), Shaykh Ali bin Ishaq al-Jawi al-Fatani (Patani) dan Shaykh Salin bin Abd al-Rahman al-Jawi (Patani) adalah diragui kerana tempoh yang terlalu jauh di antara Shaykh Dawud bin Abdullah al-Fatani dengan mereka itu. Lihat Ismail Che Daud….., Ahmad Fathi al-Fatani, Ulama Besar Dari Patani, 27-29.

[12] See Wan Mohd Shaghir, “Shaykh DÉwËd bin Abdullah al-FaÏÉnÊ,” …, 4-5.