Monday, May 18, 2009

Air Zam-Zam

Molekul air Zam-Zam

Air merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia, manusia tidak boleh hidup tanpa air dan manusia tidak boleh hidup tanpa rahmat dari Allah.

Berbagai bentuk susunan molekul-molekul air yang diambil dari berbagai sumber air seperti sungai, laut, perigi dan bermacam-macam lagi. Ada yang berupa seolah-olah seperti jin tetapi samar-samar, tidak begitu jelas (dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya). Rupa yang menggerunkan dan menakutkan.

Bentuk molekul air yang tersusun cantik berupa seolah-olah seperti berlian (bersegi-segi), bersinar-sinar dan sinarannya mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna. MasyaAllah, cantik. Itulah molekul daripada air zam-zam.

Air yang dibacakan dengan Al-Fatihah, Selawat Nabi dan Ayat Kursi membentuk molekul air seperti berlian dan berkilau-kilau manakala air yang dibacakan dengan kata-kata yang tidak baik akan membentuk molekul-molekul seakan-akan sel-sel barah.

Subhanallah.

"Jika hendakkan air itu merasa manis maka masukkanlah gula, kija hendak air itu berwarna maka masukkanlah pewarna dan jika hendak air itu mulia maka masukkanlah ayat-ayat yang mulia kepadanya".

dipetik drp : http://ajijoi.blogspot.com/2009/05/molekul-air-zam-zam.html

Monday, May 4, 2009

kuliah 6 : Dosa dan Taubat

Hadith 6
Dosa dan Taubat


عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَبْسُطُ يَدَهُ بِاللَّيْلِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ النَّهَارِ وَيَبْسُطُ يَدَهُ بِالنَّهَارِ لِيَتُوبَ مُسِيءُ اللَّيْلِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا
صحيح مسلم


Maksud Hadith

“Daripada Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah menghulurkan TanganNya (memberikan seluas-luas peluang untuk keampunan) untuk hambaNya pada waktu malam terhadap dosa yang dilakukan pada waktu siang (sebelumnya) dan begitu juga Allah menghulurkan TanganNya (menawarkan keampunan) pada waktu siang terhadap dosa yang dilakukan mereka pada waktu malam (sebelumnya) sehinggalah (tamat tempoh keampunan/taubat) dengan naiknya matahari di sebelah barat (berlaku kiamat).”



Sumber Hadith

Hadith tersebut diriwayatkan oleh al-Bukhari (4359), Muslim (2759), Abu Dawud (4312), al-Tirmidhi (3072), Ibn Majah (4068) dan Ahmad (9505).



Pemahaman Umum Hadith

Hadith tersebut menjelaskan bahawa Allah yang bersifat Maha Penyayang khususnya terhadap Muslim telah menawarkan peluang bertaubat (memohon keampunan) di atas dosa-dosa lepas. Keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan umat-umat terdahulu di mana keistimewaan umat Nabi Muhammad s.a.w diberi peluang bertaubat sehinggalah pintu taubat tersebut ditutup dengan berlakunya kiamat ataupun saat (nazak) menghampiri kematian. Sebahagian umat terdahulu diturunkan azab (bala) oleh Allah tanpa dilengahkan masanya.



Peluang Bertaubat

1. Setiap manusia tidak maksum kecuali para nabi. Oleh itu mereka tidak sunyi daripada melakukan kesalahan (dosa). Namun Allah bagi peluang menebus dosa tersebut dengan memohon keampunan atau bertaubat kepadaNya.

2. Salah satu daripada rahmat Allah buat hambaNya ialah memberikan tempoh yang panjang untuk bertaubat sehingga tibanya kiamat atau nyawa naik ke halkum (nazak) di saat kematian. Ia berbeza dengan umat terdahulu.

3. Taubat bermaksud kembali kepada (jalan) Allah dengan mentaatiNya. Bertaubat adalah wajib. Syarat taubat ialah:
(1) Menjauhi maksiat tersebut,
(2) menyesal di atas perbuatan (dosa) tersebut dan
(3) berazam tidak akan kembali melakukannya lagi.

Sekiranya dosa tersebut berkaitan dengan manusia, maka ia hendaklah ditambah satu lagi iaitu (4) memohon keampunan daripada empunya diri (yang dizaliminya).

4. Menerima dan menolak taubat hamba adalah hak mutlak Allah. Oleh itu, seseorang Muslim hendaklah mempunyai sifat al-khauf wa al-raja` (takut taubatnya tidak diterima dan dalam masa yang sama mengharapkan Allah menerimanya) dengan penuh pengharapan dan pergantungan diri serta memenuhi segala tuntutan Allah yang berkaitan dengan proses taubat tersebut.



Rahmat Allah Melebihi MurkaNya

1. Rahmat Allah sentiasa bersama HambaNya walaupun Allah Maha Berkuasa untuk memurkai dan mengazabnya di atas kesalahan dan dosa yang dilakukan hambaNya.

2. Allah sentiasa menerima hambaNya (bertaubat) untuk memberi keampunan dimana hakikat yang sebenarnya melebihi kesungguhan mereka mengadap Allah memohon keampunan. Bahkan Allah dengan sifatNya yang Maha Penyayang merangka program menghapuskan dosa hambaNya melalui siri ujian dan taklifan (tanggungjawab) terhadap hambaNya (walaupun tanpa dipinta).

3. Rahmat Allah dan Keampunannya secara khusus adalah lebih istimewa buat Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya berbanding umat-umat terdahulu.

4. Manusia tidak akan mengecapi kebahagiaan dan kerukunan hidup di dunia ini mahupun di akhirat tanpa kurnian rahmat daripada Allah yang tidak terhitung banyaknya.


Hakikat Dosa dan Pahala

1. Pahala adalah pembalasan baik kurniaan Allah di atas ketaatan hamba terhadap segala suruhan dan ketetapanNya, manakala dosa ialah sebaliknya.

2. Dosa ialah disebabkan oleh
(1) kealpaan seseorang terhadap Keesaan dan Keagungan Allah, dan
(2) kealpaan mereka terhadap kesan daripada Keesaan dan Keagungan Allah.


3. Dosa dapat dihapuskan dengan;
(1) melakukan amalan-amalan kebaikan (soleh),
(2) musibah atau ujian yang menimpa mereka dan
(3) taubat atau kembali kepada Allah.

4. Pahala adalah kurniaan Allah buat hambaNya yang taat dengan diberi ganjaran yang berlipat ganda. Ia juga merupakan salah satu rahmat yang mana setiap amalan kebaikan yang dilakukan akan diberi ganjaran yang berlipat kali ganda. Ini adalah kerana nikmat syurga di akhirat akan diperolehi dengan cara:
(1) Ganjaran pahala yang banyak dan
(2) Dosa yang berkurangan sama ada tanpa melakukan maksiat ataupun ia diampunkan (melalui taubat) atau dihapuskan (dengan musibah dan kebaikan).

5. Di dalam Islam tiada pembalasan (dosa atau pahala) tanpa pertanggungjawaban yang dipilih oleh pelakunya sendiri. Oleh itu orang yang dipaksa tidak akan dibertanggungjawabkan di atas paksaan tersebut. Maka Ia dikategorikan sebagai rukhsah.



Pengajaran Hadith

1. Rahmat dan keampunan Allah Maha Luas buat hambaNya yang beriman.

2. Rahmat Allah sentiasa bersama amalan HambaNya sama ada semasa melakukan ketaatan ataupun diuji dengan musibah dan kesusahan.

3. Dosa adalah hasil daripada lemahnya iman dan tidak benar-benar mengenali penciptaNya (Allah). Namun setiap kesalahan (dosa) itu disediakan jalan kembali ke pangkalnya.